Friday, July 1, 2011

Faham istilah saham bantu tingkatkan kemahiran pelaburan

Pasaran naik turun ikut prestasi, perkembangan ekonomi semasa

KEBANYAKAN orang apabila berborak di kedai makan bersama rakan antara topik hangat biasanya berkisar mengenai politik, sukan atau gosip artis. Sekali-sekala cuba buka topik berkaitan pelaburan saham dan perhatikan reaksi daripada rakan-rakan. Mungkin hanya seorang dua yang berminat untuk menyambung perbualan manakala yang selebihnya sama ada akan cuba menukar topik ataupun hanya sekadar menjadi pendengar pasif. Bukan kerana tidak berminat langsung mengenai saham, tetapi kemungkinan besar kerana kurang pendedahan. Hatta ketiadaan ‘modal’ untuk dibualkan.




Hari ini saya akan terangkan mengenai beberapa istilah popular dalam pelaburan saham. Harapan saya selepas ini bolehlah kita berbual mengenai pelaburan saham dan lama-kelamaan dengan ilmu dan pengalaman yang dikongsi lebih ramai yang akan membabitkan diri untuk melabur dalam pasaran saham.




Istilah ini disenaraikan dengan merujuk daftar istilah bahasa Melayu terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka 2001. Antara istilah yang anda perlu tahu dalam pelaburan saham termasuk:

1. Pasaran bul

Pasaran bul merujuk kepada keadaan pasaran saham yang meningkat sebanyak 20 peratus atau lebih dalam suatu tempoh panjang biasanya disebabkan oleh peningkatan prestasi syarikat tersenarai yang mencatat pertumbuhan keuntungan hasil manfaat daripada ekonomi yang berkembang. Istilah ini dikatakan berasal daripada tabiat lembu jantan yang menyerang dengan menanduk mangsa ke atas. Contoh pasaran bul ialah trend pasaran yang naik bermula Ogos 1998 hingga awal 2000. Ketika itu ramai yang membuat untung dalam pelaburan mereka.

2. Pasaran bear



Situasi aliran pasaran yang menjunam 20 peratus atau lebih dalam tempoh panjang disebabkan oleh keadaan ekonomi yang tidak memberangsangkan. Dikaitkan dengan sifat beruang yang menyerang dengan kebiasaan menghenyak mangsa ke bawah dengan kukunya yang tajam. Contoh pasaran bear ialah prestasi pasaran bursa Malaysia yang menjunam sepanjang 2008 kesan daripada krisis ekonomi dunia.

3. Perolehan sesaham

Lebih popular disebut dalam istilah Inggeris iaitu EPS atau ‘Earnings per share.’ Ia antara indikator yang sering digunakan untuk menilai harga saham. Dalam membandingkan antara dua syarikat yang terbabit dalam industri atau sektor yang sama, lazimnya syarikat yang mencatat EPS yang tinggi adalah lebih baik berbanding syarikat dengan EPS yang lebih rendah. Bayangkan dua syarikat iaitu B dan H masing-masing menjana untung RM100 juta. Andainya syarikat B memiliki saham sebanyak 10 juta unit dan syarikat H memiliki 50 juta unit saham, manakah syarikat yang menunjukkan prestasi yang lebih baik? Secara ringkas, untuk memilih syarikat mana yang lebih baik, pelabur boleh melihat kepada EPS syarikat itu.

Perolehan sesaham (EPS) = Untung/Jumlah Unit Saham

EPS dikira dengan membahagikan untung syarikat dalam 12 bulan dengan jumlah unit saham. Contohnya, PETRONAS Gas Bhd menjana untung bersih sebanyak RM1,439 juta pada 2010 dan ia telah menerbitkan 1,979 juta unit saham. Maka, perolehan sesahamnya ialah RM0.727 (RM1,439 juta/1,979 juta unit = RM0.727). Maknanya, bagi setiap unit sahamnya PETRONAS Gas menjana untung sebanyak 72.7 sen.

Berbalik kepada contoh syarikat B dan H di atas, EPS syarikat B ialah 10 (RM100 juta/10 juta unit saham) dan EPS syarikat H ialah 2 (RM100 juta / 50 juta unit).

Jadi adalah lebih baik untuk kita melabur dalam syarikat B, betul tak? Jawapannya, mungkin. Dalam memilih saham mana yang kita boleh beli, kita tidak boleh melihat kepada EPS semata-mata. Seperti yang dijelaskan di atas, EPS dapat membantu untuk membandingkan prestasi sesebuah syarikat dengan syarikat yang lain andainya syarikat itu terbabit dalam sektor perniagaan atau industri yang sama. EPS tidak dapat menunjukkan secara tepat sama ada saham sesebuah syarikat itu sesuai untuk dibeli atau apakah penilaian pasaran terhadap saham berkenaan. Untuk membuat pilihan yang lebih tepat, pelabur perlu mengambil kira faktor dan indikator lain dan satu daripadanya ialah dengan melihat kepada nisbah harga perolehan.

4. Nisbah harga perolehan

Nisbah ukuran yang sering digunakan oleh pelabur untuk mengira nilai harga saham, sama ada mahal atau murah, dibandingkan dengan keuntungan syarikat. Secara teori, nisbah harga perolehan atau nisbah PE menunjukkan kos atau harga yang dibayar oleh pelabur bagi setiap ringgit keuntungan yang dijana oleh syarikat.

Nisbah harga perolehan = Harga saham/EPS

Nisbah PE dikira dengan membahagikan harga saham dengan perolehan sesaham (EPS). Kita lihat contoh saham syarikat PETRONAS Gas yang pada suatu ketika didagangkan pada RM12.30 sesaham. Dengan EPS sebanyak 72.7 sen sesaham, maka nisbah harga perolehan PETRONAS Gas ialah 16.9 (12.3 / 0.727 = 16.9).

Secara teori, nisbah harga perolehan memberi petunjuk berapakah yang sanggup dibayar oleh pelabur untuk memiliki syer di dalam sesebuah syarikat yang menjana sejumlah keuntungan tertentu. Misalnya, pelabur saham PETRONAS Gas sanggup membayar sebanyak 16.9 kali ganda bagi setiap keuntungan sesahamnya.

Nisbah harga perolehan yang tinggi menunjukkan pelabur menaruh keyakinan tinggi terhadap sesebuah syarikat dan kerana itu ramai yang membelinya menyebabkan harga saham berkenaan meningkat.

Nisbah harga perolehan dikatakan indikator yang lebih baik untuk menilai harga saham jika dibandingkan dengan hanya melihat pada harga saham. Bagaimanapun, seperti indikator lain, pelabur tidak boleh hanya bergantung kepada nisbah PE semata-mata, dan perlu juga mengambil kira faktor lain termasuk kadar pertumbuhan syarikat. Nisbah PE juga hanya sesuai untuk membandingkan saham sesebuah syarikat dengan syarikat yang lain yang terbabit di dalam industri yang sama. Setiap industri mempunyai julat nisbah PE yang berbeza. Misalnya, saham syarikat dalam sektor teknologi lazimnya mempunyai nisbah PE yang sangat tinggi berbanding dengan sektor perladangan.


(dipetik dari Berita Harian)




Dana Kecemasan

Sunday, May 1, 2011

Pencarum jangan ghairah guna skim pengeluaran KWSP





Oleh AZMAN ANUAR (WARTAWAN UTUSAN)





JIKA hari ini anda mempunyai wang RM1 juta, beringat-ingatlah ia belum pasti akan bertambah, sebaliknya ia boleh mendorong anda kembali menjadi miskin. Perkara ini sudah terjadi kepada seorang ibu tua di Kampung Felda LBJ, Nilai, Negeri Sembilan.




Semua ini kerana pemegang wang itu tidak bijak mengurus kewangannya. Begitu juga pengalaman yang terjadi kepada ribuan pesara yang telah mengeluarkan wang carumannya di dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).



Bukan suatu yang pelik apabila wang KWSP yang disimpan sejak muda hingga bersara, dalam masa yang singkat boleh habis begitu sahaja. Daripada angan- angan untuk merasa nikmat menjadi orang kaya, ia juga mampu mengubah kita bertukar menjadi miskin.



Daripada penyelidikan KWSP, 60 peratus wang pesara dihabiskan dalam tempoh tiga dan empat tahun sahaja selepas dikeluarkan. Sedangkan jangka hayat rakyat negara ini sekarang boleh mencecah hingga usia 75 tahun.Wang simpanan daripada 23 peratus gaji bulanan pekerja itu sewajarnya diperuntukkan untuk faedah diri pencarum sendiri apabila tidak bekerja lagi pada masa tua.



Bagaimanapun ada pencarum yang menggunakan wang KWSP mereka untuk anak-anak seperti membeli motosikal dan mengadakan majlis perkahwinan, menyebabkan wang mereka habis begitu sahaja.



Apabila wang habis, anak-anak tidak mahu menjaga mereka lalu terpaksa pula minta bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat.


Jika demikian aliran pengurusan kewangan majoriti pesara yang berumur 55 tahun bagi sektor swasta dan 56 tahun (sektor awam), bagaimana mereka ingin meneruskan kehidupan untuk 20 tahun lagi. Ini ditambah lagi dengan kos barangan keperluan dan kesihatan yang kian meningkat.



Semua ini terletak pada diri pencarum, baik yang berumur muda ataupun masuk ke pintu persaraan untuk beringat-ingat sebelum menyesal kemudian hari.



Hakikatnya sejak beberapa tahun ini banyak godaan supaya pencarum mengeluarkan wang simpanan hari tua mereka. Wujudnya skim pengeluaran untuk bayaran pendahuluan dan baki pinjaman perumahan, skim pengeluaran pendidikan dan kesihatan serta skim pelaburan unit amanah.



KWSP memang bermurah hati memberi kelonggaran kepada pencarum untuk mengeluarkan simpanan mereka tetapi ada yang menyalahgunakannya.



Pemikiran masyarakat pencarum negara kita mudah dibaca. Jika wujud kemudahan pengeluaran wang KWSP, seboleh-boleh mereka akan melakukannya walaupun keperluannya tidak mendesak. Banyak alasan boleh diberikan misalnya untuk mengurangkan beban hutang ataupun beban kewangan lain yang seharusnya perlu diselesaikan tanpa mengharapkan wang KWSP.



Pencarum perlu tanya mengenai kemampuan diri sebelum memilih sama ada mengeluarkan wang caruman untuk skim pengeluaran yang disediakan atau biar sahaja disimpan untuk kegunaan masa selepas bersara kelak.



Dalam keadaan usia warga emas, seseorang pencarum memerlukan sumber kewangan. Tetapi bagi golongan yang malas berfikir tentang takdirnya di hari tua, pengeluaran daripada KWSP merupakan jalan singkat dan terbaik untuk mencari penyelesaian.


Mereka mudah lupa, biasanya institusi-institusi kewangan berada dalam keadaan sukar untuk memberikan pinjaman kepada mereka yang telah berumur.



Bukan untuk menghalang sesetengah pencarum yang memerlukan wang KWSP mereka untuk tujuan pelaburan, misalnya membeli rumah ataupun membeli unit- unit saham amanah yang boleh mendatangkan pulangan kepada mereka ketika dividen daripada simpanan dalam KWSP sekitar lima peratus berbanding lapan peratus tahap tertingginya dahulu.



Memang di atas kertas dan jika dilihat pada situasi sekarang, semua skim itu boleh membantu pencarum. Tetapi jika dipandang jauh-jauh, tidak banyak membantu pencarum apabila jumlah simpanan hari tua itu bertambah susut jumlahnya.



Bagi golongan berpendapatan tinggi penggunaan wang KWSP untuk tujuan itu tidak begitu dirasai berbanding golongan berpendapatan rendah.



Oleh kerana banyak godaan pengeluaran yang dibenarkan oleh KWSP sekarang, kita mengharapkan satu skim seumpama skim pencen sektor awam diperkenalkan untuk pekerja swasta.


Kita tertanya-tanya mengenai cadangan kerajaan untuk mewujudkan Pelan Pencen Swasta yang pernah dikemukakan pada 2005. Bilakah ia dapat dilaksanakan?



Jika ia dilaksanakan, biarlah KWSP menguruskannya walaupun diakui ada kalanya dividen yang diberikan turun dan naik tetapi kredibiliti mereka sebagai badan pelaburan masih berada pada tahap yang tinggi. Eloklah pelan itu dijayakan bagi memastikan kehidupan pesara tidak terabai dan jatuh miskin.



Namun sebelum ia difikirkan semula oleh kerajaan, 11 juta pencarum KWSP mesti menyedari wang caruman merupakan untuk simpanan hari tua mereka, oleh itu janganlah ghairah untuk mengeluarkan wang itu sekarang.








Hutang "Baik" vs "Hutang Tak Baik"






Thursday, February 3, 2011

Dana Kecemasan

Salam sejahtera, semoga info yang diambil dari AKPK ini dapat membantu semua..... Selamat Membaca & mempraktikannya.....

.

Anda mungkin pernah mendengar pepatah ini, “Apabila hujan, ia turun dengan lebat!” Ini adalah benar, lebih-lebih lagi dalam masalah kewangan kerana kesan gandaan. Oleh itu, kita dinasihatkan agar menyediakan satu Dana Kecemasan kita sendiri sebelum tsunami kewangan melanda!

.

Apakah yang dimaksudkan “Dana Kecemasan”?

.

“Dana kecemasan” biasanya adalah satu dana yang anda cipta untuk membayar perbelanjaan diluar jangkaan. Sebagai contoh:

  1. Tayar-tayar kereta anda perlu ditukar dengan yang baru.
  2. Rumah anda penuh dengan anai-anai dan memerlukan rawatan.
  3. Anak anda mempunyai masalah apendiks dan memerlukan pembedahan.
  4. Gigi geraham anda perlu dicabut.
  5. Tiba-tiba syarikat anda bankrap.

.

Senarai ini boleh berterusan panjangnya dan anda mungkin tidak mengalami hanya satu daripadanya, tetapi kesemuanya serentak! Itulah masanya “hujan lebat”!

.

.

Mengapa Saya Perlu Ada “Dana Kecemasan”?

.

Sepertimana yang dikatakan oleh Forrest Gump dalam filemnya “Life is like a box of chocolates… you’ll never know what you’ll get!” (“Hidup ini seperti sekotak coklat... anda tidak akan tahu apa yang anda akan dapat!”) Kehidupan setiap orang mempunyai turun naiknya, hari cerah dan hari hujan. Apabila anda menyimpan untuk waktu kecemasan, anda melindungi diri anda dan keluarga anda. Anda bersedia untuk situasi-situasi yang tidak diduga, pasa waktu itulah anda memerlukan lonjakan tambahan “Vitamin M” (duit kecemasan).

.

Amat mudah untuk terperangkap dalam hutang (lebih-lebih lagi hutang kad kredit dan “Ah Long”), jika anda tidak mempunyai duit simpanan. Anda tetap mahu membayar bil dan memastikan hutang kad kredit sentiasa rendah walaupun ketika sesuatu yang tidak diduga berlaku ke atas anda.

.
Oleh kerana tiada siapa yang tahu masa hadapan, semua orang memerlukan dana kecemasan.

.

Bagaimana saya boleh menyimpan, sedangkan saya tidak mempunyai banyak duit?

.

Anda mungkin berfikir yang tiada baki duit yang dapat disimpan selepas membayar semua bil. Ramai orang, tidak kira berapa banyak duit yang mereka ada, mengatakan mereka tidak dapat menyimpan. Itu adalah kerana perbelanjaan biasanya meningkat sehingga ia menggunakan semua duit lebihan anda.

.

Namun, hanya anda sahaja yang boleh mengubah keadaan ini. Begini caranya:

.

  1. Bayar diri anda sendiri terlebih dahulu
  2. Cipta satu “akaun simpanan automatik” yang membolehkan anda mengeluarkannya ketika kecemasan
  3. Turunkan perbelanjaan anda dengan hidup secara bijak
  4. Tetapkan beberapa syarat untuk menggunakan duit, iaitu syarat yang BENAR-BENAR ketat!
  5. Cuba sehingga anda berjaya tetapi jangan putusa asa!!

.

Apakah yang dimaksudkan “Bayar Diri Anda Sendiri Terlebih Dahulu”?

.

Pada kebanyakan masa apabila kita mendapat gaji, kita mula membayar untuk itu dan ini, dan kepada orang lain terlebih dahulu, hanya selepas itu kita menyimpan bakinya. Ini adalah terbalik. Ia adalah duit anda dan anda berhak menyimpan sebahagiannya untuk diri dan keluarga anda.

.

Jangan berputusa asa jika anda hanya dapat menyimpan sedikit. Menyimpan satu Ringgit sehari atau RM10 seminggu, mungkin tidak banyak tetapi dihujung tahun, anda akan mempunyai RM365 atau RM520. Seperti pepatah Melayu ada mengatakan,“Sedikit-sedikit, lama-lama jadi bukit!” Adalah lebih baik untuk menyimpan sedikit setiap minggu daripada cuba menyimpan dengan banyak dan gagal.

.
Jadi, kuncinya ialah menjadikan tabiat menyimpan duit setiap kali mendapat gaji. Apabila anda menyimpan terlebih dahulu, anda akan dapat memastikan perbelanjaan mengikut baki duit yang ada. Jika anda tidak nampak duit, anda tidak berpeluang untuk membelanjakannya. Seperti yang dikatakan, “Out of sight, out of mind!” (“Apa yang tidak dapat dilihat, tiada dalam minda!”).

.

.

Berapa banyak yang patut saya simpan?

.

Sebagai garis panduan, sekurang-kurangnya 10% daripada pendapatan anda. Walaubagaimanapun, ini bukanlah sesuatu yang dapat dilakukan selalu. Adalah lebih baik bermula dengan jumlah yang anda selesa dan secara perlahan-perlahan menuju ke arah matlamat itu. Sudah tentu jika anda boleh simpan lebih, itu adalah lebih baik.

.

Matlamat anda adalah untuk mencipta dana kecemasan yang cukup untuk tiga ke enam bulan perbelanjaan bulanan anda. Anda boleh melakukannya dengan cuba menyimpan perbelanjaan seminggu, kemudian dua minggu dan secara perlahan bertambah kepada sebulan dan seterusnya.

.

Ingat: Mendapat tabiat meyimpan adalah lebih penting daripada berapa banyak yang anda simpan!

.

.


Di manakah saya patut menyimpan “Dana Kecemasan” saya?

.

Dana kecemasan anda patut disimpan dalam satu akaun yang senang untuk anda keluarkan dalam waktu-waktu kecemasan. Namun ia tidak patut menjadi terlalu senang untuk anda menggunakannya dengan sesuka hati anda. Anda mungkin memilih untuk membuka Akaun Simpanan dengan bank tetapi memilih untuk tidak memiliki kad ATM. Alternatifnya, anda juga boleh memilih untuk melabur sebahagian darinya ke dalam dana Amanah Saham kerajaan. Pilih dana yang memastikan keselamatan kepada kapital anda sementara memberikan pulangan yang berpatutan.

.

Apabila anda mendapat pendapatan, ingat untuk membayar diri anda sendiri terlebih dahulu. Cara yang mudah untuk melakukan ini ialah dengan berdaftar dengan skim potongan gaji. Anda boleh mengarahkan majikan anda atau bank anda untuk menyimpan sebahagian daripada gaji anda ke dalam akaun simpanan/amanah saham anda setiap bulan. Ingat bahawa akaun ini adalah untuk kecemasan sahaja dan seboleh yang mungkin, anda tidak akan menggunakannya untuk tujuan lain!

.

.

Bagaimana saya boleh tahu bila “Dana Kecemasan” dapat digunakan?

.

Keputusan ini bergantung pada situasi anda. Anda perlu memikirkan hal ini dengan lebih awal. Masih ingatkah perbincangan kita tentang menetapkan syarat? Buat beberapa syarat untuk situasi yang anda boleh gunakan duit ini, supaya anda tidak membazirkannya. Kemudian patuhi syarat-syarat anda sendiri!

.

Soalan-soalan berikut mungkin boleh membantu anda dalam menetapkan beberapa syarat:

.

  1. Adakah perbelanjaan ini satu Keperluan atau Kehendak?
  2. Adakah saya benar-benar perlu membelinya hari ini?
  3. Apa yang akan berlaku jika saya tidak membelanjakannya sekarang?
  4. Bolehkah saya mendapat pengganti yang lebih murah?
  5. Adakah cara lain untuk saya membayar perbelanjaan ini tanpa perlu berhutang?
  6. Jika saya menggunakan duit ini hari ini, bagaimana perasaan saya tentang keputusan
    saya ini pada bulan depan?

.

Sentiasa ingat bahawa ini adalah “Dana Kecemasan” anda dan jika ia bukan kecemasan, anda tidak akan menyentuhnya! Tiada alasan!

.

Kesimpulan

.

Terdapat satu lagi pepatah Melayu yang mengatakan bahawa kita patut sediakan payung sebelum hujan. “Dana Kecemasan” ini adalah payung kita dan pastikan ia cukup besar untuk melindungi anda apabila hujan (tetapi pastikan tidak ada kebocoran!)

.

Jadi, mula bina dana ini sekarang dan ia mungkin penyelamat anda suatu hari nanti.

.

.

.

Apakah Skim Cepat Kaya

Monday, January 17, 2011

Hutang "Baik" vs Hutang "Tak Baik"

Kali ini, BUW ingin berkongsi maklumat tentang jenis-jenis hutang yang terbahagi kepada 2 bahagian iaitu hutang baik dan hutang tak baik. Artikel yang dipetik dari web AKPK ini dapat menjadi panduan untuk kita semua dalam perkara-perkara berhutang. Layan.....

.

Adakah jenis “Hutang Baik”? Ya, ada. Hutang ini membolehkan beban kewangan dijelaskan sepenuhnya. Meminjam untuk membeli rumah, pendidikan anak-anak, memajukan kemahiran dalam kerjaya, atau memulakan perniagaan sendiri akan membolehkan anda mendapat faedah kewangan jangka panjang.

.

“Hutang Tak Baik” adalah bila anda meminjam untuk sesuatu yang tidak mendatangkan apa-apa feadah kewangan atau barangan tersebut mempunyai jangka hayat yang lebih singkat daripada jangkamasa pinjaman barangan itu sendiri. Ini termasuklah pinjaman untuk bercuti, membeli pakaian, perabut, barangan rumah atau pun makan luar.

.

Di dalam proses mengasingkan pekara-perkara negatif berkaitan hutang, kita seringkali beranggapan bahawa berhutang adalah suatu perkara yang tidak berfaedah dan tidak produktif. Semestinya ia tidak benar kerana hutang boleh digunakan secara produktif oleh individu, peniaga mahu pun badan-badan kebajikan.

.

Untuk lebih memahami, mari kita lihat takrifan hutang yang produktif dan tidak produktif:

· Jika saya meminjam wang untuk beli satu pengalaman atau benda-benda yang tidak boleh saya bayar, dan menambah hutang dengan caj faedah tinggi, saya telah dibebani dengan hutang tidak produktif.

.

· Jika saya meminjam wang untuk memperolehi satu aliran pendapatan yang menyumbang kepada pembayaran balik hutang, seperti pembelian lot kedai untuk disewa (kepada penyewa yang baik, harapnya!), Saya telah menggunakan hutang secara produktif.

.

· Jika saya meminjam wang menggunakan akaun margin untuk membuat spekulasi ke atas saham “panas” berdasarkan sembang-sembang/gossip, saya telah melibatkan diri dengan hutang yang tidak produktif dan berbahaya. Kesimpulannya, saya akan kehilangan wang (kebiasaanya) dan masih berhutang.

.

· Jika saya meminjam wang untuk membeli rumah, dan bercadang tinggal di rumah tersebut untuk masadepan yang dijangka, sekurang-kurangnya saya mungkin dapat mencapai “pulang-modal” sepanjang masa melalui peningkatan nilai rumah saya. Dalam mana-mana kes, ia akan menyelamatkan saya dari perlu membayar sewa sekiranya tidak membeli rumah, dengan ini, saya telah berhutang secara produktif.

.

· Jika saya meminjam wang untuk membeli sebuah kereta baru, dan berhutang lebih daripada 90% nilainya, saya akan terus menjadi tidak menentu dari segi penggunaan hutang jika kereta saya dicuri. Adakah anda sedar yang dalam kebanyakan kes, sebuah kereta susut nilai lebih kurang 1/5th dari nilainya sebaik sahaja bilik pameran ditinggalkan? Sebagai penanggung insurans, mereka hanya membayar nilai pasaran kereta anda pada masa kerugian, kekurangan terpaksa anda tanggung sendiri.

.

· Jika saya meminjam wang untuk memulakan satu perniagaan sendiri, saya boleh menghapuskan bunga terhadap pendapatan perniagaan saya yang mana boleh memberikan saya penjimatan cukai. Saya boleh juga menggunakan sejumlah pinjaman bagi mengembangkan lagi perniagaan dan ini adalah merupakan hutang produktif.

.

Pinjaman boleh menjadi produktif, sebagai aktiviti yang menjana kekayaan, atau ia akan menjadi pengalaman sebagai “hamba kepada peminjam”. Bijak pandai menggunakan hutang sebagai alat untuk menjana kekayaan, mendapatkan pengecualian cukai atau membesarkan pengurusan hartabenda. Bagi mereka yang kurang arif, kebiasaannya mereka merasakan yang hutang adalah alat untuk mendapatkan sesuatu yang mereka tiada berupaya mendapatkan melalui tabungan atau kesabaran.

.

Tidak semua hutang berbentuk tidak produktif. Keupayaan menguruskan kewangan secara berhemah membolehkan kita menjelaskan kadar bunga hutang dan juga membayar pokok nya sekali. Bila kita gunakan kaedah yang sama dalam perniagaan, hasilnya juga adalah sama. Aliran tunai yang dijana daripada hasil pinjaman mestilah mampu mengembangkan aliran pendapatan bagi membolehkan pembayaran balik tuntutan kredit dan pinjaman asal.

.

Duit Plastikku...

Monday, November 15, 2010

Bagaimanakah untuk mengesan Skim Cepat Kaya?

Walaupun sudah ramai yang terkena tetapi ada saja cara & kaedah yang digunakan oleh individu yang inginkan wang anda secara sedar & rela hati, tetapi hakikatnya wang anda hangus!!!!

Jadikan artikel dari Bank Negara ini sebagai panduan anda untuk mengenal skim yang menghanguskan wang anda...

**************************************************************


Skim pengambilan deposit secara haram


.

>> Orang berkenaan (individu, syarikat atau organisasi) menerima, mengambil atau menyetujuterima deposit daripada orang awam tidak mempunyai lesen di bawah seksyen 6(4) Akta Bank dan Institusi-institusi Kewangan 1989.

.

>> Orang tersebut berjanji untuk membayar semula deposit dengan atau tanpa faedah atau pulangan (faedah atau pulangan pelaburan dijanjikan untuk dibayar dalam suatu tempoh masa dan dalam bentuk wang atau nilaian wang, sebagainya); dan

.

>> Orang tersebut berjanji untuk membayar semula deposit pokok apabila pembayaran balik dituntut atau pada suatu masa atau mengikut hal keadaan yang dipersetujui oleh atau bagi pihak orang yang membuat bayaran itu dan orang yang menerimanya, dengan apa-apa balasan berupa wang atau nilaian wang (pembayaran pelaburan pokok adakalanya dimasukkan sekali dalam faedah atau pulangan tetap yang dijanjikan).

.


Amaran Untuk Pelabur

.

• Aktiviti pengambilan deposit secara haram selalunya berselindung dengan pelbagai cara untuk menipu orang awam menjadi mangsa skim pelaburan haram, antaranya, melalui tawaran pemberian emas dan barang berharga yang lain sebagai sebahagian daripada pulangan yang dijanjikan. Selain itu, orang ramai juga disogok dengan dakwaan bahawa deposit itu diterima sebagai pinjaman kepada syarikat.

.

• Aktiviti pengambilan deposit secara haram seringkali digambarkan mampu memberi kadar faedah atau pulangan yang tinggi atau tidak realistik dalam suatu masa yang singkat berbanding dengan institusi-institusi berlesen yang lain. Bagaimanapun, skim-skim seperti ini tidak boleh bertahan lama;

.

• Jangka hayat skim-skim seperti ini bergantung kepada penyertaan pelabur baru di mana dana pelaburan yang diterima akan digunakan untuk pembayaran dividen kepada pelabur lama. Sekiranya syarikat pengendali gagal mendapatkan pelabur baru, skim ini akan gagal kerana ketiadaan sumbangan dana dari pelabur baru.

.

• Pada permulaannya, pelabur-pelabur awal akan dibayar pulangan pelaburan seperti yang dijanjikan. Bagaimanapun, akhirnya pengendali akan melarikan diri dengan wang deposit yang dipungut apabila pengendali mendapati skim akan mengalami kegagalan yang akhirnya menjadikan pelabur rugi.

.




Friday, November 5, 2010

Apakah Skim Cepat Kaya?

Artikel ini dipeti dari Bank Negara Malaysia untuk pengetahuan para pengunjung blog BijakUrusWang ini.
********************************************************************************************

Satu pelan yang lazimnya menawarkan kadar pulangan yang tinggi atau tidak realistik bagi jumlah pelaburan yang kecil dan pada masa yang sama menjanjikan pelaburan tersebut adalah mudah dan bebas daripada sebarang risiko.

Skim "Cepat Kaya" yang berikut adalah dilarang di bawah undang-undang yang dikuat kuasakan oleh Bank Negara Malaysia:

    Aktiviti pengambilan deposit secara haram

    Aktiviti pengambilan deposit secara haram adalah suatu perbuatan menerima, mengambil, atau menyetujuterima deposit (wang, logam berharga, batu berharga, apa-apa artikel lain dan sebagainya) daripada orang awam atau pelabur, yang menjanjikan pembayaran semula deposit tersebut biasanya dengan faedah atau pulangan atau dengan sebarang balasan yang berupa wang atau nilaian wang, tanpa mempunyai satu lesen yang sah di bawah Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan 1989.

    .

    Urus niaga mata wang asing haram

    Perbuatan yang berikut tergolong kepada urus niaga mata wang asing haram:

    • Membeli atau menjual mata wang asing di antara dua orang dan tiada seorang daripada mereka adalah seorang peniaga yang diberi kuasa melainkan jika orang itu telah mendapatkan kebenaran daripada Pengawal Pertukaran Wang Asing di bawah Akta Kawalan Pertukaran Wang 1953 (AKPW).

    • Membeli atau menjual mata wang asing oleh seorang pemastautin yang bukan seorang peniaga yang diberi kuasa dengan seorang di luar Malaysia melainkan jika orang itu telah mendapat kebenaran Pengawal Pertukaran Wang Asing di bawah AKPW.

AMARAN: Skim Pelaburan Melalui Internet

.

Orang awam diingatkan supaya berhati-hati dengan skim pelaburan yang dipromosikan melalui internet. Sesetengah syarikat dan laman web yang menawarkan skim pelaburan melalui internet tidak dilesenkan atau diberi kuasa oleh Bank Negara Malaysia untuk mengambil deposit atau membuat urus niaga mata wang asing. Aktiviti sedemikian biasanya menawarkan pulangan pelaburan yang menarik atau peluang pelaburan yang membabitkan kadar pulangan yang tidak realistik dan tanpa risiko atau berisiko rendah.

.

Pelabur adalah diingatkan supaya membuat deposit hanya dengan institusi yang berlesen atau menjalankan urus niaga mata wang asing dengan institusi yang diberi kuasa oleh Bank Negara Malaysia agar mereka boleh mendapat perlindungan yang sepatutnya. Pengendali tidak berlesen boleh berhenti menjalankan perniagaan mereka yang menyebabkan pelabur-pelabur tidak mempunyai apa-apa cara untuk mendapatkan semula wang pelaburan mereka atau membuat tuntutan terhadap mana-mana orang yang terbabit dengan skim tersebut.


Tuesday, November 2, 2010

Kos sara hidup jadi kebimbangan

Artikel ini dipetik dari Utusan Malaysia untuk tatapan dan renungan para pengunjung blog BUW.

.

.

KUALA LUMPUR 15 Jan. - Antara kerisauan utama mengenai kewangan bagi rakyat Malaysia ialah kos perbelanjaan sara hidup, demikian menurut hasil kajian Visa.

.

Perkara kedua yang menjadi kebimbangan ialah perubahan pada gaji, diikuti dengan hutang peribadi.

.

Sementara 69 peratus rakyat Malaysia yang ditinjau lebih bimbang akan kos sara hidup, mereka tidak begitu risau tentang nilai dana persaraan, portfolio pelaburan dan kadar pertukaran wang yang berubah- ubah.

.

"Dalam suasana ekonomi sekarang, rakyat Malaysia lebih praktikal dan kebimbangan mereka bertumpu kepada pengurusan yang memberi jaminan dan ketenangan fikiran pada 2010," kata Pengurus Visa Malaysia, Stuart Tomlinson dalam kenyataan hari ini.

.

Bagi seluruh rantau ini, pengguna lebih mementingkan cara untuk menguruskan perbelanjaan, simpanan dan jaminan pekerjaan mereka daripada memberi tumpuan kepada keadaan jangka panjang atau kelebihan ekonomi makro seperti kadar pertukaran atau portfolio pelaburan.

.

Bagi rakyat Malaysia, peluang perubahan pada peningkatan pendapatan juga menjadi kebimbangan, katanya. Mengenai prospek ekonomi tempatan, 66 peratus daripada responden rakyat Malaysia berkata mereka lebih bimbang daripada enam bulan dahulu mengenai impak krisis kewangan global pada ekonomi Malaysia.

.

Dua puluh tujuh peratus berkata mereka juga bimbang, sementara tujuh peratus tidak begitu risau berbanding sebelumnya, kata Tomlinson.

.