Tip urus belanja lepas Aidilfitri
BARANGKALI selepas cuti Aidilfitri, ada antara kita tidak berani melihat baki wang simpanan dalam akaun bank. Kenyataan yang perlu dihadapi mungkin tidak akan menenangkan hati - sama ada baki wang tidak mencukupi untuk bertahan hingga akhir bulan atau lebih menakutkan, tiada langsung baki simpanan.
Begitulah impak Aidilfitri yang hadirnya setahun sekali. Ramai pada mulanya sakan menyambut Hari Raya penuh bergaya. Sejak bulan puasa lagi hingga berlarutan kepada beberapa minggu pertama Syawal, wang tidak putus-putus keluar dari dalam dompet. Pengguna lazimnya tidak begitu memikirkan soal perancangan kewangan pada musim perayaan. Disebabkan itulah perbelanjaan menjadi tidak terkawal atau berlebihan pada musim begini.
Oleh kerana wang simpanan makin menipis, ramai mula risau nasib diri serta memikirkan bagaimana hendak menjalani kehidupan dengan baki simpanan yang tidak seberapa itu.
Tidak hairanlah timbulnya jenaka sinis menyindir segelintir orang yang dikatakan terpaksa berpuasa semula selepas Aidilfitri kerana sudah ‘berhabisan’ ketika beraya.
Tidak dinafikan, ramai memilih untuk berpuasa seawal minggu kedua Syawal iaitu selepas kembali bekerja. Golongan ini bukan saja ingin menunaikan puasa sunat tetapi juga kerana keadaan kewangan yang memaksa mereka berbuat demikian. Bagi mereka, baiklah berpuasa sementara menanti gaji seterusnya.
Jika tidak berpuasa pun, anda sebenarnya boleh berjimat dengan membawa bekalan makanan dari rumah ataupun mengurangkan belanja membeli makanan ketika bekerja. Rasanya, tidak terlalu sukar untuk anda melakukannya kerana kita baru saja selesai menunaikan ibadat berpuasa.
Minggu ini, XY - Ikon Lelaki berkongsi tip ‘diet perbelanjaan’ bagi mereka mengalami sindrom ‘kering’ selepas raya. Jika berdisiplin dalam mengamalkan diet ini, tidak mustahil kedudukan kewangan anda akan kembali stabil selepas musim perayaan.
Pertama sekali, mulakan diari kewangan anda sendiri. Keluarkan semua penyata bank, resit pembelian dan bil berkaitan serta semak perjalanan keluar masuk wang anda setiap bulan. Apabila anda mempunyai rekod penggunaan wang, lebih mudah bagi anda mengesan jumlah wang yang sering dibazirkan. Melihat jumlah wang yang dapat dijimatkan dalam setahun juga dapat mendorong anda meneruskan diet perbelanjaan ini.
Walaupun agak ‘sesak’ sekarang, tanggungan hutang tidak boleh diambil ringan. Hadapi hutang anda dengan memberi tumpuan kepada bahagian tertentu dalam perbelanjaan yang boleh anda baiki. Ini termasuk hutang kad kredit yang lama tertunggak hingga kadar faedah terkumpul. Lebih lama anda menangguhnya, lebih banyak kadar faedah yang dikenakan. Ini tentunya menambah masalah kewangan anda kelak.
Jika anda pemegang insurans, pastikan bayaran bulanan anda didahulukan berbanding perbelanjaan lain. Ini kerana, sesetengah syarikat insurans akan menamatkan perlindungan insurans jika terdapat tunggakan. Ini agak berisiko kerana anda mungkin tidak memiliki sumber kewangan lain jika berlaku sesuatu yang tidak diingini.
Penting juga untuk anda mengurangkan penggunaan telefon atau internet yang dicaj mengikut kadar guna. Anda harus tentukan penggunaan yang perlu serta yang tidak penting. Sebab itulah ada baiknya anda melanggan perkhidmatan yang membolehkan anda berjimat
Selain itu, amalkan jimat-cermat dalam menggunakan kuasa elektrik dan air di rumah. Sekurang-kurangnya, jumlah tanggungan bil anda dapat diringankan.
Mungkin pada waktu kesempitan wang begini, anda boleh menangguhkan sementara perbelanjaan aktiviti riadah seperti bayaran gimnasium, yuran bulanan kelab rekreasi dan sebagainya. Anda boleh menyambungnya semula apabila keadaan sudah mengizinkan.
Seperkara lagi, jangan lupa, biarpun keadaan kewangan anda agak tidak stabil selepas hari raya, anda masih perlu menyimpan sedikit daripada pendapatan yang diterima. Ia memang berguna pada saat kecemasan nanti.
Apapun, anda wajar berfikir setiap kali hendak membelanjakan wang untuk sesuatu perkara. Elak membeli barang tidak perlu atau bermewah-mewahan tanpa sebab.
Tetapkan juga tahap mana atau secepat mana anda mahukan kedudukan kewangan anda kembali pulih. Juga tentukan jumlah wang harus ada dalam akaun simpanan anda dalam sesuatu tempoh. Bila berbuat demikian, anda akan lebih disiplin dalam mengikut perancangan atau ‘diet perbelanjaan’ yang sudah disenaraikan.
Tip diet perbelanjaan
> Rekodkan penggunaan wang membabitkan pengaliran wang masuk dan keluar.
> Utamakan pembayaran hutang walaupun dalam keadaan terdesak. Hutang bertampuk menambah kekusutan ekonomi anda.
> Kurangkan penggunaan telefon bimbit dan internet jika anda mampu lakukan.
> Kurangkan aktiviti riadah bersama teman seperti mengunjungi pusat hiburan karaoke atau melepak tanpa tujuan.
> Jimatkan penggunaan tenaga elektrik dan air.
> Simpan sedikit gaji bulanan untuk waktu memerlukan.
> Tentukan jumlah wang perlu ada setiap bulan sebagai simpanan waktu sesak.
5 Langkah Perancangan Kewangan Anda
Monday, October 27, 2008
"POKAI" Lepas Raya?
Posted by Unknown at 9:34 PM
Labels: Tips Dari Berita Harian
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment