Tuesday, October 21, 2008

Pelaburan PNB tidak terjejas

Krisis kewangan global buka peluang Permodalan Nasional teroka pasaran baru

KRISIS kewangan global ketika ini tidak akan menjejaskan pelaburan luar negara Permodalan Nasional Bhd (PNB), sebaliknya menyediakan peluang untuknya meneroka pasaran baru, kata Presiden dan Ketua Eksekutifnya, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman.

Beliau menegaskan, operasi PNB di Singapura, Tokyo dan London tidak begitu terjejas kerana tidak melabur dalam sektor kewangan yang terdedah kepada krisis itu.

"Tidak dinafikan kami sedikit sebanyak terjejas, namun pada keseluruhannya portfolio PNB masih lagi baik dan tidak terjejas dengan hebat kerana pelaburan kami bukan dalam sektor kewangan," katanya sambil menjelaskan pelaburan PNB di luar negara juga masih agak kecil.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis Rumah Terbuka PNB di Kuala Lumpur, semalam. Hadir sama, Pengerusi PNB, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid.

Hamad Kama Piah, berkata PNB yang ditubuhkan sejak 30 tahun lalu sudah melalui pelbagai kemelut kewangan, tetapi masih mampu menangani isu seumpama itu dan memberikan pulangan baik kepada pelaburnya.

"Keadaan pasaran seperti sekarang sudah berlaku banyak kali. PNB sudah melaluinya pada 1987 dan kami dapat menanganinya dengan baik seperti juga kemelesetan ekonomi pada 1997.

"Pada masa itu pun, keadaan pasaran kurang baik tetapi PNB masih mampu menanganinya dengan baik," katanya sambil menambah kerajaan juga telah melaksanakan beberapa program rangsangan bagi memulihkan keadaan pasaran.

Beliau turut menegaskan, keadaan yang berlaku ketika ini menyediakan peluang kepada institusi pelaburan itu menilai saham yang terbaik dan berpotensi bagi menambah pelaburannya khususnya di luar negara.

"PNB adalah syarikat pelaburan jangka panjang. Apabila kami melabur, kami akan lihat daripada aspek jangka panjang, dan bila berlaku kegawatan seperti sekarang, sudah pasti PNB akan mengambil peluang menganalisis saham berpotensi.

"Malah pejabat operasi kami di luar negara adalah tempat bagi pegawai PNB membuat latihan dan terdedah kepada pasaran semasa yang mana keadaan ini memberi ruang kepada mereka untuk menangani isu – keadaan ekonomi merudum," katanya.

PNB ketika ini menguruskan dana sejumlah RM120 bilion yang sebahagian besar dana berkenaan dikumpul daripada pelaburan serendah RM10 yang disumbangkan pelbagai lapisan masyarakat.

Sejak penubuhannya, 30 tahun lalu dengan tujuan meningkatkan pegangan ekuiti Bumiputera, PNB telah sudah mengagihkan pulangan dividen dan bonus lebih RM60 bilion kepada pelaburnya.

Friday, September 26, 2008

Berbelanja Dan Hari Raya Anda.

SEDAR atau tidak, hari ini sudah hampir sebulan umat Islam berpuasa. Tidak lama lagi, Aidilfitri bakal tiba. Tentunya ramai mula berkira-kira untuk membuat persiapan menyambut hari raya. Si anak tentunya mahukan pakaian baru, ibu pula mula merancang juadah terutama biskut dan kek untuk dihidangkan kepada tetamu. Bagi si ayah, lain pula ceritanya. Dahi ayah pastinya berkerut, malah tekanan darah mungkin naik setiap kali memikirkan bajet Aidilfitri.

Dalam senario sekarang yang menuntut kita berjimat cermat, sudah tentu soal kewangan dan kaedah pengurusannya perlu diberi perhatian. Baik mereka yang berkeluarga mahu pun yang masih bujang, isu perbelanjaan berhemah bukan lagi menjadi bahan berita yang ditonton di televisyen atau dibaca di akhbar, sebaliknya perlu dipraktikkan mulai sekarang.

Membicarakan soal persiapan Aidilfitri, sukar menepis keinginan berbelanja yang mungkin didorong keseronokan meraikan Syawal. Selepas sebulan berpuasa, mengawal nafsu dan mengerjakan amal ibadat selama 30 hari, hati tentunya mahu bergembira di hari mulia ini.

Bagi mereka yang tidak mempunyai komitmen tinggi, isu belanja raya mungkin tidak menjadi soal. Apa saja dihajati boleh dibeli asalkan menepati perbelanjaan yang dirancang. Tetapi bagaimana pula mereka yang berkeluarga besar?

Ibu bapa yang memiliki anak ramai tentu pening memikirkan soal bajet Aidilfitri. Bagi yang bijak merancang, modal atau wang belanja menyambut hari raya mungkin sudah dikumpul sejak Aidilfitri tahun lalu. Sedar atau tidak, bajet RM150 yang disimpan setiap bulan selama setahun, Insya'Allah... pasti cukup membiayai sebahagian daripada perbelanjaan Aidilfitri kali ini.

Mungkin tidak keterlaluan jika dikatakan soal perbelanjaan Aidilfitri mungkin boleh menjadi isu besar bagi keluarga yang memiliki anak ramai. Memanglah diakui sukar memuaskan hati semua pihak, malah perbuatan berbelanja boros tidak digalakkan dalam Islam - namun jika bijak merancang dan berbelanja, perkara Aidilfitri masih boleh diraikan dengan penuh bergaya.

Akhir kata, berbelanja pada yang perlu, merancang sebelum bertindak dan jangan membazir.

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI,
MAAF ZAHIR BATIN.





Sunday, August 31, 2008

Katakan TIDAK pada Insuran/Takaful Berbentuk Pelaburan

Takaful/Insuran merupakan salah satu elemen dalam membuat Perancangan Kewangan.

Pada hari ini, terdapat insuran/takaful yang dipanggil Investment link takaful/Insurance Investment link atau takaful yang berbentuk pelaburan.

Adalah lebih baik agar anda mengkaji semula dengan sebaiknya jika anda ingin melabur dalam takaful/insuran berbentuk pelaburan. Amat tidak digalakkan ada berbentuk pelaburan apabila anda ingin membeli takaful/insuran.

Ingat!!!! Takaful/insuran adalah untuk PERLINDUNGAN dan ia BUKAN untuk PELABURAN. Oleh itu, anda perlu memaksimumkan perlindungan anda untuk masa kecemasan anda demi keluarga tercinta anda.

Perkara ini perlu diingatkan bahawa, PULANGAN untuk takaful/insuran yang berbentuk pelaburan berkemungkinan besar adalah SANGAT RENDAH manakala, PERLINDUNGAN yang diberikan pula TIDAK seTINGGI mana, sedangkan jumlah premium yang dibayar dari kocek kita adalah tinggi.

Oleh yang demikian, anda perlu mengkaji dengan teliti insuran/takaful anda supaya anda tidak rugi dengan tidak mendapat perlindungan atau tidak mendapat pulangan yang tinggi di hari kemudian nanti.....

Akhir kata, gunakanlah wang anda dengan bijak....



Kenapa Kita Perlu Merancang Kewangan

Thursday, August 28, 2008

Jumlah RM diperlukan sekiranya kita diberhentikan kerja?

Pada umumnya, ramai daripada kita merasa berada dalam situasi 3S (Senang, Selesa & Selamat) dan stabil kerana kononnya mempunyai pekerjaaan yang tetap di syarikat yang kukuh.

Tetapi, ramaikah di antara kita akan menyedari sekiranya suatu hari nanti kita akan diberhentikan kerja. Adakah kita boleh survive untuk selama 3, 6 dan 9 bulan lagi sementara dapat kerja baru yang tetap????

Dalam perancangan kewangan, kita perlu menyediakan reserve sekurang-kurangnya 9 bulan untuk backup plan & simpanan 9 bulan sebelum kita mula melabur. Adalah lebih selamat sekiranya kita boleh menyediakan reserve 12 bulan ke atas. Ini bermakna, sekiranya apa-apa berlaku kepada diri kita, kita boleh survive tanpa bekerja untuk selama beberapa bulan.

Banyak peristiwa dan kejadian yang berlaku kepada mereka yang tiada mempunyai simpanan dan diberhentikan kerja....... biasanya psikologi mereka agak tertekan dan susah untuk memberi tumpuan kepada pekerjaan. Ini terjadi kebanyakkan mereka tidak boleh melunaskan bil-bil dan pinjaman-pinjaman yang tertunggak. Keadaan ini, tidak pula terjadi kepada mereka-mereka yang mempunyai reserve backup plan, tekanan perasaan agak kurang dan konsentrasi kerja pada tahap boleh diuruskan.

Untuk mengetahui berapa banyak yang diperlukan, kita boleh menggunakan pengiraan ringkas seperti berikut:

Total Expenses Sebulan X 9 bulan backup plan.

Sekiranya Total Expenses kita sebanyak RM2,000 sebulan, maka backup plan dan simpanan kita selama 9 bulan adalah sebanyak RM18,000. Setahun adalah sebanyak RM24,000.

Jadi, tanya sendiri pada diri kita hari ini.....adakah kita sudah mempunyai simpanan sebanyak itu ketika ini?

Apa yang kita perlu lakukan hari ini adalah merancang kerana tanpa perancangan kita sebenarnya merancang untuk gagal.....



Tanda-tanda Masalah Kewangan

Thursday, August 7, 2008

Tiada Pengurusan Kewangan Yang Sempurna?

Benarkah keadaan kewangan kita tidak sempurna.....?

Perkara-perkara berikut adalah kemungkinan-kemungkinan kewangan kita tidak sempurna, berterabur & tidak tentu arah.....

- Tiada yang mengajar kita tentang ilmu pengurusan kewangan yang betul.
- Mungkin orang lain (yang tiada ilmu dan sama seperti kita) yang menguruskan kewangan kita.
- Mempunyai penasihat-penasihat kewangan yang tidak sesuai. Erti kata lain, mereka itu tidak bertauliah.
- Nasihat yang diberikan tidak tepat & salah.
- Adanya sikap tamak dalam diri.
- Mempunyai ilmu kewangan yang tidak mencukupi. Hanya tahu basic saja, manakala applikasinya tidak mengikut keadaan semasa.
- Tidak menyedari akan kepentingan pengurusan kewangan.
- Tidak mahu belajar dan mencari ilmu berkenaan dengan pengurusan kewangan.
- Tiada matlamat kewangan.
- Hidup mengikut arus dunia & nafsu.



Tanda-tanda Masalah Kewangan

Tuesday, August 5, 2008

Kenapa Kita Perlu Merancang Kewangan

Tujuan merancang kewangan adalah....

1. Dapat menolong mengatasi kesan inflasi.
2. Dapat memastikan pendapatan kita cukup pada masa yang diperlukan terutama semasa kecemasan.
3. Dapat memberi arah tuju objektif kewangan kita.
4. Dapat memperbaiki cara hidup kita sekarang dan masa-masa akan datang.
5. Dapat memberi ketenangan fikiran.


Kenapa perlu merancang?

* Supaya kita dapat membeli rumah yang selesa untuk kita dan keluarga.
* Supaya kita dapat mengahwini isteri/suami yang soleh (bagi mereka-mereka yang masih bujang dan ada bercadang untuk mendirikan rumah tangga).
* Supaya kita dapat memberi pendidikan yang cukup & sempurna kepada anak-anak. Erti kata lain kita dapat memberi bekalan untuk mereka menempuh kehidupan yang mencabar pada masa akan datang.
* Supaya kita dapat bersara awal dengan selesa.
* Supaya kita dapat hidup dengan selesa & tenang.
* Supaya kita dapat meninggalkan bekalan kewangan yang cukup kepada keluarga jika berlaku kematian kepada diri kita.



Catatan Bantu Kenal Pasti Tabiat Berbelanja

Wednesday, July 16, 2008

Catatan Bantu Kenal Pasti Tabiat Berbelanja

SETIAP orang perlu menguruskan wang dengan bijak tanpa mengira berapa banyak yang dimiliki.

Kunci kepada pengurusan kewangan yang berjaya adalah menyediakan pelan yang ditulis, seterusnya diikuti.

Pelan perancangan kewangan yang ditulis adalah berkesan kerana apabila anda melihat apa yang ditulis, ia mengingatkan anda mengenai tindakan yang perlu diambil bagi mencapai matlamat ditetapkan.


Pelan perancangan kewangan boleh dibangunkan menerusi pendekatan berikut:

Tetapkan matlamat anda.

Langkah pertama dalam pelan perancangan kewangan adalah dengan menetapkan matlamat kewangan seperti untuk membeli rumah, tujuan pendidikan anak atau keperluan selepas bersara.

Matlamat perancangan kewangan yang baik perlu dibuat secara lebih khusus, boleh diukur tahap pencapaiannya dan terikat kepada satu tempoh masa.

Matlamat itu mungkin boleh diubah mengikut keadaan, tetapi ia seharusnya menjadi faktor penggalak dan motivasi untuk meneruskan bajet dan perancangan kewangan.

Tahu ke mana wang anda mengalir.

Langkah seterusnya adalah melihat corak atau tabiat perbelanjaan. Tulis setiap butiran perbelanjaan yang dibuat untuk sesuatu jangka masa, contohnya perbelanjaan dalam tempoh dua bulan.

Jika mendapati anda berbelanja lebih daripada pendapatan, anda perlu menimbang untuk mengurangkan perbelanjaan ke atas barangan mewah atau perkara yang tidak perlu.

Apabila anda tahu ke mana wang itu mengalir, anda boleh mula membuat bajet dan mula menyimpan ke arah mencapai matlamat kewangan anda.

Peruntukan perbelanjaan akan bergantung kepada beberapa faktor seperti usia, pendapatan, tempoh masa dan corak perbelanjaan.

Bagaimanapun anda seharusnya menyediakan sejumlah wang atau simpanan bagi tujuan kegunaan di masa kecemasan seperti jatuh sakit atau dibuang kerja.

Jumlah simpanan bagi tujuan kecemasan ini perlu menyamai jumlah perbelanjaan anda untuk tempoh kira-kira enam bulan.

Menilai dan menyemak semula

Langkah terakhir dalam menentukan kejayaan sesuatu perancangan kewangan adalah dengan menilai dan menyemak semula pelan itu secara kerap.

Perancangan kewangan mungkin berubah apabila keperluan kita berubah apabila semakin menghampiri matlamat.

Jika anda mendapati agak sukar mencapai matlamat mengikut tempoh masa yang ditetapkan, anda mungkin perlu menilai semula atau mengubah suai tabiat perbelanjaan, atau menimbang menukar matlamat perancangan kewangan kepada yang lebih realistik.

Usia terlalu muda bukan alasan untuk kita tidak mula menguruskan kewangan.

Malah, ibu bapa perlu mengajar tabiat perbelanjaan yang baik dan kemahiran pengurusan kewangan kepada anak mereka.

Sebagai contoh, daripada memberikan barang permainan kepada anak secara terus, ibu bapa boleh memberikan anak mereka sejumlah wang saku bulanan sebagai ‘gaji’ kepada anak yang menyelesaikan sesuatu tugas, jadi mereka boleh menggunakan wang itu sebagai simpanan untuk membeli barang permainan berkenaan.

Dengan cara ini, kanak-kanak akan lebih menghargai nilai wang dan pada masa sama menikmati pulangan daripada tugasan yang mereka telah selesaikan seperti membantu membasuh kereta atau menyiram pokok.

Selain itu, Bank Negara Malaysia dengan kerjasama Persatuan Bank-bank di Malaysia turut menerbitkan buku panduan ‘Menguruskan Wang Anda’ yang menyediakan banyak panduan berguna mengenai kaedah berbelanja, menyimpan dan melaburkan wang anda.

Sebaik saja anda boleh menguruskan wang dengan teratur, anda boleh mula melihat kepada cadangan melaburkan lebihan wang yang anda bagi memaksimumkan pulangan

Kebanyakan bank sekarang mempunyai pegawai perancang kewangan yang boleh memberikan nasihat yang dapat membantu anda cara terbaik melaburkan wang.

Sumber: Persatuan Bank-bank di Malaysia (ABM)



Tanda-tanda Masalah Kewangan