Friday, September 26, 2008

Berbelanja Dan Hari Raya Anda.

SEDAR atau tidak, hari ini sudah hampir sebulan umat Islam berpuasa. Tidak lama lagi, Aidilfitri bakal tiba. Tentunya ramai mula berkira-kira untuk membuat persiapan menyambut hari raya. Si anak tentunya mahukan pakaian baru, ibu pula mula merancang juadah terutama biskut dan kek untuk dihidangkan kepada tetamu. Bagi si ayah, lain pula ceritanya. Dahi ayah pastinya berkerut, malah tekanan darah mungkin naik setiap kali memikirkan bajet Aidilfitri.

Dalam senario sekarang yang menuntut kita berjimat cermat, sudah tentu soal kewangan dan kaedah pengurusannya perlu diberi perhatian. Baik mereka yang berkeluarga mahu pun yang masih bujang, isu perbelanjaan berhemah bukan lagi menjadi bahan berita yang ditonton di televisyen atau dibaca di akhbar, sebaliknya perlu dipraktikkan mulai sekarang.

Membicarakan soal persiapan Aidilfitri, sukar menepis keinginan berbelanja yang mungkin didorong keseronokan meraikan Syawal. Selepas sebulan berpuasa, mengawal nafsu dan mengerjakan amal ibadat selama 30 hari, hati tentunya mahu bergembira di hari mulia ini.

Bagi mereka yang tidak mempunyai komitmen tinggi, isu belanja raya mungkin tidak menjadi soal. Apa saja dihajati boleh dibeli asalkan menepati perbelanjaan yang dirancang. Tetapi bagaimana pula mereka yang berkeluarga besar?

Ibu bapa yang memiliki anak ramai tentu pening memikirkan soal bajet Aidilfitri. Bagi yang bijak merancang, modal atau wang belanja menyambut hari raya mungkin sudah dikumpul sejak Aidilfitri tahun lalu. Sedar atau tidak, bajet RM150 yang disimpan setiap bulan selama setahun, Insya'Allah... pasti cukup membiayai sebahagian daripada perbelanjaan Aidilfitri kali ini.

Mungkin tidak keterlaluan jika dikatakan soal perbelanjaan Aidilfitri mungkin boleh menjadi isu besar bagi keluarga yang memiliki anak ramai. Memanglah diakui sukar memuaskan hati semua pihak, malah perbuatan berbelanja boros tidak digalakkan dalam Islam - namun jika bijak merancang dan berbelanja, perkara Aidilfitri masih boleh diraikan dengan penuh bergaya.

Akhir kata, berbelanja pada yang perlu, merancang sebelum bertindak dan jangan membazir.

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI,
MAAF ZAHIR BATIN.