Friday, January 23, 2009

RM8 Sehari?

Artikel sebelum ini menceritakan ASB adalah salah satu sumber Pendapatan Pasif untuk seseorang yang bersara. Tetapi tidak menceritakan kaedah bagaimana untuk menyimpannya.

Terlebih dahulu renung 2 persoalan dibawah ini:

Persoalan Pertama: Adakah anda sukar menyimpan RM240 sebulan? Adakah RM240 sebulan itu satu jumlah yang sangat besar untuk anda menyimpan?

Persoalan Kedua: Adakah bayaran bulanan kereta RM480 – RM600 sebulan adalah jumlah yang kecil dan tiada masalah untuk diperuntukkan daripada gaji atau memang biasa saja?

Jika jawapan anda “YA” untuk kedua-dua persoalan di atas, ini bermakna anda sedang membina sel-sel barah dalam kewangan anda sendiri. Anda harus keluar dari situasi ini dengan segera sebelum keadaan yang lebih parah berlaku.

Anda perlu berubah dan mulakan menyimpan pada hari ini.

Apa kata, mulai hari ini anda peruntukkan RM8 sehari dan memasukkannya ke dalam Tabung Buluh (cara lama) secara konsisten. Ini bermakna, setelah cukup 30 hari (1 bulan), anda sudah mempunyai simpanan sebanyak RM240.00 bersih.

Jika anda menyimpan RM240 sebulan di dalam tabung buluh tersebut selama 5 tahun, anda akan dapat mengumpul sebanyak RM14,400.00 bersih.

Sementara itu, jika anda menyimpan RM240 sebulan dalam akaun simpanan biasa, selama 5 tahun, anda mungkin dapat mengumpul sekitar RM 15,250.00. Itu pun kalau bank baik hati untuk beri anda pulangan sekitar 2.0% setahun.

Adakah cukup 2.0% setahun sebagai pulangan simpanan anda untuk jangka masa 5 tahun akan datang?

Untuk makluman anda, kalau 6 tahun dulu, susu Krimer manis 505g hanya berharga RM1.55 setin. Tetapi hari ini harganya sudah menjadi RM2.55 setin. Ini bermakna dalam masa 5 tahun sudah ada kenaikkan harga melebihi 60%. Itu baru satu barang. Bagaimana pula dengan barang-barang yang lain? Mungkin, 3 tahun lalu, anda makan tengahari hanya RM4.00, tapi kini sudah menjadi RM5.00. Itu sahaja sudah ada kenaikan sebanyak 25%!!!

Merujuk kepada kesan kenaikan harga di atas, ini bermakna, sesiapa yang menyimpan duit dalam “tabung buluh” dan di dalam akaun simpanan biasa, mereka ini tidak lagi mampu untuk menampung hidup pada masa akan datang dengan adanya kesan inflasi seperti ini. Kesan inflasi ini merupakan musuh utama dalam kewangan anda. Jika kesan inflasi ini berterusan, menyimpan duit di dalam “Fix Deposit” bank pun sudah cukup susah untuk anda menampung hidup di masa hadapan.

Walau bagaimanapun, selepas 30 hari, pindahkan sejumlah RM240 dari “tabung buluh” tadi ke dalam simpanan ASB untuk tujuan simpanan tetap. Tahukah anda bahawa ASB merupakan satu produk kewangan yang mesti anda gunakan sebagai asas kewangan anda untuk masa depan?

Mengikut kiraan, sekiranya anda menyimpan RM240 sebulan di dalam ASB, dengan menganggarkan purata pulangan ASB adalah 8% setahun, ini bermakna anda akan mempunyai simpanan sebanyak RM18,247.40 setelah 5 tahun. Bukan lagi RM15,552.00.

Kenapa ini berlaku?

Ini berlaku disebabkan simpanan ASB dikira mengikut kaedah pengiraan “Compounded dividen” dan bukannya pengiraan “Simple dividen”.

Maka dengan cara pengiraan ini, anda hanya perlu menyimpan konsisten selama 5 tahun sebanyak RM14,400.00 dan anda akan mendapat duit tambahan sebanyak RM3,847.40 selepas 5 tahun.

Dan kalau anda menyimpan hanya RM240, di ASB selama 10 tahun. Anda akan mendapat RM45,059.00. Bukan lagi, RM31,104.00

Menarik bukan?

Itu baru hanya RM8 sehari…belum lagi RM10 atau RM15 atau RM20 sehari!!!!

Maka, dengan ini buatlah simpanan untuk diri anda demi masa depan yang sempurna.

Jadikan ASB sebagai asas simpanan wang anda.



Note: Saya tidak dibayar oleh PNB untuk buat artikel ini. Tapi sekadar berkongsi maklumat kepada mereka-mereka yang masih belum mengetahuinya.


Bayar Untuk Diri Sendiri

Friday, January 16, 2009

ASB Merupakan Salah Satu Pendapatan Pasif

Mengimbas kembali detik manis 2 Jan 2009, ramai di antara “orang kita” tersenyum lebar setelah keluar dari kaunter bank yang dibawanya bersama adalah buku Pelaburan “TING”. Apa tidaknya, setelah PNB mengumumkan di mana deviden ASB pada tahun ini mensasarkan sebanyak 8.75% kepada para pelabur. Dengan itu, ramailah “orang kita” melawat ke bank-bank untuk meng-“update” buku “TING” mereka. Ada juga dikalangan mereka yang mengeluarkan sejumlah wang untuk kegunaan perbelanjaan mereka yang mana ia sebagai sumber tambahan untuk membayar keperluan persekolahan anak-anak, membayar cukai jalan/insuran kenderaan dan sebagainya. Ternyata wajah-wajah sinar kegembiraan lahir pada mereka-mereka ini.

Tetapi ada juga cerita sebaliknya, dalam kita dok kecoh-kecoh tentang ASB, ada juga di kalangan “orang kita” tiada mempunyai simpanan/pelaburan langsung dalam ASB walaupun kos membuka hanya RM10.00 sahaja. Kenapa boleh jadi begitu? Tepuk dada Tanya selera, Tepuk dahi Tanya hati…

Andai kata, seseorang itu mempunyai simpanan ASB sejumlah RM10,000.00, yang mana simpanan tersebut sudah berusia selama setahun, dengan dividen 8.75% ini, seseorang itu akan memperolehi wang RM875.00 sebagai bonus tahunan. Bayangkan sekiranya kita mempunyai simpanan ASB sejumlah RM100,000.00, sudah tentu kita akan memperolehi wang percuma sejumlah RM8,750.00. Dengan jumlah wang sedemikian, memang cukup menampung perbelanjaan pembukaan persekolahan anak-anak untuk 10 orang yang bersekolah menengah.

Itu baru simpanan RM100,000.00 dalam ASB. Apa pula jadinya sekiranya seseorang itu mempunyai simpanan maksimum dalam ASB iaitu berjumlah RM200,000.00, maka mereka akan memperolehi wang percuma sejumlah RM17,500.00…(Wow!!!! banyak tu…), itu baru 1 akaun. Jika 2 akaun suami-isteri, di mana kedua-duanya sudah mencecah simpanan maksimum berjumlah RM200,000.00, sudah tentu wang percuma itu berjumlah RM35,000.00 (Wow!!! Wow!!!! Wow!!!! Lumayan sekali)

Inilah hakikat sebenar yang mana kita harus sedar, simpanan/pelabuaran ASB ini adalah salah satu “passive income” untuk diri kita pada suatu hari nanti. Erti kata lain, wang yang kita simpan itu bekerja untuk diri kita pula di masa hari persaraan kelak. Dengan jumlah wang sebanyak RM35,000.00 itu, maka sebuah keluarga yang sudah bersara akan memperolehi sebanyak RM2,900.00 sebulan sebagai sumbar pendapatan. Tidak cukup kah????

Oleh itu, simpanlah wang anda untuk hari persaraan anda. Maka, mulai hari ini buat satu matlmamat kewangan jangka masa panjang untuk wang anda.

Dengan itu, bekerja kuat hari ini dengan tujuan untuk memperkuatkan asas simpanan anda demi hari tua anda.


Kewangan Dan Cara Mengawal Perbelanjaan

Thursday, January 1, 2009

Pengurusan Kewangan Yang Sempurna dapat Elakkan Tekanan

ALAM persekolahan akan bermula dalam masa beberapa hari lagi. Pastinya, ibu bapa merupakan golongan yang paling sibuk meluangkan masa dan wang ringgit untuk membeli keperluan persekolahan anak-anak mereka.

Bagi mereka yang sudah mendapat bonus hujung tahun daripada majikan, sudah pastinya berasa lega kerana tidak perlu memeningkan kepala untuk mencari wang lebih untuk menyediakan persediaan keperluan persekolahan anak-anak mereka dari segi pakaian sekolah, buku-buku pelajaran mahupun yuran persekolahan.

Namun, bagi para ibu bapa yang hanya memperolehi pendapatan yang “ngam-ngam” (bahasa orang cina) setiap bulan, sudah tentu mula terasa risau dan pening kepala.

Pada hakikat sebenar, masalah pening kepala semasa awal pembukaan persekolahan ini tidak timbul sekiranya para ibu bapa, membuat perancangan awal terhadap keperluan persekolahan anak-anak mereka. Ironinya, mungkin ramai daripada kita tidak sedar bahawa walau sekecil mana pendapatan yang kita diperolehi, namun masih mampu membiayai persekolahan anak-anak dengan membuat perancangan kewangan dengan baik dan sempurna. Sudah pastinya masalah pening kepala ini dapat dihindarkan.

Belum terlambat rasanya untuk memberi panduan serta ingatan kepada pasangan ibu bapa untuk merancang kewangan mereka dengan bijak.

Berikut adalah beberapa petua atau panduan tentang bagaimana merancang kewangan agar tidak mengalami situasi tekanan, terutama ketika hendak menyediakan keperluan anak-anak menjelang tahun baru persekolahan.

Perkara utama dalam pengurusan kewangan ialah mesti tetapkan matlamat. Matlamat pula terbahagi kepada tiga bahagian.
1. Jangka Pendek iaitu selama dua tahun dari sekarang.
2. Jangka Sederhana iaitu untuk tempoh dua hingga lima tahun dari sekarang dan
3. Jangka Panjang untuk lima tahun ke atas.

Mulakan membuat matlamat kewangan di atas dengan jangka pendek, diikuti jangka sederhana kemudian jangka panjang.

Catatkan semua keperluan perbelanjaan tahunan di atas

Dari catatan tersebut, maka kita dapat ilustrasi perbelanjaan bulanan kita dalam setahun. Dengan panduan tersebut, mulakan proses menabung/menyimpan untuk memenuhi perbelanjaan/keperluan yang besar seperti membayar cukai jalan & insuran kereta dan lain-lain. Tidak terkecuali, ini termasuklah simpanan persediaan keperluan persekolahan anak-anak.

Oleh yang demikian, jika dari awal kita sudah dapat melihat carta aliran tunai kewangan dalam tempoh setahun, maka, kita tidak akan mengalami masalah jika kita memerlukan sejumlah wang yang besar nilainya untuk memenuhi keperluan tersebut, terutama perbelanjaan anak-anak sekolah.

Ramai di antara kita yang terjerat apabila terpaksa berbelanja besar seperti menyediakan keperluan sekolah anak & memperbaharui cukai jalan kereta/kenderaan. Ini berlaku kerana mereka tidak mempunyai perancangan dan matlamat kewangan yang sempurna.

Selepas menentukan matlamat, pasangan suami isteri perlu membuat analisis aliran tunai mereka. Caranya dengan membuat catatan wang masuk dan catatan wang keluar. Dari carta aliran tunai kewangan keluar dan masuk tadi, dengan mudah kita boleh lihat sama ada wang masuk lebih banyak dari keluar atau sebaliknya. Jika wang masuk lebih banyak daripada wang yang keluar, maka ini menunjukan aliran tunai tersebut adalah positif (+ve). Sebaliknya, jika wang keluar lebih banyak daripada wang masuk, maka ini menunjukan aliran kewangan kita adalah negatif (-ve).

Jika aliran negatif, maka kita perlu berjimat cermat dalam berbelanja, bebelanja apa yang perlu dan jangan mengikut nafsu dan naluri hati. Tangguhkan, perbelanjaan yang tidak perlu. Membuat perancangan sebelum membeli-belah, senaraikan barangan yang perlu dibeli. Ini termasuklah perbelanjaan untuk anak-anak. Pastikan juga, anak-anak membuat senarai perbelanjaan mereka. Dengan cara ini, secara tidak langsung dapat mendidik anak-anak kita dalam merancang kewangan mereka sendiri.

Bagi pasangan suami isteri yang bekerja, mereka perlulah membuat belanjawan bersama-sama dan mengabungkan pendapatan mereka serta perbelanjaan keluarga. Ini bertujuan untuk mengelakkan perkara-perkara yang tidak diingini berlaku di mana pasangan yang masih hidup terpaksa menanggung segala hutang-hutang yang ditinggalkan tanpa disedarinya jika berlaku kematian ke atas salah seorang pasangan.

Selain itu, sebagai ibu bapa yang bekerja, kita perlulah menambah ilmu tentang panduan menguruskan kewangan dari masa ke semasa. Buat temu-janji bersama perunding kewangan untuk memperbaiki struktur kewangan yang kurang memuaskan. Tidak lupa juga, luangkan masa, tenaga untuk datang menghadiri taklimat pengurusan kewangan untuk memantapkan lagi ilmu pengurusan kewangan.

Persepsi yang menganggap perancangan kewangan hanya untuk golongan kaya sahaja harus diubah, paradigma lama ini perlu diubah, di mana perancangan kewangan ini sebenarnya adalah untuk semua golongan supaya mereka tidak terjerat dengan corak perbelanjaan yang akhirnya mengundang masalah kepada diri mereka dan keluarga.

Akhir kata, Selamat Tahun Baru 2009.



Aset atau liabiliti?