Wednesday, July 16, 2008

Catatan Bantu Kenal Pasti Tabiat Berbelanja

SETIAP orang perlu menguruskan wang dengan bijak tanpa mengira berapa banyak yang dimiliki.

Kunci kepada pengurusan kewangan yang berjaya adalah menyediakan pelan yang ditulis, seterusnya diikuti.

Pelan perancangan kewangan yang ditulis adalah berkesan kerana apabila anda melihat apa yang ditulis, ia mengingatkan anda mengenai tindakan yang perlu diambil bagi mencapai matlamat ditetapkan.


Pelan perancangan kewangan boleh dibangunkan menerusi pendekatan berikut:

Tetapkan matlamat anda.

Langkah pertama dalam pelan perancangan kewangan adalah dengan menetapkan matlamat kewangan seperti untuk membeli rumah, tujuan pendidikan anak atau keperluan selepas bersara.

Matlamat perancangan kewangan yang baik perlu dibuat secara lebih khusus, boleh diukur tahap pencapaiannya dan terikat kepada satu tempoh masa.

Matlamat itu mungkin boleh diubah mengikut keadaan, tetapi ia seharusnya menjadi faktor penggalak dan motivasi untuk meneruskan bajet dan perancangan kewangan.

Tahu ke mana wang anda mengalir.

Langkah seterusnya adalah melihat corak atau tabiat perbelanjaan. Tulis setiap butiran perbelanjaan yang dibuat untuk sesuatu jangka masa, contohnya perbelanjaan dalam tempoh dua bulan.

Jika mendapati anda berbelanja lebih daripada pendapatan, anda perlu menimbang untuk mengurangkan perbelanjaan ke atas barangan mewah atau perkara yang tidak perlu.

Apabila anda tahu ke mana wang itu mengalir, anda boleh mula membuat bajet dan mula menyimpan ke arah mencapai matlamat kewangan anda.

Peruntukan perbelanjaan akan bergantung kepada beberapa faktor seperti usia, pendapatan, tempoh masa dan corak perbelanjaan.

Bagaimanapun anda seharusnya menyediakan sejumlah wang atau simpanan bagi tujuan kegunaan di masa kecemasan seperti jatuh sakit atau dibuang kerja.

Jumlah simpanan bagi tujuan kecemasan ini perlu menyamai jumlah perbelanjaan anda untuk tempoh kira-kira enam bulan.

Menilai dan menyemak semula

Langkah terakhir dalam menentukan kejayaan sesuatu perancangan kewangan adalah dengan menilai dan menyemak semula pelan itu secara kerap.

Perancangan kewangan mungkin berubah apabila keperluan kita berubah apabila semakin menghampiri matlamat.

Jika anda mendapati agak sukar mencapai matlamat mengikut tempoh masa yang ditetapkan, anda mungkin perlu menilai semula atau mengubah suai tabiat perbelanjaan, atau menimbang menukar matlamat perancangan kewangan kepada yang lebih realistik.

Usia terlalu muda bukan alasan untuk kita tidak mula menguruskan kewangan.

Malah, ibu bapa perlu mengajar tabiat perbelanjaan yang baik dan kemahiran pengurusan kewangan kepada anak mereka.

Sebagai contoh, daripada memberikan barang permainan kepada anak secara terus, ibu bapa boleh memberikan anak mereka sejumlah wang saku bulanan sebagai ‘gaji’ kepada anak yang menyelesaikan sesuatu tugas, jadi mereka boleh menggunakan wang itu sebagai simpanan untuk membeli barang permainan berkenaan.

Dengan cara ini, kanak-kanak akan lebih menghargai nilai wang dan pada masa sama menikmati pulangan daripada tugasan yang mereka telah selesaikan seperti membantu membasuh kereta atau menyiram pokok.

Selain itu, Bank Negara Malaysia dengan kerjasama Persatuan Bank-bank di Malaysia turut menerbitkan buku panduan ‘Menguruskan Wang Anda’ yang menyediakan banyak panduan berguna mengenai kaedah berbelanja, menyimpan dan melaburkan wang anda.

Sebaik saja anda boleh menguruskan wang dengan teratur, anda boleh mula melihat kepada cadangan melaburkan lebihan wang yang anda bagi memaksimumkan pulangan

Kebanyakan bank sekarang mempunyai pegawai perancang kewangan yang boleh memberikan nasihat yang dapat membantu anda cara terbaik melaburkan wang.

Sumber: Persatuan Bank-bank di Malaysia (ABM)



Tanda-tanda Masalah Kewangan

No comments: