Monday, June 18, 2012

Ciri-ciri Pelabur Berjaya

Pakar-pakar pelaburan yang hebat sentiasa mendapat perhatian kerana pelbagai kisah kejayaan dan sesiapa sahaja yang berminat untuk melabur pasti ingin mengetahui rahsia di sebalik kejayaan mereka. Apabila menghadiri seminar-seminar dan membaca buku-buku mereka yang berjaya ini, kita akan mendapati bahawa terdapat pelbagai cara untuk berjaya, tetapi pada masa yang sama, kita boleh melihat terdapat persamaan antara cara-cara tersebut. Pada akhir artikel ini, anda akan dapat mengenal pasti beberapa ciri yang biasanya dimiliki oleh pakar-pakar pelaburan seperti Benjamin Graham, Warren Buffett, Philip A. Fisher, Peter Lynch, John Templeton dan John Neff.


Elakkan meramal pasaran

Melainkan dilahirkan dengan kebolehan meramal masa depan, biasanya anda akan dapati meramal pasaran memberikan kesan yang negatif. Hampir semua pakar pelaburan menyarankan bahawa anda tidak akan berjaya sekiranya mengatur strategi pembelian atau jualan dengan cubaan untuk meramal pergerakan harga pasaran di masa depan.
Terlalu banyak faktor yang mempengaruhi pasaran saham sehingga agak mustahil untuk sesiapa sahaja mengetahui dengan jelas arah jangka pendek atau waktu perubahan pergerakan pasaran. Banyak juga pakar-pakar yang menawarkan pelbagai model yang dibantu dengan komputer yang dikatakan dapat meramal pasaran dengan tepat. Namun, walau bagaimana canggih sekalipun model tersebut, ianya tidak pernah mampu mengambil kira faktor yang paling utama iaitu manusia atau pelabur itu sendiri. Biasanya manusia bertindak balas secara tidak rasional terhadap pergerakan pasaran dan menyumbang kepada keadaan pasaran yang tidak dapat diduga. Setiap pelabur akan dipengaruhi oleh ciri dan keadaan masing-masing dan tindakan mereka berbeza antara satu sama lain, lantas menjadikan usaha menafsir perilaku manusia hampir mustahil.
Pakar-pakar pelaburan menasihatkan pelabur agar mengabaikan pergerakan saham harian dan menumpukan perhatian kepada perkara yang lebih penting, iaitu potensi jangka panjang saham yang dimiliki. Pelabur tidak digalakkan untuk mengikut naik turun pasaran melainkan saham yang dimiliki menghadapi masalah yang serius. Kebanyakan pakar-pakar pelaburan hanya akan menjual saham-saham mereka atas sebab-sebab yang kukuh. Warren Buffett pernah berkata, setelah membeli saham, beliau tidak peduli sekiranya pasaran ditutup sepenuhnya selama sepuluh tahun kerana yakin dengan nilai saham tersebut sehingga beliau tidak perlukan pasaran untuk mengesahkannya.

Berani bertindak di luar kebiasaan

Sesetengah pakar pelaburan lebih gemar kepada saham nilai, ada pula yang lebih sukakan saham pertumbuhan dan ada juga yang memilih kedua-duanya sekali. Tidak kira bagaimana strategi pelaburan mereka, kesemuanya mempunyai ciri-ciri yang sama. Mereka tidak takut untuk bertindak di luar kebiasaan. Menjadi lumrah manusia untuk lari menyelamatkan diri apabila menghadapi bahaya dan apabila terdengar sahaja berita buruk, kebanyakan pelabur akan menjual saham kerana takut harga turun. Apabila pasaran kembali rancak, mereka akan masuk ke pasaran semula dalam usaha untuk mengaut keuntungan seperti orang lain, walaupun paras harga ketika itu mungkin agak tinggi daripada biasa.
“Untuk membeli ketika orang lain menjual dan menjual ketika orang lain membeli memerlukan ketabahan dan keberanian, dan memberikan pulangan yang tertinggi.”- Sir John Templeton, Bekas Ketua Pengurusan Pelaburan Templeton

Tindakan sebegini biasanya menyebabkan pelabur mengambil langkah ‘beli tinggi, jual rendah’ (buy high, sell low) dan bukan ‘beli rendah, jual tinggi’ (buy low, sell high) yang menyebabkan pelaburan mereka rugi dan tidak untung. Bertentangan dengan tindakan pelabur biasa, kebanyakan pakar pelaburan mengatakan bahawa masa yang paling sesuai untuk mencari saham dengan harga terbaik adalah ketika semua orang melarikan diri daripada pasaran. Ketika inilah pelabur menemui ‘lubuk emas’ di pasaran.
Seperti yang dikatakan oleh Sir John Templeton, Bekas Ketua Pengurusan Pelaburan Templeton, ‘jika anda membeli saham yang sama seperti orang lain, anda akan mendapat keputusan yang sama seperti orang lain... Untuk membeli ketika orang lain menjual dan menjual ketika orang lain membeli memerlukan ketabahan dan keberanian, dan memberikan pulangan yang tertinggi.’

Ketahui setiap butiran

Semua pelabur berjaya memiliki satu ciri yang sama: mereka mendalami selok-belok pelaburan. Mereka mungkin mempunyai cara yang berbeza untuk menganalisa maklumat; namun, mereka hanya akan melabur selepas melakukan kaji selidik yang terperinci. Mereka semua akan melakukan analisis kewangan yang lengkap sebelum membeli sebarang jenis saham. Jelas sekali mereka tidak akan masuk ke dalam pasaran semata-mata kerana rakan-rakan mereka melakukan perkara yang sama.
Semua perkara di atas adalah asas-asas pelaburan yang mungkin anda sudah tahu. Walau bagaimanapun, mengetahui dan mengamalkan adalah dua perkara yang berbeza. Dalam usaha untuk berjaya, kita mesti menetapkan prinsip pelaburan untuk diri sendiri dan berdisiplin untuk mematuhinya.

Artikel ini dipetik dari http://www.min.com.my/