Friday, November 5, 2010

Apakah Skim Cepat Kaya?

Artikel ini dipeti dari Bank Negara Malaysia untuk pengetahuan para pengunjung blog BijakUrusWang ini.
********************************************************************************************

Satu pelan yang lazimnya menawarkan kadar pulangan yang tinggi atau tidak realistik bagi jumlah pelaburan yang kecil dan pada masa yang sama menjanjikan pelaburan tersebut adalah mudah dan bebas daripada sebarang risiko.

Skim "Cepat Kaya" yang berikut adalah dilarang di bawah undang-undang yang dikuat kuasakan oleh Bank Negara Malaysia:

    Aktiviti pengambilan deposit secara haram

    Aktiviti pengambilan deposit secara haram adalah suatu perbuatan menerima, mengambil, atau menyetujuterima deposit (wang, logam berharga, batu berharga, apa-apa artikel lain dan sebagainya) daripada orang awam atau pelabur, yang menjanjikan pembayaran semula deposit tersebut biasanya dengan faedah atau pulangan atau dengan sebarang balasan yang berupa wang atau nilaian wang, tanpa mempunyai satu lesen yang sah di bawah Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan 1989.

    .

    Urus niaga mata wang asing haram

    Perbuatan yang berikut tergolong kepada urus niaga mata wang asing haram:

    • Membeli atau menjual mata wang asing di antara dua orang dan tiada seorang daripada mereka adalah seorang peniaga yang diberi kuasa melainkan jika orang itu telah mendapatkan kebenaran daripada Pengawal Pertukaran Wang Asing di bawah Akta Kawalan Pertukaran Wang 1953 (AKPW).

    • Membeli atau menjual mata wang asing oleh seorang pemastautin yang bukan seorang peniaga yang diberi kuasa dengan seorang di luar Malaysia melainkan jika orang itu telah mendapat kebenaran Pengawal Pertukaran Wang Asing di bawah AKPW.

AMARAN: Skim Pelaburan Melalui Internet

.

Orang awam diingatkan supaya berhati-hati dengan skim pelaburan yang dipromosikan melalui internet. Sesetengah syarikat dan laman web yang menawarkan skim pelaburan melalui internet tidak dilesenkan atau diberi kuasa oleh Bank Negara Malaysia untuk mengambil deposit atau membuat urus niaga mata wang asing. Aktiviti sedemikian biasanya menawarkan pulangan pelaburan yang menarik atau peluang pelaburan yang membabitkan kadar pulangan yang tidak realistik dan tanpa risiko atau berisiko rendah.

.

Pelabur adalah diingatkan supaya membuat deposit hanya dengan institusi yang berlesen atau menjalankan urus niaga mata wang asing dengan institusi yang diberi kuasa oleh Bank Negara Malaysia agar mereka boleh mendapat perlindungan yang sepatutnya. Pengendali tidak berlesen boleh berhenti menjalankan perniagaan mereka yang menyebabkan pelabur-pelabur tidak mempunyai apa-apa cara untuk mendapatkan semula wang pelaburan mereka atau membuat tuntutan terhadap mana-mana orang yang terbabit dengan skim tersebut.


Post a Comment