KEHIDUPAN merupakan satu pengembaraan yang panjang, tindakan yang diambil pada hari ini akan menentukan nasib di masa hadapan. Earl Nightingale ada berkata: "Apa yang anda perlu lakukan adalah membuat perancangan, merangka peta perjalanan dan keberanian untuk terus menuju destinasi".
Dalam hidup ini, anda tidak mungkin dapat mengubah permulaan yang sudah berlalu, tetapi anda boleh menentukan bagaimanakah bentuk penghujung kehidupan yang anda ingin jalani.
Walaupun, kesedaran untuk menabung sudah bermula pada hari ini, ia masih belum terlambat asalkan anda mengetahui betapa pentingnya mempunyai tabungan untuk diri sendiri. Arus kehidupan sebenar tidak menentu, ada ketikanya hidup kita mudah dan mewah, tetapi ada waktunya sempit dan sesak.
Dengan tabiat menabung yang konsisten, anda akan menjadi manusia merdeka yang tidak bergantung pada orang lain ataupun meminjam daripada kad kredit (Along terhormat) untuk meneruskan kehendak hidup. Lebih teruk jika meminjam dengan "Along".
Selepas menentukan matlamat tabungan anda itu, sama ada untuk jangka masa pendek, sederhana atau panjang, kita seharusnya memperuntukkan sekurang-kurangnya 10 peratus daripada wang gaji/pendapatan anda untuk disimpan setiap bulan. Anda perlu fikirkan ke manakah arahnya simpanan wang anda itu seperti untuk kegunaan hari bersara, menunaikan haji dan perbelanjaan ke universiti anak-anak.
Selain daripada menabung, kita juga boleh membuat pelaburan melalui pelbagai instrumen pelaburan yang sah dan halal, contohnya anda boleh menyimpan dalam akaun simpanan tetap (FD), melabur dalam Amanah Saham Bumiputera (ASB/ASN), Saham-saham Kooperasi dan Saham-saham Unit Amanah.
Sebelum anda membuat pelaburan, anda juga perlu kaji jenis-jenis risiko yang anda sanggup tanggungi. Hakikatnya, pelaburan berisiko tinggi memberi pulangan yang tinggi, pelaburan yang berisiko rendah memberi pulangan rendah. Oleh yang demikian, anda perlu mengkaji mana satukah instrumen pelaburan yang mampu memberikan pulangan lebih tinggi dan bersesuaian dengan matlamat pelaburan anda. Bak kata pepatah, beli baju ukurlah pada badan sendiri....
Matlamat pelaburan dan tabungan sering berkait rapat dengan matlamat persaraan anda. Tetapi, matlamat persaraan ini sering kali diabaikan oleh orang kita. Ini kerana ianya bersifat jangka masa panjang dan tempohnya masih jauh. Lantas kita pun mengambil fikiran singkat dan mudah, apabila bersara nanti ada wang pencen ataupun ada dana daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang boleh dikeluarkan apabila usia mencecah 55 tahun.
Selalunya kita lihat dan dengar, apabila wang KWSP dikeluarkan itu, ketika itulah ramai yang mengambil kesempatan untuk membesarkan rumah bagi kemudahan anak cucu yang datang menziarah, digunakan untuk pembiayaan anak untuk melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi, mengadakan majlis perkahwinan anak, menunaikan haji atau umrah dan melancong.
Ada juga segelintir mereka yang menggunakan wang persaraan untuk memulakan perniagaan. Tetapi dalam dunia perniaga ini, bak kata orang... nasib sabut timbul, nasib batu tenggelam...tanpa persediaan rapi, berkemungkinan perniagaan itu akan rugi. Jika perniagaan tidak menjadi, wang persaraan yang sepatutnya diguna untuk membiayai hidup, akan lebur dan hangus. Ketika inilah kita yang sudah berusia emas itu terpaksa bekerja semula mencari pendapatan untuk menapung keperluan hidup. Bagi yang kurang bernasib baik, anak-anak pula terpaksa menanggung beban sedangkan mereka juga mempunyai komitmen mereka sendiri.
Ikuti kisah Mahmud - Jual Rumah untuk rawat penyakit, dari akhbar Utusan Malaysia.