Saturday, November 22, 2008

Aset atau liabiliti?

Ramai di kalangan kita tidak dapat membezakan antara aset dan liabiliti. Kekadang ada yang terperangkap, menyangkakan sesuatu liabiliti itu adalah aset.

Aset
Makna yang mudah difahami tentang aset ialah sesuatu benda atau perkara yang kita miliki boleh menjanakan pendapatan. Erti kata lain, sesuatu perkara yang membawa masuk duit ke dalam poket kita.

Beberapa contoh aset yang boleh menjana pendapatan kepada diri kita iaitu:
1. Aset Insan
- Kemahiran
- Ilmu
- Kebolehan

2. Aset Kertas/Pelaburan
- Akaun Simpanan
- Simpanan Tetap
- Unit Amanah
- KWSP
- Stock market
- Bond
- Mutual Fund

3. Real Estate (Hartanah)
- Tanah-tanah ladang/sawah
- Rumah-rumah sewa/rumah kedai

4. Perniagaan

5. Royalti
- Patern sesuatu rekabentuk
- Lagu
- Filem
- Buku

Tetapi, perlu diingatkan ada juga Aset yang tiada mendatangkan/menjana pendapatan seperti rumah yang kita diami, kereta yang kita miliki, rumah percutian yang dibeli (unless kita buat Homestay). Malah, kita perlu mengeluarkan kewangan kita untuk penyelenggaraan, cukai dan sebagainya.

.
Liabiliti
Manakala maksud yang mudah tentang liabiliti ialah sesuatu perkara yang belaku yang boleh menyusutkan duit simpanan kita. Erti kata lain, sesuatu perkara yang mana duit keluar dari poket kita. Liabiliti boleh mengurangkan pendapatan kita dengan banyaknya. Untuk mencapai kebebasan kewangan, kita perlulah melangsaikan segala liabiliti secepat mungkin. Sekiranya kita masih mempunyai liabiliti yang banyak sebagai contoh hutang, maka kita terpaksa membayar faedah hutang tersebut. Lebih lama kita mengekalkan liabiliti, maka semakin berkuranglah simpanan kita. Ini terjadi apabila kita gagal untuk menjana pulangan yang lebih tinggi berbanding caj faedah yang perlu dibayar.

Berikut ada beberapa contoh liabiliti yang kita ada:
1. Hutang
- Hutang kad kredit
- Hutang kereta
- Hutang peribadi dan lain-lain hutang

2. Cukai
- Cukai Tanah
- Cukai Pintu
- Cukai Perniagaan
- Cukai Pendapatan
- Cukai Jalan (untuk kenderaan)

3. Penyelengaraan (maintenance)
- Penyelengaraan Kereta/Rumah
- Rumah-rumah sewa/rumah kedai

Suatu perkara yang perlu kita tahu tentang liabiliti yang mana kita menyangkakan ia sebagai aset:

ASB loan.
Melabur dalam ASB dengan menggunakan kaedah pinjaman ASB. Ini adalah kerana ada sesuatu kes di mana jumlah dividen yang diperolehi tidak boleh menampung jumlah interest yang dikenakan oleh pihak bank. Itu tidak termasuk caj lewat bayar yang kekadang boleh mencecah RM10 setiap kelewatan.

Kereta.
Walaupun ia suatu kemudahan tetapi ia adalah sesuatu liabiliti. Sebab apa? orang kita tidak akan membeli kereta dengan bayaran cash. Adalah mustahil!!! Kalau ada pun jumlahnya terlalu sedikit. Kebanyakan kita membeli kereta dengan berhutang. Hutang adalah suatu liabiliti, ditambah pula dengan kadar interest tetap tahunan. Lebih mengecewakan lagi kereta itu mempunyai susut nilai yang tinggi dan kos penyelengaran juga tinggi apabila sudah berusia.

Rumah
Jika kita mempunyai hanya 1 buah rumah yang kita duduki juga adalah suatu liabiliti. Rumah yang kita duduki tiada memberi apa-apa pendapatan kepada kita. Sama kesnya seperti kereta, orang kita tidak akan beli rumah dengan duit cash, sudah tentu berhutang. Rumah juga mempunyai kos penyelengaraan. Ditambah pula dengan cukai tanah & cukai pintu. Cuma, rumah ini lebih baik sedikit berbanding kereta kerana mempunyai nilai pasaran yang tinggi dari nilai belian kalau terletak di dalam lokasi yang betul dan panas!!!

Sekarang, bolehlah anda bandingkan aliran tunai aset dan aliran tunai liabiliti.

Maka, periksalah diri anda hari ini, adakah anda mempunyai banyak aset atau banyak kepada liabiliti?

Oleh yang demikian, merancanglah kewangan anda sekarang. Bina matlamat kewangan anda dengan betul dan tepat.

Bina aset anda supaya dapat menutup segala liabiliti.


Katakan TIDAK pada Insuran/Takaful Berbentuk Pelaburan

Saturday, November 1, 2008

Langkah menyiapkan diri sebelum bersara

SAMA ada anda bercadang untuk bersara pada usia 55 atau lebih awal lagi, apa yang penting ialah melengkapkan diri anda dengan perancangan kewangan yang dapat menjamin kehidupan memuaskan serta bebas daripada bebanan hutang setelah bersara.

Bagaimana untuk menyiapkan diri untuk bersara? Tiada jawapan yang khusus untuk soalan ini kerana ia banyak bergantung kepada gaya hidup yang diinginkan, tahap kesihatan dan juga situasi unik seseorang itu selepas bersara. Berikut adalah beberapa langkah yang boleh diambil untuk menyiapkan diri anda daripada segi kewangan sebelum bersara:


Tetapkan keperluan kewangan anda

Secara amnya, keperluan perbelanjaan seorang pesara dianggarkan dalam lingkungan 75 peratus hingga 80 peratus keperluannya ketika masih bekerja. Berdasarkan keperluan ini, anda perlu membuat penyelarasan sesuai dengan mengambil kira situasi unik anda seperti kos pendidikan anak dan bayaran pinjaman perumahan untuk menganggarkan perbelanjaan bulanan yang perlu ditampung.

Jika anda berhajat untuk mengembara, bercuti, ataupun mempunyai hobi lain yang membabitkan wang, anda perlu mengambil kira kos ini ketika membuat perancangan persaraan anda.


Menilai status semasa

Anda perlu memberi perhatian kepada portfolio pelaburan yang merangkumi simpanan tambahan serta pendapatan anda. Senaraikan juga semua komitmen kewangan yang perlu dijelaskan. Sekiranya anda masih bekerja, anggarkan jumlah wang KWSP atau pencen yang bakal anda terima.


Mengira wang yang diperlukan

Setelah selesai mengumpulkan semua maklumat di atas, anda boleh mendapatkan nasihat daripada perancang kewangan ataupun mana-mana laman web yang menyiarkan artikel mengenai perancangan persaraan yang boleh anda contohi dalam usaha untuk menyiapkan diri dari segi kewangan sebelum bersara. Ini penting untuk menilai sama ada wang anda sekarang mencukupi atau tidak untuk memenuhi keperluan persaraan kelak.

Jika jawapannya tidak, sekurang-kurangnya, anda boleh mengira berapa banyak lagi wang yang diperlukan. Sebagai contoh, keperluan tahunan Ali ialah RM50,000 (kira-kira kurang RM4,000 sebulan). Dia menganggarkan bahawa wang simpanan persaraannya akan menjana pulangan sebanyak tujuh peratus setahun. Justeru, Ali memerlukan sekurang-kurangnya RM714,286 (RM50,000/0.07) dalam simpanannya untuk menampung perbelanjaan persaraannya.

Berdisiplin dalam merancang kewangan

Elakkan daripada membuat pengeluaran wang simpanan persaraan sewenang-wenangnya dan pastikan ia mencukupi untuk menampung perbelanjaan sehingga akhir hayat anda.

Setelah menetapkan jumlah wang yang diperlukan, langkah seterusnya ialah untuk memberikan komitmen penuh kepada jumlah yang hendak disimpan dan menguruskan portfolio pelaburan anda dengan cara yang sepatutnya.

Akhir kata, berbelanjalah mengikut keperluan dan cuba maksimumkan simpanan anda untuk waktu persaraan.

----------------------------------------------------------------------------------------------

Artikel ini ditulis oleh Securities Industry Development Corporation (SIDC) dan Ooi Kok Hwa, pemegang Lesen Wakil Perkhidmatan Pasaran Modal untuk menjalankan urusan nasihat pelaburan di bawah Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007.

Maklumat yang terkandung di dalam artikel ini ialah untuk tujuan pendidikan semata-mata dan mencerminkan keadaan pasaran pada sesuatu masa tertentu yang mungkin berlalu dan menyebabkan artikel ini tidak lagi relevan. Artikel ini tidak boleh dianggap sebagai pengganti untuk nasihat perundangan atau mana-mana nasihat profesional yang lain.



Adakah wang KWSP itu cukup?

Monday, October 27, 2008

"POKAI" Lepas Raya?

Tip urus belanja lepas Aidilfitri

BARANGKALI selepas cuti Aidilfitri, ada antara kita tidak berani melihat baki wang simpanan dalam akaun bank. Kenyataan yang perlu dihadapi mungkin tidak akan menenangkan hati - sama ada baki wang tidak mencukupi untuk bertahan hingga akhir bulan atau lebih menakutkan, tiada langsung baki simpanan.

Begitulah impak Aidilfitri yang hadirnya setahun sekali. Ramai pada mulanya sakan menyambut Hari Raya penuh bergaya. Sejak bulan puasa lagi hingga berlarutan kepada beberapa minggu pertama Syawal, wang tidak putus-putus keluar dari dalam dompet. Pengguna lazimnya tidak begitu memikirkan soal perancangan kewangan pada musim perayaan. Disebabkan itulah perbelanjaan menjadi tidak terkawal atau berlebihan pada musim begini.

Oleh kerana wang simpanan makin menipis, ramai mula risau nasib diri serta memikirkan bagaimana hendak menjalani kehidupan dengan baki simpanan yang tidak seberapa itu.

Tidak hairanlah timbulnya jenaka sinis menyindir segelintir orang yang dikatakan terpaksa berpuasa semula selepas Aidilfitri kerana sudah ‘berhabisan’ ketika beraya.

Tidak dinafikan, ramai memilih untuk berpuasa seawal minggu kedua Syawal iaitu selepas kembali bekerja. Golongan ini bukan saja ingin menunaikan puasa sunat tetapi juga kerana keadaan kewangan yang memaksa mereka berbuat demikian. Bagi mereka, baiklah berpuasa sementara menanti gaji seterusnya.

Jika tidak berpuasa pun, anda sebenarnya boleh berjimat dengan membawa bekalan makanan dari rumah ataupun mengurangkan belanja membeli makanan ketika bekerja. Rasanya, tidak terlalu sukar untuk anda melakukannya kerana kita baru saja selesai menunaikan ibadat berpuasa.

Minggu ini, XY - Ikon Lelaki berkongsi tip ‘diet perbelanjaan’ bagi mereka mengalami sindrom ‘kering’ selepas raya. Jika berdisiplin dalam mengamalkan diet ini, tidak mustahil kedudukan kewangan anda akan kembali stabil selepas musim perayaan.

Pertama sekali, mulakan diari kewangan anda sendiri. Keluarkan semua penyata bank, resit pembelian dan bil berkaitan serta semak perjalanan keluar masuk wang anda setiap bulan. Apabila anda mempunyai rekod penggunaan wang, lebih mudah bagi anda mengesan jumlah wang yang sering dibazirkan. Melihat jumlah wang yang dapat dijimatkan dalam setahun juga dapat mendorong anda meneruskan diet perbelanjaan ini.

Walaupun agak ‘sesak’ sekarang, tanggungan hutang tidak boleh diambil ringan. Hadapi hutang anda dengan memberi tumpuan kepada bahagian tertentu dalam perbelanjaan yang boleh anda baiki. Ini termasuk hutang kad kredit yang lama tertunggak hingga kadar faedah terkumpul. Lebih lama anda menangguhnya, lebih banyak kadar faedah yang dikenakan. Ini tentunya menambah masalah kewangan anda kelak.

Jika anda pemegang insurans, pastikan bayaran bulanan anda didahulukan berbanding perbelanjaan lain. Ini kerana, sesetengah syarikat insurans akan menamatkan perlindungan insurans jika terdapat tunggakan. Ini agak berisiko kerana anda mungkin tidak memiliki sumber kewangan lain jika berlaku sesuatu yang tidak diingini.

Penting juga untuk anda mengurangkan penggunaan telefon atau internet yang dicaj mengikut kadar guna. Anda harus tentukan penggunaan yang perlu serta yang tidak penting. Sebab itulah ada baiknya anda melanggan perkhidmatan yang membolehkan anda berjimat

Selain itu, amalkan jimat-cermat dalam menggunakan kuasa elektrik dan air di rumah. Sekurang-kurangnya, jumlah tanggungan bil anda dapat diringankan.

Mungkin pada waktu kesempitan wang begini, anda boleh menangguhkan sementara perbelanjaan aktiviti riadah seperti bayaran gimnasium, yuran bulanan kelab rekreasi dan sebagainya. Anda boleh menyambungnya semula apabila keadaan sudah mengizinkan.

Seperkara lagi, jangan lupa, biarpun keadaan kewangan anda agak tidak stabil selepas hari raya, anda masih perlu menyimpan sedikit daripada pendapatan yang diterima. Ia memang berguna pada saat kecemasan nanti.

Apapun, anda wajar berfikir setiap kali hendak membelanjakan wang untuk sesuatu perkara. Elak membeli barang tidak perlu atau bermewah-mewahan tanpa sebab.

Tetapkan juga tahap mana atau secepat mana anda mahukan kedudukan kewangan anda kembali pulih. Juga tentukan jumlah wang harus ada dalam akaun simpanan anda dalam sesuatu tempoh. Bila berbuat demikian, anda akan lebih disiplin dalam mengikut perancangan atau ‘diet perbelanjaan’ yang sudah disenaraikan.


Tip diet perbelanjaan

> Rekodkan penggunaan wang membabitkan pengaliran wang masuk dan keluar.
> Utamakan pembayaran hutang walaupun dalam keadaan terdesak. Hutang bertampuk menambah kekusutan ekonomi anda.
> Kurangkan penggunaan telefon bimbit dan internet jika anda mampu lakukan.
> Kurangkan aktiviti riadah bersama teman seperti mengunjungi pusat hiburan karaoke atau melepak tanpa tujuan.
> Jimatkan penggunaan tenaga elektrik dan air.
> Simpan sedikit gaji bulanan untuk waktu memerlukan.
> Tentukan jumlah wang perlu ada setiap bulan sebagai simpanan waktu sesak.



5 Langkah Perancangan Kewangan Anda

Tuesday, October 21, 2008

Pelaburan PNB tidak terjejas

Krisis kewangan global buka peluang Permodalan Nasional teroka pasaran baru

KRISIS kewangan global ketika ini tidak akan menjejaskan pelaburan luar negara Permodalan Nasional Bhd (PNB), sebaliknya menyediakan peluang untuknya meneroka pasaran baru, kata Presiden dan Ketua Eksekutifnya, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman.

Beliau menegaskan, operasi PNB di Singapura, Tokyo dan London tidak begitu terjejas kerana tidak melabur dalam sektor kewangan yang terdedah kepada krisis itu.

"Tidak dinafikan kami sedikit sebanyak terjejas, namun pada keseluruhannya portfolio PNB masih lagi baik dan tidak terjejas dengan hebat kerana pelaburan kami bukan dalam sektor kewangan," katanya sambil menjelaskan pelaburan PNB di luar negara juga masih agak kecil.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis Rumah Terbuka PNB di Kuala Lumpur, semalam. Hadir sama, Pengerusi PNB, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid.

Hamad Kama Piah, berkata PNB yang ditubuhkan sejak 30 tahun lalu sudah melalui pelbagai kemelut kewangan, tetapi masih mampu menangani isu seumpama itu dan memberikan pulangan baik kepada pelaburnya.

"Keadaan pasaran seperti sekarang sudah berlaku banyak kali. PNB sudah melaluinya pada 1987 dan kami dapat menanganinya dengan baik seperti juga kemelesetan ekonomi pada 1997.

"Pada masa itu pun, keadaan pasaran kurang baik tetapi PNB masih mampu menanganinya dengan baik," katanya sambil menambah kerajaan juga telah melaksanakan beberapa program rangsangan bagi memulihkan keadaan pasaran.

Beliau turut menegaskan, keadaan yang berlaku ketika ini menyediakan peluang kepada institusi pelaburan itu menilai saham yang terbaik dan berpotensi bagi menambah pelaburannya khususnya di luar negara.

"PNB adalah syarikat pelaburan jangka panjang. Apabila kami melabur, kami akan lihat daripada aspek jangka panjang, dan bila berlaku kegawatan seperti sekarang, sudah pasti PNB akan mengambil peluang menganalisis saham berpotensi.

"Malah pejabat operasi kami di luar negara adalah tempat bagi pegawai PNB membuat latihan dan terdedah kepada pasaran semasa yang mana keadaan ini memberi ruang kepada mereka untuk menangani isu – keadaan ekonomi merudum," katanya.

PNB ketika ini menguruskan dana sejumlah RM120 bilion yang sebahagian besar dana berkenaan dikumpul daripada pelaburan serendah RM10 yang disumbangkan pelbagai lapisan masyarakat.

Sejak penubuhannya, 30 tahun lalu dengan tujuan meningkatkan pegangan ekuiti Bumiputera, PNB telah sudah mengagihkan pulangan dividen dan bonus lebih RM60 bilion kepada pelaburnya.

Friday, September 26, 2008

Berbelanja Dan Hari Raya Anda.

SEDAR atau tidak, hari ini sudah hampir sebulan umat Islam berpuasa. Tidak lama lagi, Aidilfitri bakal tiba. Tentunya ramai mula berkira-kira untuk membuat persiapan menyambut hari raya. Si anak tentunya mahukan pakaian baru, ibu pula mula merancang juadah terutama biskut dan kek untuk dihidangkan kepada tetamu. Bagi si ayah, lain pula ceritanya. Dahi ayah pastinya berkerut, malah tekanan darah mungkin naik setiap kali memikirkan bajet Aidilfitri.

Dalam senario sekarang yang menuntut kita berjimat cermat, sudah tentu soal kewangan dan kaedah pengurusannya perlu diberi perhatian. Baik mereka yang berkeluarga mahu pun yang masih bujang, isu perbelanjaan berhemah bukan lagi menjadi bahan berita yang ditonton di televisyen atau dibaca di akhbar, sebaliknya perlu dipraktikkan mulai sekarang.

Membicarakan soal persiapan Aidilfitri, sukar menepis keinginan berbelanja yang mungkin didorong keseronokan meraikan Syawal. Selepas sebulan berpuasa, mengawal nafsu dan mengerjakan amal ibadat selama 30 hari, hati tentunya mahu bergembira di hari mulia ini.

Bagi mereka yang tidak mempunyai komitmen tinggi, isu belanja raya mungkin tidak menjadi soal. Apa saja dihajati boleh dibeli asalkan menepati perbelanjaan yang dirancang. Tetapi bagaimana pula mereka yang berkeluarga besar?

Ibu bapa yang memiliki anak ramai tentu pening memikirkan soal bajet Aidilfitri. Bagi yang bijak merancang, modal atau wang belanja menyambut hari raya mungkin sudah dikumpul sejak Aidilfitri tahun lalu. Sedar atau tidak, bajet RM150 yang disimpan setiap bulan selama setahun, Insya'Allah... pasti cukup membiayai sebahagian daripada perbelanjaan Aidilfitri kali ini.

Mungkin tidak keterlaluan jika dikatakan soal perbelanjaan Aidilfitri mungkin boleh menjadi isu besar bagi keluarga yang memiliki anak ramai. Memanglah diakui sukar memuaskan hati semua pihak, malah perbuatan berbelanja boros tidak digalakkan dalam Islam - namun jika bijak merancang dan berbelanja, perkara Aidilfitri masih boleh diraikan dengan penuh bergaya.

Akhir kata, berbelanja pada yang perlu, merancang sebelum bertindak dan jangan membazir.

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI,
MAAF ZAHIR BATIN.





Sunday, August 31, 2008

Katakan TIDAK pada Insuran/Takaful Berbentuk Pelaburan

Takaful/Insuran merupakan salah satu elemen dalam membuat Perancangan Kewangan.

Pada hari ini, terdapat insuran/takaful yang dipanggil Investment link takaful/Insurance Investment link atau takaful yang berbentuk pelaburan.

Adalah lebih baik agar anda mengkaji semula dengan sebaiknya jika anda ingin melabur dalam takaful/insuran berbentuk pelaburan. Amat tidak digalakkan ada berbentuk pelaburan apabila anda ingin membeli takaful/insuran.

Ingat!!!! Takaful/insuran adalah untuk PERLINDUNGAN dan ia BUKAN untuk PELABURAN. Oleh itu, anda perlu memaksimumkan perlindungan anda untuk masa kecemasan anda demi keluarga tercinta anda.

Perkara ini perlu diingatkan bahawa, PULANGAN untuk takaful/insuran yang berbentuk pelaburan berkemungkinan besar adalah SANGAT RENDAH manakala, PERLINDUNGAN yang diberikan pula TIDAK seTINGGI mana, sedangkan jumlah premium yang dibayar dari kocek kita adalah tinggi.

Oleh yang demikian, anda perlu mengkaji dengan teliti insuran/takaful anda supaya anda tidak rugi dengan tidak mendapat perlindungan atau tidak mendapat pulangan yang tinggi di hari kemudian nanti.....

Akhir kata, gunakanlah wang anda dengan bijak....



Kenapa Kita Perlu Merancang Kewangan

Thursday, August 28, 2008

Jumlah RM diperlukan sekiranya kita diberhentikan kerja?

Pada umumnya, ramai daripada kita merasa berada dalam situasi 3S (Senang, Selesa & Selamat) dan stabil kerana kononnya mempunyai pekerjaaan yang tetap di syarikat yang kukuh.

Tetapi, ramaikah di antara kita akan menyedari sekiranya suatu hari nanti kita akan diberhentikan kerja. Adakah kita boleh survive untuk selama 3, 6 dan 9 bulan lagi sementara dapat kerja baru yang tetap????

Dalam perancangan kewangan, kita perlu menyediakan reserve sekurang-kurangnya 9 bulan untuk backup plan & simpanan 9 bulan sebelum kita mula melabur. Adalah lebih selamat sekiranya kita boleh menyediakan reserve 12 bulan ke atas. Ini bermakna, sekiranya apa-apa berlaku kepada diri kita, kita boleh survive tanpa bekerja untuk selama beberapa bulan.

Banyak peristiwa dan kejadian yang berlaku kepada mereka yang tiada mempunyai simpanan dan diberhentikan kerja....... biasanya psikologi mereka agak tertekan dan susah untuk memberi tumpuan kepada pekerjaan. Ini terjadi kebanyakkan mereka tidak boleh melunaskan bil-bil dan pinjaman-pinjaman yang tertunggak. Keadaan ini, tidak pula terjadi kepada mereka-mereka yang mempunyai reserve backup plan, tekanan perasaan agak kurang dan konsentrasi kerja pada tahap boleh diuruskan.

Untuk mengetahui berapa banyak yang diperlukan, kita boleh menggunakan pengiraan ringkas seperti berikut:

Total Expenses Sebulan X 9 bulan backup plan.

Sekiranya Total Expenses kita sebanyak RM2,000 sebulan, maka backup plan dan simpanan kita selama 9 bulan adalah sebanyak RM18,000. Setahun adalah sebanyak RM24,000.

Jadi, tanya sendiri pada diri kita hari ini.....adakah kita sudah mempunyai simpanan sebanyak itu ketika ini?

Apa yang kita perlu lakukan hari ini adalah merancang kerana tanpa perancangan kita sebenarnya merancang untuk gagal.....



Tanda-tanda Masalah Kewangan