Thursday, May 29, 2008

Periksa Kedudukan Kewangan Anda

Suka atau tidak, kita terpaksa menerima hakikat bahawa kita tidak boleh terus bekerja selama-lamanya. Samada kita masih mampu dari aspek fizikal atau mental, ia bukanlah persoalannya kerana menjelang umur 55, kebanyakan daripada kita akan menempuhi alam persaraan. Dalam situasi sebegini, kita perlu merancang bagaimana untuk terus menyara hidup dalam masa 20 tahun berikutnya kerana jangka hayat hidup seseorang ialah 75 tahun (berdasarkan laporan-laporan mengenai purata jangka hayat rakyat Malaysia).

Apakah maksud keterangan di atas?

Ia bermakna, kita akan terus menempuh hidup sebagai warga emas untuk 20 tahun yang akan datang. Pernahkah kita terfikir bagaimana untuk meneruskan hidup selama 20 tahun lagi dalam keadaan selesa – setelah kesemua wang KWSP habis dibelanjakan untuk membiayai kos pendidikan anak-anak serta melangsaikan pinjaman bank? Lebih teruk lagi, bagaimana pula keadaannya sekiranya wang simpanan yang tinggal semakin sedikit setelah kita membeli kereta mewah dan rumah idaman yang telah sekian lama diimpikan. Bagi mengatasi masalah seumpama ini, kita perlu berusaha menggandakan wang untuk memastikan kita dapat meneruskan hidup dalam keadaan selesa selepas bersara.

Bagi menyelesaikan masalah di atas, kita perlu mengetahui kedudukan kewangan sendiri dan cara-cara menilai kedudukan kewangan kita.

Langkah-langkah berikut dapat membantu anda melakukan ‘Pemeriksaan Kewangan’ anda.


Makmal 1 – Ujian Sumber-Sumber Pendapatan Utama

Untuk mengetahui kedudukan kewangan semasa, anda perlu mengetahui aliran keluar dan masuk wang anda. Anda perlu mengenal pasti sumber-sumber utama pendapatan anda, iaitu wang yang masuk ke kocek anda seperti gaji, dividen, keuntungan modal, pendapatan dari hartanah yang disewakan, pembahagian daripada perniagaan, faedah daripada simpanan bank dan simpanan tetap.

Umumnya, jumlah pendapatan boleh dibahagikan kepada tiga kategori, iaitu pendapatan yang diperolehi, pendapatan pasif dan pendapatan portfolio. Pendapatan yang diperolehi ialah wang gaji anda. Lazimnya, pendapatan ini dikenakan cukai yang lebih tinggi berbanding jenis pendapatan yang lain.

Pendapatan pasif pula ialah wang yang diperolehi daripada pelaburan hartanah dan pembahagian daripada perniagaan. Pendapatan jenis ini tidak memerlukan perhatian yang banyak daripada anda, namun ia mampu menjana aliran kewangan yang berterusan.

Pendapatan portfolio ialah wang yang diperolehi hasil daripada pelaburan anda dalam produk kewangan seperti dividen saham, pendapatan daripada bon dan juga pulangan daripada unit amanah. Ini juga merupakan sejenis pendapatan pasif yang tidak memerlukan penglibatan langsung anda dalam menjana pendapatan.

Makmal 2 – Ujian Sumber-Sumber Perbelanjaan Utama

Perbelanjaan ialah wang yang keluar dari kocek anda, iaitu wang yang perlu dibelanjakan untuk menampung gaya hidup seseorang. Contoh-contoh perbelanjaan termasuklah membayar bil kad kredit, ansuran pinjaman perumahan dan kenderaan, bil elektrik, air, telefon, membeli barang runcit, cukai, perjalanan, hiburan dan pelbagai perbelanjaan peribadi yang lain.

Untuk mengetahui kedudukan kewangan, anda perlu tahu berapa perbelanjaan yang telah anda buat. Salah satu sebab mengapa ramai orang tidak mempunyai simpanan yang cukup setelah bersara ialah kerana mereka tidak mengawal perbelanjaan mereka. Mereka tidak tahu berapa wang yang dibelanjakan setiap bulan. Apa yang pasti ialah mereka sentiasa kekurangan wang untuk menyara gaya hidup mereka. Gaji yang diperoleh setiap bulan tidak pernah mencukupi dan akibatnya, mereka terpaksa berhutang untuk menampung perbelanjaan bulanan mereka.

Salah satu cara untuk mengetahui ke mana perginya wang anda ialah dengan mencatat setiap pembelian yang dibuat. ‘JOT-IT-DOWN’! – merupakan satu kaedah yang mengambil masa, tetapi dalam jangka masa panjang, ia merupakan satu amalan yang menguntungkan kerana anda akan dapat mengetahui aliran keluar wang anda. Sekiranya sukar untuk mencatatkan kesemua perbelanjaan anda, setidak-tidaknya, pastikan anda membuat catatan apabila membeli barang yang mahal. Ramai yang akan terkejut apabila mengetahui jumlah yang dibelanjakan untuk membeli sesuatu barang. Rujuk jadual di bawah untuk mengetahui cara-cara membuat penyata kewangan anda.

Makmal 3 – Peraturan 90 Peratus

Ken Little, dalam bukunya yang bertajuk Personal Finance At Your Fingertips menyarankan agar anda menyimpan 10 peratus daripada pendapatan anda. Rujuk jadual di bawah dan anda akan mendapati bahawa pendapatan tolak perbelanjaan bersamaan Aliran Tunai Bersih (net cash flow) (A-B). Peraturan 90 peratus menetapkan bahawa Aliran Tunai Bersih (A-B) perlulah bersamaan sekurang-kurangnya 10 peratus daripada pendapatan anda (A).

Di Malaysia, tahap inflasi yang tinggi menyebabkan agak sukar untuk menyimpan 10 peratus daripada pendapatan anda. Tidak kira samada peratusan yang anda simpan ialah 5 peratus, 10 peratus ataupun 15 peratus daripada pendapatan anda, apa yang paling penting ialah anda mengamalkan tabiat menyimpan dan mula menanam sikap menyimpan wang anda.

Anda perlu mula menyimpan suatu hari nanti, kenapa tidak mula menyimpan hari ni?

PENYATA KEWANGAN






Adakah anda ingin menjadi salah seorang daripada mereka....?

Thursday, May 1, 2008

'Faham Ideologi Pelaburan'

Oleh KHAIRUDDIN MOHD. AMIN dan LUKMAN ISMAIL

MELAKA 28 April - Kaum bumiputera berupaya bersatu menguasai ekonomi jika mereka memahami ideologi pelaburan seperti yang dilakukan melalui Permodalan Nasional Bhd. (PNB) yang berjaya menggembleng modal rakyat untuk menguasai syarikat-syarikat penting.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, melalui PNB, kesemua pelabur mengejar satu matlamat iaitu pulangan ke atas pelaburan yang dibuat melalui hasil titik peluh mereka sendiri.

''Berkat keazaman para pelabur yang terus melabur untuk jangka panjang inilah, maka PNB mampu berdiri teguh sehingga ke hari ini.

''Jika sifat kerjasama ini diteruskan dan dikekalkan dalam lain-lain bidang perniagaan, masyarakat bumiputera tidak akan menghadapi masalah untuk mencapai 30 peratus kekayaan ekonomi negara selaras dengan objektif Dasar Ekonomi Baru," katanya.

Najib berkata demikian pada Majlis Penutup Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2008 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini malam ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam.

Turut hadir ialah Pengerusi Permodalan Nasional Bhd. (PNB), Tan Sri Ahmad Sarji Abdul Hamid dan Presiden dan Ketua Eksekutif PNB, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman.

Menurut Najib, sebagai Timbalan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Pelaburan Bumiputera, beliau yakin selain sokongan pelabur, integriti modal insan PNB yang merangkumi amanah, ketelusan dan kejujuran adalah faktor utama firma pelaburan itu boleh beroperasi selama 30 tahun dan terus kukuh sehingga hari ini.

Tambah beliau, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam ucapan perasmian MSAM telah memberi ingatan tentang nasib sesetengah institusi di luar negara yang telah beroperasi beratus tahun tetapi lenyap hanya kerana sikap warga kerjanya yang gelap mata melihat kekayaan di hadapan mereka.

''Kita juga telah melihat beberapa koperasi di negara ini yang menerima nasib yang sama tidak lama dahulu.

''Tidak ada bezanya antara PNB dan institusi-institusi ini, tidak ada 'formula ajaib' yang dipakai, hanya di PNB, kita semua faham dan akur akan tanggungjawab yang diamanahkan kepada kita untuk menjaga wang rakyat, yang rata-rata adalah mereka yang berpendapatan rendah," jelasnya.

Najib berkata, sikap amanah itu perlu kekal dalam setiap syarikat pelaburan PNB yang bertanggungjawab menjana pendapatan terhadap dana-dana saham amanahnya itu.
Katanya, pengurusan yang kurang berhemah walaupun hanya dalam satu syarikat pelaburan PNB akan mengakibatkan kesan yang besar terhadap perjalanan PNB.

Sementara itu, Najib mahu industri saham amanah tempatan memperbaiki kedudukannya supaya setara dengan industri saham amanah di negara maju walaupun ia sudah dibangunkan dan berada pada kedudukan yang baik.

Beliau berkata, sumbangan industri saham amanah terhadap modal pasaran modal saham tempatan ketika ini masih kecil iaitu sebanyak 16.49 peratus berbanding Australia (78 peratus), Brazil (58 peratus), Hong Kong (38 peratus) dan Jerman (21 peratus).

Tambah beliau, sehingga kini, jumlah edaran unit saham amanah mencecah 216.3 bilion dengan Nilai Aset Bersih (NAB) dana bernilai RM169.6 bilion dan nilai itu mewakili 16.49 peratus daripada modal pasaran Bursa Malaysia yang berjumlah RM1.028 trilion.