Monday, September 30, 2013

Menu Buffet Dalam Pelaburan

1.    Dapatkan maklumat terlebih dahulu
Sebelum membuat tempahan meja untuk menikmati hidangan bufet di sesebuah hotel ataupun restoran, pasti anda bertanya kepada rakan-rakan dan melihat ulasan-ulasan mengenai restoran tersebut terlebih dahulu. Anda semestinya tidak mahu dikecewakan dengan hidangan bufet yang kurang enak.

Begitu juga dengan pelaburan. Sebelum melaburkan wang dalam sesuatu  produk pelaburan, pastikan anda telah mendapatkan sebanyak mungkin maklumat mengenai produk pelaburan tersebut. Baca dan fahami semua informasi berkaitan dengan pelaburan yang akan dibuat.

Untuk pelaburan saham, jangan lupa untuk menganalisa laporan tahunan, prospektus dan lain-lain dokumen yang berkaitan dengan syarikat yang menawarkan saham tersebut. Berwaspadalah dengan khabar angin dan ‘tip-tip’ pelaburan yang tidak berasas.

Bagi unit amanah pula, amalkan tabiat membaca prospektus dan laporan tahunan dana tersebut. Teliti prestasi dana syarikat berkaitan, profil risiko pelabur dan juga cara pengurusan syarikat tersebut sebelum membuat keputusan.

2.    Kawal pemakanan anda!

Biasanya, anda dinasihatkan untuk mengalas perut bagi mengelakkan rasa terlalu lapar sementara menantikan jamuan bufet yang bakal dihidangkan. Dengan cara ini, sekiranya anda berubah fikiran untuk makan di tempat lain setelah mendapati hidangan bufet yang dinanti-nantikan tidak seenak yang disangka, anda tidak akan kebuluran sebelum tiba di destinasi yang seterusnya.

Begitu juga, anda dinasihatkan untuk memiliki wang lebihan sebanyak enam hingga sembilan bulan daripada perbelanjaan bulanan sebelum melabur. Ini bagi memastikan anda mempunyai dana yang mencukupi jika berlaku perkara yang tidak diingini atau pelaburan mengalami kerugian.

3.    Sabar dalam mencapai mencapai matlamat anda

Kebanyakan orang sanggup beratur panjang bagi mendapatkan sesuatu jenis makanan yang diinginkan dalam hidangan sesebuah bufet. Begitu juga dengan pelaburan, anda haruslah sabar dan melabur untuk jangka masa panjang. Kerugian jangka pendek sememangnya merupakan asam garam pelaburan. Namun, jika anda sabar dan terus mengamalkan pelaburan untuk jangka panjang, kerugian tersebut akan ditampung oleh keuntungan yang bakal diperolehi kelak.

4.    Cuba pelbagai jenis makanan

Ketika di meja bufet, anda biasanya dinasihatkan untuk mencuba pelbagai jenis makanan yang dihidangkan dan tidak menumpukan perhatian kepada  satu jenis makanan sahaja. Melalui cara ini, anda akan dapat mengetahui makanan mana yang paling enak dan lazat.
    
Konsep yang sama perlu diaplikasikan dalam pelaburan. Anda tidak sepatutnya meletakkan kesemua wang anda dalam satu produk pelaburan sahaja. Pelbagaikan pelaburan anda dalam produk atau sektor yang berlainan. Contohnya, jika anda melabur dalam ekuiti, pelbagaikan pelaburan anda dalam beberapa jenis syarikat dan sektor, dan jika anda melabur dalam unit amanah pelbagaikan jenis-jenis dana pelaburan anda.

Ini merupakan cara terbaik untuk mengurangkan risiko anda kerana kerugian yang dialami akibat suatu pelaburan boleh ditampung oleh keuntungan yang diperolehi daripada pelaburan yang lain.

5.    Ubah fikiran jika perlu

Ada kalanya, restoran atau hotel yang dikunjungi tidak memuaskan hati anda. Sekiranya ini berlaku, beralihlah ke tempat lain yang dapat memenuhi citarasa anda.

Dalam hal pelaburan, prinsip ini juga boleh dipakai. Anda tidak sepatutnya takut untuk beralih kepada pelaburan yang lain sekiranya mendapati produk tersebut tidak serasi dengan matlamat pelaburan atau tidak memberi pulangan yang diharapkan. Kaji semula dan selalu pantau pelaburan anda untuk memastikan yang ianya masih relevan dengan matlamat kewangan.

6.    Awasi promosi harga murah

Anda pastinya berasa curiga jika ditawarkan promosi bufet yang terlalu murah tetapi mendapat hidangan bertaraf hotel 5 bintang. Besar kemungkinan ada yang tidak kena dengan bufet tersebut.

Begitu juga dengan pelaburan, terdapat banyak syarikat yang menjanjikan pulangan yang tinggi, tanpa risiko dan memerlukan modal yang rendah. Sebagai pelabur bijak, anda tidak sepatutnya mudah terpedaya dengan janji-janji seperti ini. Ingatlah bahawa lebih tinggi pulangan sesuatu pelaburan, maka lebih tinggi juga risikonya!

Akhir sekali, pelaburan adalah sesuatu yang sepatutnya memberi anda kepuasan sepertimana menikmati sesuatu hidangan bufet yang enak. Sungguhpun demikian, ingatlah bahawa seseorang pelabur bijak akan sentiasa mengamalkan langkah-langkah di atas bagi memastikan diri mereka dapat membuat keputusan pelaburan yang bermaklumat

Info dari www.min.com.my

Sunday, September 29, 2013

77 syarikat pelaburan tidak sah

KUALA LUMPUR 31 Julai - Para pelabur di negara ini perlu berhati-hati membuat pelaburan kewangan agar tidak terjebak melabur ke dalam syarikat-syarikat pelaburan yang tidak mendapat kelulusan daripada Bank Negara Malaysia (BNM), termasuk membabitkan skim-skim kewangan yang melibatkan pelaburan emas dan logam berharga lain.



Menurut BNM, sejumlah 77 syarikat atau individu telah disenaraikan sebagai entiti yang tidak mendapat kelulusan dan tidak sah menjalankan aktiviti pelaburan mengikut peraturan kewangan di negara ini.

Antara jenis-jenis aktiviti yang dijalankan oleh syarikat atau individu tersebut kebanyakannya berkisar kepada pelaburan emas, perniagaan mata wang asing atau menjalankan pelaburan tidak berlesen.

Bank pusat itu berkata, ia menerima pertanyaan daripada orang ramai berhubung dengan syarikat yang mendakwa sebagai institusi terjadual dengan BNM untuk membolehkan syarikat tersebut mendapatkan pelaburan daripada orang ramai.

BNM dalam satu kenyataan di sini hari ini menyatakan bank pusat itu tidak mengeluarkan sebarang lesen mahupun surat kebenaran perniagaan kepada syarikat yang menjalankan aktiviti pemajakan, pemfaktoran, pembangunan kewangan atau pembangunan kredit.

Tegasnya, di bawah Akta Bank dan Institusi Kewangan 1989, syarikat-syarikat tersebut perlu mendapat perakuan bertulis daripada Bank Negara sebelum boleh menjalankan aktiviti itu di negara ini.

"Surat perakuan tersebut yang dikeluarkan oleh BNM bukan lesen perniagaan atau kelulusan daripada BNM berhubung dengan perniagaan terjadual seperti dinyatakan dalam surat perakuan berkenaan, ataupun perniagaan lain yang dijalankan oleh institusi terjadual berkenaan," kata bank itu.

"Senarai institusi terjadual yang telah mendapat perakuan daripada Bank Negara itu hanya untuk disimpan bagi tujuan perangkaan semata-mata.

"Sekiranya syarikat-syarikat tersebut telah berhenti daripada menjalankan perniagaan terjadualnya, BNM akan menarik balik surat perakuan tersebut," kata bank pusat itu dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Justeru ia menasihatkan orang ramai supaya berwaspada apabila berurusan dengan syarikat atau individu yang menggunakan surat perakuan yang dikatakan dikeluarkan oleh BNM untuk menarik pelaburan dalam pelbagai skim kewangan.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh merujuk kepada bahagian 'Peringatan kepada Semua Penggguna Kewangan' yang terdapat di laman sesawang Bank Negara http://www.bnm.gov.my atau hubungi talian: 1-300-88-5465 atau dan e-mel: bnmtelelink@bnm.gov.my

Senarai-senarai syarikat tersebut:
  1. 1globalcash ;Aktiviti tidak berlesen ;13/07/2012
  2. 1Gold.com.my ; Pelaburan emas ; 13/07/2012
  3. Al-Saliha Worlwide Sdn. Bhd. ; Aktiviti tidak berlesen; 13/07/2012
  4. Amsyiq Gold Enterprise ; Pelaburan emas ; 13/07/2012
  5. AU Niaga Sdn. Bhd. ; Pelaburan emas ; 13/07/2012
  6. AU79 International ; Pelaburan emas ; 13/07/2012
  7. Bumi Klasik Warisan Enterprise ; Aktiviti tidak berlesen ;13/07/2012
  8. Caesar Gold Sdn. Bhd. ; Pelaburan emas ;13/07/2012
  9. Cakera Ringgit Sdn. Bhd. ;Aktiviti tidak berlesen ; 13/07/2012
  10. Dana Haji Jasman ; Aktiviti tidak berlesen ; 13/07/2012
  11. Degold Empire S/B ; Pelaburan emas ; 13/07/2012
  12. DNA Profile Sdn. Bhd. ; Aktiviti tidak berlesen ; 13/07/2012
  13. East Cape Mining Corp ; Pelaburan emas ; 13/07/2012
  14. Extra Capital Programme ; Perniagaan mata wang asing ; 13/07/2012
  15. Ezey Marketing ; Aktiviti tidak berlesen ; 13/07/2012
  16. FE Brands (M) S/B ; Aktiviti tidak berlesen ; 13/07/2012;
  17. Flexsy Enterprise & Barrilorne Corp ; Pelaburan emas ; 13/07/2012
  18. FNZ Capital Limited ; Perniagaan mata wang asing ; 13/07/2012
  19. FX Primus ; Perniagaan mata wang asing ; 13/07/2012
  20. Gain FX Capital S/B ; Perniagaan mata wang asing ; 13/07/2012
  21. Gan Patt Services ; Aktiviti tidak berlesen ; 13/07/2012
  22. Genneva Malaysia Sdn Bhd ; Pelaburan emas ; 13/07/2012
  23. GGF Golden House Sdn Bhd ; Pelaburan emas ; 13/07/2012
  24. Global Creation Trading ; Aktiviti tidak berlesen ; 13/07/2012
  25. Global Venture Financing ; Perniagaan mata wang asing ; 13/07/2012
  26. Gorgeous Chain Sdn. Bhd. ; Perniagaan mata wang asing ; 13/07/2012
  27. Great Access Sdn. Bhd. ; Aktiviti tidak berlesen ; 13/07/2012
  28. Hexa Commerce Sdn Bhd ; Perniagaan mata wang asing ; 13/07/2012
  29. Honest Group Ltd ; Aktiviti tidak berlesen ; 13/07/2012
  30. Iconhill Holding Sdn Bhd ; Aktiviti tidak berlesen ; 13/07/2012
  31. IGC Diamond ; Pelaburan emas ; 13/07/2012
  32. Instaforex ; Perniagaan mata wang asing ; 13/07/2012
  33. Isothree Gold Sdn. Bhd. ; Pelaburan emas ; 13/07/2012
  34. Jalatama Management Sdn Bhd ; Pelaburan emas ; 13/07/2012
  35. Jazlaan Enterprise ; Aktiviti tidak berlesen ; 13/07/2012
  36. JM Communications & Technology Sdn Bhd ; Aktiviti tidak berlesen ; 13/07/2012
  37. JMI Global ; Aktiviti tidak berlesen ; 13/07/2012
  38. JTGold ; Pelaburan emas ; 13/07/2012
  39. Kris Plus Enterprise ; Aktiviti tidak berlesen ; 13/07/2012
  40. Lestari2U ; Aktiviti tidak berlesen ; 13/07/2012
  41. Liberty Reserve ; Perniagaan mata wang asing ; 13/07/2012
  42. Life Time Holidays Sdn. Bhd. ; Aktiviti tidak berlesen ; 13/07/2012
  43. LocalAdClic; Aktiviti tidak berlesen ; 13/07/2012
  44. Mari Wholesale (M) S/B ; Aktiviti tidak berlesen ;13/07/2012
  45. Mega Dynasty S/B ; Pelaburan emas ; 13/07/2012
  46. Megaherbs Bioextreme ; Aktiviti tidak berlesen ; 13/07/2012
  47. One AutoCash ; Aktiviti tidak berlesen ; 13/07/2012
  48. Pageantry Gold Berhad ; Pelaburan emas ; 13/07/2012
  49. Pancar Mayang Sdn. Bhd. ; Aktiviti tidak berlesen ;13/07/2012
  50. Pars Pay Sdn. Bhd. ; Aktiviti tidak berlesen ; 13/07/2012
  51. Prestige Dairy Farm ; Aktiviti tidak berlesen ; 13/07/2012
  52. Program 10 Bulan Forex Trading ; Perniagaan mata wang asing ; 13/07/2012
  53. Program I-Rich ; Aktiviti tidak berlesen ; 13/07/2012
  54. Projek Duit 2012 ; Perniagaan mata wang asing ; 13/07/2012
  55. Provisio Multimedia ; Perniagaan mata wang asing ; 13/07/2012
  56. Real Ingenious S/B ; Perniagaan mata wang asing ; 13/07/2012
  57. RGCX Trading Corp ; Perniagaan mata wang asing ; 13/07/2012
  58. RMMUDAH.COM ; Aktiviti tidak berlesen ; 13/07/2012
  59. Rowther Technologies MSC Sdn Bhd ; Aktiviti tidak berlesen ;13/07/2012
  60. RS Capital Holdings Bhd ; Aktiviti tidak berlesen ; 13/07/2012
  61. Slimberry Extreme Team ; Aktiviti tidak berlesen ; 13/07/2012
  62. Speedline ; Perniagaan mata wang asing ; 13/07/2012
  63. Sri Perkasa Emas Trading ; Pelaburan emas ; 13/07/2012
  64. Suliz Pearl Mines ; Aktiviti tidak berlesen ; 13/07/2012
  65. Swiss Capital Venture ; Pelaburan emas ; 13/07/2012
  66. Syarikat GECS Ltd ; Perniagaan mata wang asing ; 13/07/2012
  67. Syarikat OLTA Capital Management Inc ; Perniagaan mata wang asing ; 13/07/2012
  68. Syarikat Sri Alam ; Aktiviti tidak berlesen ; 13/07/2012
  69. Tabung Dana Ehsan ; Aktiviti tidak berlesen ; 13/07/2012
  70. Titan Group Sdn. Bhd ; Aktiviti tidak berlesen ; 13/07/2012
  71. TukarGold.net ; Pelaburan emas ; 13/07/2012
  72. VC Gold Sdn. Bhd. ; Pelaburan emas ; 13/07/2012
  73. Vertical Dragon Sdn. Bhd. ; Aktiviti tidak berlesen ; 13/07/2012
  74. Virgin Gold Mining Corporation ; Pelaburan emas ; 13/07/2012
  75. Worldwide Far East Berhad ; Pelaburan emas ; 13/07/2012
  76. XOC7 ; Aktiviti tidak berlesen ; 13/07/2012
  77. Zeta Capital Management ; Aktiviti tidak berlesen ; 13/07/2012

.
Artikel ini dipetik dari Utusan Malaysia.

.
.

Monday, October 29, 2012

Orang muda muflis paling tinggi kadarnya.

KUALA LUMPUR, 28 Okt — Jumlah pemuda berusia 34 tahun ke bawah di Malaysia yang diisytiharkan muflis meningkat hampir setiap tahun sejak tahun 2001 terutamanya dikalangan orang Melayu, kata Datuk Nadzim Johan.


Setiausaha kerja Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) itu dipetik berkata dalam akhbar Berita Harian, hampir 47 peratus daripada jumlah keseluruhan 4,568 kes baru pada suku tahun ini yang direkodkan di Jabatan Insolvensi Malaysia (MdI) adalah Melayu.

“Aliran ini serius dan membimbangkan,” kata Syed Nadzim.

Manakala kaum Cina pula mencatatkan kedudukan kedua tertinggi sebanyak 34 peratus, kaum India 9 peratus dan lain-lain kaum adalah 10 peratus.

“Sesuatu perlu dilakukan segera untuk membendung masalah ini. Malah PPIM juga mahu Akta Kebangkrapan 1967 dan Kaedah Kebangkrapan 1969 dipinda kerana sudah lapuk dan tidak sesuai,” tambah beliau lagi.

Berdasarkan statistik daripada MdI bermula daripada 2007, jumlah kes kebangkrapan yang dicatat ialah 13,238 disusuli peningkatan pada 2008 kepada 13,855 dan terus meningkat pada 2011 kepada 19,167.

Selain itu, berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh MdI sebagai punca kepada pengisytiharan muflis ini sejak 2005 hingga Jun 2012 adalah disebabkan beberapa sebab, antaranya ialah sewa beli kenderaan sebanyak 25 peratus, keberhutangan lain sebanyak 21 peratus, pinjaman peribadi 13 peratus dan pinjaman perumahan 13 peratus serta lain-lain.

Disamping itu, negeri yang paling mencatatkan banyak kes muflis sepert yang direkodkan MdI adalah Selangor dengan jumlah 1,053 kes atau 23.05 peratus daripada 4,568 kes keseluruhan suku tahun ini.

“Statistik Jabatan Perangkaan yang kami peroleh menunjukkan nisbah muflis dengan penduduk di Selangor ialah 1:581, bermaksud seorang bagi setiap 581 penduduk di negeri itu diisytiharkan muflis,” tambah beliau lagi.


Artikel ini dipetik dari Yahoo.

Siapakah Yang memerlukan Perancang Kewangan

Thursday, September 27, 2012

Strategi Kewangan & Pelaburan Mengikut Peringkat Umur.



Strategi peringkat hidup merupakan strategi yang lazim digunakan dalam perancangan kewangan untuk pelaburan. Pendekatan ini adalah berdasarkan kepada tempoh tertentu yang dilalui oleh pelabur dalam hidupnya. Informasi di bawah memperjelaskan strategi berbeza yang boleh dilaksanakan seorang pelabur pada peringkat berbeza dalam hidupnya.

Tahun-tahun Awal (Sehingga anda berumur awal 30-an)
Matlamat Kewangan anda adalah ditahap permulaan yang mana matlamat kewangan untuk jangka masa pendek (iaitu sela masa di antara 5 - 7 tahun). Anda juga harus menumpukan perhatian kepada mengumpul dana kecemasan.

Langkah berikutnya, anda perlu membuat pertimbangan bila & bagaimana anda perlu mula menyimpan. Manakala, simpanan anda itu perlu cair untuk memenuhi keperluan jangka pendek anda.

Seterusnya, membuat strategi pelaburan anda dengan membentuk perancangan di mana anda mula melabur secara tetap untuk keperluan jangka pendek dan persaraan. Harus diingatkan pelaburan anda mesti berorientasikan pertumbuhan jangka panjang.

Tahun-tahun Pertengahan (30-an hingga akhir 40-an)
Matlamat Kewangan anda adalah ditahap pertengahan yang mana matlamat kewangan untuk jangka masa sederhana (iaitu sela masa di antara 7 - 15 tahun). Ketika ini matlamat kewangan anda adalah mengumpul & melabur di mana anda harus menambah simpanan anda. Anda juga perlu menetapkan strategi simpanan yang mantap di samping memberi perhatian kepada matlamat kewangan jangka pendek & sederhana panjang.

Ketika usia sebegini, pertimbangan anda harus tertumpu kepada komitmen keluarga (gadai janji, perbelanjaan pendidikan anak-anak) & menguruskan pelaburan anda.

Oleh itu, strategi pelaburan harus dipelbagaikan yang mana bahagian (financial allocation) yang lebih besar perlu tertumpu kepada jenis pelaburan pertumbuhan/ekuiti.

Menjelang Persaraan (lewat 40-an sehingga persaraan)
Matlamat Kewangan anda adalah ditahap akhir alam pekerjaan yang mana matlamat kewangan untuk jangka masa panjang (iaitu sela masa di antara 15 - 20 tahun). Ketika ini matlamat kewangan anda harus berada dalam keadaan pengukuhan untuk masa depan. Oleh yang demikan, anda perlu memaksimumkan pelaburan & cenderung untuk beralih kepada jangka sederhana.


Sunday, August 26, 2012

Caj-caj pihak bank ke atas kad kredit.

Terdapat pelbagai jenis caj yang anda perlu fahami, termasuklah:


Yuran penyertaan

Pengeluar kad kredit mungkin akan mengenakan yuran yang akan dikenakan sekali sahaja. Yuran ini mungkin berbeza antara satu pengeluar kad kredit dengan yang lain.

Yuran tahunan

Ini adalah yuran sama rata yang perlu dibayar setahun sekali. Anda dikehendaki membayar yuran tersebut walaupun anda tidak pernah menggunakan kad kredit anda. Yuran tahunan biasanya adalah di dalam lingkungan RM60 hingga RM90 untuk kad klasik dan RM130 hingga RM195 untuk kad emas.

Caj kewangan (faedah)

Ini adalah caj yang dikenakan kepada anda oleh pengeluar kad kredit ke atas baki yang belum dijelaskan selepas tarikh tamat tempoh. Caj ini biasanya dikira berdasarkan baki harian. Bermula daripada 1 Julai 2008, kadar faedah yang dikenakan adalah secara bertingkat mengikut amalan pembayaran balik pemegang kad. Ini bertujuan untuk menggalakkan penggunaan kad kredit secara berdisiplin di kalangan pemegang kad. Bermula dari 31 Mac 2009, kadar faedah baru yang dikenakan adalah seperti berikut:

1. Bagi Rekod Pembayaran Balik Pemegang kad yang menjelaskan bayaran minimum selama 12 bulan berturut-turut. Kadar Faedah yang dikenakan adalah sehingga 13.5% setahun.

2. Bagi Rekod Pembayaran Balik Pemegang kad yang menjelaskan bayaran minimum selama 10 bulan atau lebih sepanjang tempoh 12 bulan. Kadar Faedah yang dikenakan adalah sebanyak 16% setahun.

3. Selain daripada 1 & 2, Kadar Faedah yang dikenakan boleh melebihi 17.5% setahun. WoW!!! Baaanyaaaaknya….. (kalau simpan dalam KPF pon hanya dapat 16% setahun)

Dapatkan nasihat daripada pengeluar kad kredit anda berkenaan cara-cara untuk mengira caj yang dikenakan supaya anda tidak perlu membayar caj yang dapat dielakkan.

Yuran pendahuluan wang tunai

Ini adalah yuran yang dikenakan bagi setiap kali pendahuluan wang tunai diperoleh. Yuran ini biasanya 3% hingga 5% daripada jumlah pendahuluan wang tunai yang diambil dan merupakan tambahan kepada caj kewangan yang dikenakan ke atas jumlah pendahuluan yang diberikan kepada anda. Caj kewangan dikira bermula daripada tarikh wang tersebut diambil atau apabila jumlah tersebut tercatat ke dalam akaun kad kredit anda. Jumlah pendahuluan wang tunai ini mungkin dihadkan untuk setiap pelanggan.

Caj bayaran lewat

Ini adalah caj yang dikenakan jika anda gagal untuk menjelaskan sekurang- kurangnya jumlah bulanan minimum sebelum tarikh yang ditetapkan. Jika anda bayar selepas tarikh tamat tempoh, anda akan dikenakan caj kewangan (faedah ke atas baki belum jelas) dan caj bayaran lewat. Caj bayaran lewat boleh mencecah 1% daripada baki belum jelas atau jumlah maksimum sebanyak RM75 manakala jumlah minimum sebanyak RM5.

Maklumat terperinci kesemua fi dan caj kad kredit anda terdapat di laman web institusi perbankan anda.

Caj kewangan, yuran dan tempoh tanpa faedah

Anda boleh menikmati tempoh tanpa faedah, kebiasaannya selama 20 hari dari tarikh urus niaga mula direkodkan (untuk pembelian sahaja) sekiranya anda tidak mempunyai sebarang jumlah tertunggak yang perlu dibayar dari bulan sebelumnya. Oleh itu, sekiranya anda hanya membayar sebahagian atau jumlah minimum baki yang perlu dibayar, anda akan dikenakan faedah ke atas semua pembelian yang dibuat melalui kad kredit anda dari tarikh urus niaga direkodkan.



  (dipetik dari bankinginfo)



  Amalkan Formula S.E.B.E.L.A.S

Monday, August 20, 2012

Perlukah Kad Kredit atau Batalkan sahaja?

Ikuti beberapa panduan untuk Membantu Anda Menjawab Soalan “Wajarkah saya terus memiliki kad kredit dan membayar RM50 cukai perkhidmatan atau patutkah saya batalkan sahaja kad kredit tersebut?”


Walaupun setiap tahun Bajet tahunan telah diumumkan oleh Perdana Menteri / Menteri Kewangan Malaysia, namun pelaksanaan cukai perkhidmatan kad kredit sebanyak RM50 terus menjadi perbincangan hangat di kalangan rakyat Malaysia. Soalan yang kerap kali diajukan ialah: “Wajarkah saya terus memiliki kad kredit dan membayar RM50 cukai perkhidmatan atau patutkah saya batalkan sahaja kad kredit tersebut?”

Dalam artikel ini, kita akan membincangkan perkara-perkara yang harus diketahui semasa mempertimbangkan sama ada untuk membatalkan atau terus memiliki kad kredit. Setelah membaca artikel ini, anda bolehlah mempertimbangkan kelebihan dan kekurangan yang ada pada kad kredit dan kemudiannya membuat keputusan sendiri sama ada untuk terus memiliki atau membatalkan kad kredit yang dimiliki.

KELEBIHAN

• Kad kredit boleh digunakan pada waktu kecemasan. Contohnya, jika anda mendapatkan rawatan di hospital persendirian, kebiasaannya pihak hospital akan meminta bayaran pendahuluan. Kad kredit boleh membantu apabila anda berdepan dengan situasi sebegini.

• Kad kredit lebih mudah dan praktikal untuk dibawa berbanding dengan wang tunai.

• Syarikat-syarikat kad kredit sudah tentu akan cuba sedaya upaya mereka untuk mengekalkan anda sebagai pelanggan. Mereka mungkin akan menawarkan pelbagai bonus baru, ganjaran serta insentif supaya anda terus menggunakan kad kredit mereka. Lebih menarik lagi, ada juga bank yang membenarkan pelangannya menggunakan mata ganjaran yang dikumpul untuk melangsaikan cukai perkhidmatan kad kredit itu.

• Kad kredit membolehkan anda membuat pembelian melalui Internet. Jika anda kerap membeli-belah secara dalam talian (online), anda pasti tahu bahawa salah satu cara pembayaran yang sering diterima ialah penggunaan kad kredit.

• Fungsi auto-debit melalui kad kredit memudahkan anda untuk membayar bil dari rumah. Ini kerana bukan semua orang mempunyai masa untuk pergi ke bank/pejabat pos/pusat pembayaran bagi membuat pembayaran.



KEKURANGAN

• Kegagalan menguruskan hutang kad kredit dengan baik boleh mengundang pelbagai masalah, termasuklah kebankrapan. Sebuah bank terkemuka telah menjalankan kaji selidik tentang tabiat perbelanjaan rakyat Malaysia dan mendapati hanya 28% rakyat mematuhi bajet yang dibuat. Sementara itu, Jabatan Perangkaan Malaysia pula mendedahkan bahawa 50% rakyat Malaysia yang diisytiharkan bankrap terdiri daripada mereka di bawah umur 30 tahun.

• Jika kad kredit dicuri atau nombor PIN jatuh ke tangan orang yang tidak sepatutnya, anda mungkin terpaksa menanggung hutang kad kredit yang banyak.

• Kad kredit biasanya memberikan anda mata ganjaran yang kemudiannya boleh digunakan untuk menebus pelbagai hadiah menarik. Namun, jangan lupa bahawa anda perlu banyak berbelanja untuk mengumpul mata ganjaran tersebut. Situasi sebegini boleh mendorong anda berbelanja melebihi kemampuan, semata-mata kerana ingin mengumpul mata ganjaran dan memperoleh hadiah yang diidamkan.

• Oleh kerana anda tidak perlu menggunakan wang tunai sendiri tetapi sekadar sekeping kad untuk membeli barang, ramai yang cenderung membeli barang yang tidak perlu. Lebih teruk lagi, mereka beranggapan bahawa mereka "mampu” untuk membeli barangan yang mahal, sedangkan situasi kewangan mereka adalah sebaliknya.

• Biarpun jarang menggunakan kad kredit, anda masih perlu membayar cukai perkhidmatan sebanyak RM50 untuk setiap kad setahun dan ini sudah pastinya merugikan. Selain itu, syarikat kad kredit akan mengenakan pelbagai jenis caj bagi perkhidmatan yang ditawarkan. Walaupun ada syarikat yang menawarkan yuran tahunan percuma sepanjang hayat, ia biasanya tertakluk kepada syarat-syarat tertentu. Jika anda hanya menggunakan kad kredit setahun sekali, lebih baik batalkannya sahaja.

• Purata kadar faedah yang dikenakan oleh bank untuk penggunaan kad kredit ialah 18% setahun. Hakikatnya, lebih lama masa yang diambil untuk membayar hutang kad kredit, lebih banyaklah wang yang perlu dibayar kepada pihak bank!

• Yuran dan caj yang bakal dikenakan – Ingatlah bahawa bank atau syarikat kad kredit juga akan mengenakan yuran pembayaran lewat (serta yuran-yuran lain) sekiranya anda gagal menjelaskan hutang kad kredit dalam tempoh masa yang ditetapkan. Bayaran-bayaran sebegini pastinya membebankan anda dalam jangka masa panjang.



Kesimpulan

Kini, anda sepatutnya mempunyai gambaran dan idea yang lebih jelas berkaitan persoalan sama ada untuk terus memiliki atau pun membatalkan sahaja kad kredit yang dimiliki. Walau apapun keputusan anda, berikut adalah beberapa panduan mudah yang perlu diingati ketika menggunakan kad kredit:

1. Baca dan fahami terma dan syarat penggunaan kad. Elakkan kad kredit yang mengenakan yuran tahunan atau yuran lain yang tidak wajar. Berhati-hati dengan yuran tahunan yang mempunyai syarat yang membebankan seperti “Tiada yuran tahunan dikenakan jika anda berbelanja RM500 sebulan untuk petrol/barang harian”.

2. Gunakan satu kad kredit sahaja untuk tujuan kecemasan dan jangan lupa membandingkan kadar faedah sebelum mendaftar untuk kad kredit.

3. Pastikan anda sentiasa melangsaikan hutang kad kredit secepat mungkin.

4. Tetapkan had kredit untuk diri sendiri. Dengan menetapkan had perbelanjaan yang berpatutan berdasarkan pendapatan anda, masalah hutang yang membebankan boleh dielakkan berbanding mereka yang tidak menetapkan had perbelanjaan.


Sentiasa ingat bahawa kad kredit hanyalah suatu instrumen kewangan yang disediakan oleh pihak bank. Manakala, ia bukan instrumen untuk berhutang. Ia boleh membawa kebaikan dan keburukan, jadi terpulanglah kepada anda untuk menilai keperluan memilikinya serta penggunaanya dengan sebaik mungkin.


(Artikel dipetik dari Pelabur Malaysia)

    Belajar Tentang Saham - Waran

Monday, June 18, 2012

Ciri-ciri Pelabur Berjaya

Pakar-pakar pelaburan yang hebat sentiasa mendapat perhatian kerana pelbagai kisah kejayaan dan sesiapa sahaja yang berminat untuk melabur pasti ingin mengetahui rahsia di sebalik kejayaan mereka. Apabila menghadiri seminar-seminar dan membaca buku-buku mereka yang berjaya ini, kita akan mendapati bahawa terdapat pelbagai cara untuk berjaya, tetapi pada masa yang sama, kita boleh melihat terdapat persamaan antara cara-cara tersebut. Pada akhir artikel ini, anda akan dapat mengenal pasti beberapa ciri yang biasanya dimiliki oleh pakar-pakar pelaburan seperti Benjamin Graham, Warren Buffett, Philip A. Fisher, Peter Lynch, John Templeton dan John Neff.


Elakkan meramal pasaran

Melainkan dilahirkan dengan kebolehan meramal masa depan, biasanya anda akan dapati meramal pasaran memberikan kesan yang negatif. Hampir semua pakar pelaburan menyarankan bahawa anda tidak akan berjaya sekiranya mengatur strategi pembelian atau jualan dengan cubaan untuk meramal pergerakan harga pasaran di masa depan.
Terlalu banyak faktor yang mempengaruhi pasaran saham sehingga agak mustahil untuk sesiapa sahaja mengetahui dengan jelas arah jangka pendek atau waktu perubahan pergerakan pasaran. Banyak juga pakar-pakar yang menawarkan pelbagai model yang dibantu dengan komputer yang dikatakan dapat meramal pasaran dengan tepat. Namun, walau bagaimana canggih sekalipun model tersebut, ianya tidak pernah mampu mengambil kira faktor yang paling utama iaitu manusia atau pelabur itu sendiri. Biasanya manusia bertindak balas secara tidak rasional terhadap pergerakan pasaran dan menyumbang kepada keadaan pasaran yang tidak dapat diduga. Setiap pelabur akan dipengaruhi oleh ciri dan keadaan masing-masing dan tindakan mereka berbeza antara satu sama lain, lantas menjadikan usaha menafsir perilaku manusia hampir mustahil.
Pakar-pakar pelaburan menasihatkan pelabur agar mengabaikan pergerakan saham harian dan menumpukan perhatian kepada perkara yang lebih penting, iaitu potensi jangka panjang saham yang dimiliki. Pelabur tidak digalakkan untuk mengikut naik turun pasaran melainkan saham yang dimiliki menghadapi masalah yang serius. Kebanyakan pakar-pakar pelaburan hanya akan menjual saham-saham mereka atas sebab-sebab yang kukuh. Warren Buffett pernah berkata, setelah membeli saham, beliau tidak peduli sekiranya pasaran ditutup sepenuhnya selama sepuluh tahun kerana yakin dengan nilai saham tersebut sehingga beliau tidak perlukan pasaran untuk mengesahkannya.

Berani bertindak di luar kebiasaan

Sesetengah pakar pelaburan lebih gemar kepada saham nilai, ada pula yang lebih sukakan saham pertumbuhan dan ada juga yang memilih kedua-duanya sekali. Tidak kira bagaimana strategi pelaburan mereka, kesemuanya mempunyai ciri-ciri yang sama. Mereka tidak takut untuk bertindak di luar kebiasaan. Menjadi lumrah manusia untuk lari menyelamatkan diri apabila menghadapi bahaya dan apabila terdengar sahaja berita buruk, kebanyakan pelabur akan menjual saham kerana takut harga turun. Apabila pasaran kembali rancak, mereka akan masuk ke pasaran semula dalam usaha untuk mengaut keuntungan seperti orang lain, walaupun paras harga ketika itu mungkin agak tinggi daripada biasa.
“Untuk membeli ketika orang lain menjual dan menjual ketika orang lain membeli memerlukan ketabahan dan keberanian, dan memberikan pulangan yang tertinggi.”- Sir John Templeton, Bekas Ketua Pengurusan Pelaburan Templeton

Tindakan sebegini biasanya menyebabkan pelabur mengambil langkah ‘beli tinggi, jual rendah’ (buy high, sell low) dan bukan ‘beli rendah, jual tinggi’ (buy low, sell high) yang menyebabkan pelaburan mereka rugi dan tidak untung. Bertentangan dengan tindakan pelabur biasa, kebanyakan pakar pelaburan mengatakan bahawa masa yang paling sesuai untuk mencari saham dengan harga terbaik adalah ketika semua orang melarikan diri daripada pasaran. Ketika inilah pelabur menemui ‘lubuk emas’ di pasaran.
Seperti yang dikatakan oleh Sir John Templeton, Bekas Ketua Pengurusan Pelaburan Templeton, ‘jika anda membeli saham yang sama seperti orang lain, anda akan mendapat keputusan yang sama seperti orang lain... Untuk membeli ketika orang lain menjual dan menjual ketika orang lain membeli memerlukan ketabahan dan keberanian, dan memberikan pulangan yang tertinggi.’

Ketahui setiap butiran

Semua pelabur berjaya memiliki satu ciri yang sama: mereka mendalami selok-belok pelaburan. Mereka mungkin mempunyai cara yang berbeza untuk menganalisa maklumat; namun, mereka hanya akan melabur selepas melakukan kaji selidik yang terperinci. Mereka semua akan melakukan analisis kewangan yang lengkap sebelum membeli sebarang jenis saham. Jelas sekali mereka tidak akan masuk ke dalam pasaran semata-mata kerana rakan-rakan mereka melakukan perkara yang sama.
Semua perkara di atas adalah asas-asas pelaburan yang mungkin anda sudah tahu. Walau bagaimanapun, mengetahui dan mengamalkan adalah dua perkara yang berbeza. Dalam usaha untuk berjaya, kita mesti menetapkan prinsip pelaburan untuk diri sendiri dan berdisiplin untuk mematuhinya.

Artikel ini dipetik dari http://www.min.com.my/