Sunday, August 26, 2012

Caj-caj pihak bank ke atas kad kredit.

Terdapat pelbagai jenis caj yang anda perlu fahami, termasuklah:


Yuran penyertaan

Pengeluar kad kredit mungkin akan mengenakan yuran yang akan dikenakan sekali sahaja. Yuran ini mungkin berbeza antara satu pengeluar kad kredit dengan yang lain.

Yuran tahunan

Ini adalah yuran sama rata yang perlu dibayar setahun sekali. Anda dikehendaki membayar yuran tersebut walaupun anda tidak pernah menggunakan kad kredit anda. Yuran tahunan biasanya adalah di dalam lingkungan RM60 hingga RM90 untuk kad klasik dan RM130 hingga RM195 untuk kad emas.

Caj kewangan (faedah)

Ini adalah caj yang dikenakan kepada anda oleh pengeluar kad kredit ke atas baki yang belum dijelaskan selepas tarikh tamat tempoh. Caj ini biasanya dikira berdasarkan baki harian. Bermula daripada 1 Julai 2008, kadar faedah yang dikenakan adalah secara bertingkat mengikut amalan pembayaran balik pemegang kad. Ini bertujuan untuk menggalakkan penggunaan kad kredit secara berdisiplin di kalangan pemegang kad. Bermula dari 31 Mac 2009, kadar faedah baru yang dikenakan adalah seperti berikut:

1. Bagi Rekod Pembayaran Balik Pemegang kad yang menjelaskan bayaran minimum selama 12 bulan berturut-turut. Kadar Faedah yang dikenakan adalah sehingga 13.5% setahun.

2. Bagi Rekod Pembayaran Balik Pemegang kad yang menjelaskan bayaran minimum selama 10 bulan atau lebih sepanjang tempoh 12 bulan. Kadar Faedah yang dikenakan adalah sebanyak 16% setahun.

3. Selain daripada 1 & 2, Kadar Faedah yang dikenakan boleh melebihi 17.5% setahun. WoW!!! Baaanyaaaaknya….. (kalau simpan dalam KPF pon hanya dapat 16% setahun)

Dapatkan nasihat daripada pengeluar kad kredit anda berkenaan cara-cara untuk mengira caj yang dikenakan supaya anda tidak perlu membayar caj yang dapat dielakkan.

Yuran pendahuluan wang tunai

Ini adalah yuran yang dikenakan bagi setiap kali pendahuluan wang tunai diperoleh. Yuran ini biasanya 3% hingga 5% daripada jumlah pendahuluan wang tunai yang diambil dan merupakan tambahan kepada caj kewangan yang dikenakan ke atas jumlah pendahuluan yang diberikan kepada anda. Caj kewangan dikira bermula daripada tarikh wang tersebut diambil atau apabila jumlah tersebut tercatat ke dalam akaun kad kredit anda. Jumlah pendahuluan wang tunai ini mungkin dihadkan untuk setiap pelanggan.

Caj bayaran lewat

Ini adalah caj yang dikenakan jika anda gagal untuk menjelaskan sekurang- kurangnya jumlah bulanan minimum sebelum tarikh yang ditetapkan. Jika anda bayar selepas tarikh tamat tempoh, anda akan dikenakan caj kewangan (faedah ke atas baki belum jelas) dan caj bayaran lewat. Caj bayaran lewat boleh mencecah 1% daripada baki belum jelas atau jumlah maksimum sebanyak RM75 manakala jumlah minimum sebanyak RM5.

Maklumat terperinci kesemua fi dan caj kad kredit anda terdapat di laman web institusi perbankan anda.

Caj kewangan, yuran dan tempoh tanpa faedah

Anda boleh menikmati tempoh tanpa faedah, kebiasaannya selama 20 hari dari tarikh urus niaga mula direkodkan (untuk pembelian sahaja) sekiranya anda tidak mempunyai sebarang jumlah tertunggak yang perlu dibayar dari bulan sebelumnya. Oleh itu, sekiranya anda hanya membayar sebahagian atau jumlah minimum baki yang perlu dibayar, anda akan dikenakan faedah ke atas semua pembelian yang dibuat melalui kad kredit anda dari tarikh urus niaga direkodkan.



  (dipetik dari bankinginfo)



  Amalkan Formula S.E.B.E.L.A.S

Monday, August 20, 2012

Perlukah Kad Kredit atau Batalkan sahaja?

Ikuti beberapa panduan untuk Membantu Anda Menjawab Soalan “Wajarkah saya terus memiliki kad kredit dan membayar RM50 cukai perkhidmatan atau patutkah saya batalkan sahaja kad kredit tersebut?”


Walaupun setiap tahun Bajet tahunan telah diumumkan oleh Perdana Menteri / Menteri Kewangan Malaysia, namun pelaksanaan cukai perkhidmatan kad kredit sebanyak RM50 terus menjadi perbincangan hangat di kalangan rakyat Malaysia. Soalan yang kerap kali diajukan ialah: “Wajarkah saya terus memiliki kad kredit dan membayar RM50 cukai perkhidmatan atau patutkah saya batalkan sahaja kad kredit tersebut?”

Dalam artikel ini, kita akan membincangkan perkara-perkara yang harus diketahui semasa mempertimbangkan sama ada untuk membatalkan atau terus memiliki kad kredit. Setelah membaca artikel ini, anda bolehlah mempertimbangkan kelebihan dan kekurangan yang ada pada kad kredit dan kemudiannya membuat keputusan sendiri sama ada untuk terus memiliki atau membatalkan kad kredit yang dimiliki.

KELEBIHAN

• Kad kredit boleh digunakan pada waktu kecemasan. Contohnya, jika anda mendapatkan rawatan di hospital persendirian, kebiasaannya pihak hospital akan meminta bayaran pendahuluan. Kad kredit boleh membantu apabila anda berdepan dengan situasi sebegini.

• Kad kredit lebih mudah dan praktikal untuk dibawa berbanding dengan wang tunai.

• Syarikat-syarikat kad kredit sudah tentu akan cuba sedaya upaya mereka untuk mengekalkan anda sebagai pelanggan. Mereka mungkin akan menawarkan pelbagai bonus baru, ganjaran serta insentif supaya anda terus menggunakan kad kredit mereka. Lebih menarik lagi, ada juga bank yang membenarkan pelangannya menggunakan mata ganjaran yang dikumpul untuk melangsaikan cukai perkhidmatan kad kredit itu.

• Kad kredit membolehkan anda membuat pembelian melalui Internet. Jika anda kerap membeli-belah secara dalam talian (online), anda pasti tahu bahawa salah satu cara pembayaran yang sering diterima ialah penggunaan kad kredit.

• Fungsi auto-debit melalui kad kredit memudahkan anda untuk membayar bil dari rumah. Ini kerana bukan semua orang mempunyai masa untuk pergi ke bank/pejabat pos/pusat pembayaran bagi membuat pembayaran.



KEKURANGAN

• Kegagalan menguruskan hutang kad kredit dengan baik boleh mengundang pelbagai masalah, termasuklah kebankrapan. Sebuah bank terkemuka telah menjalankan kaji selidik tentang tabiat perbelanjaan rakyat Malaysia dan mendapati hanya 28% rakyat mematuhi bajet yang dibuat. Sementara itu, Jabatan Perangkaan Malaysia pula mendedahkan bahawa 50% rakyat Malaysia yang diisytiharkan bankrap terdiri daripada mereka di bawah umur 30 tahun.

• Jika kad kredit dicuri atau nombor PIN jatuh ke tangan orang yang tidak sepatutnya, anda mungkin terpaksa menanggung hutang kad kredit yang banyak.

• Kad kredit biasanya memberikan anda mata ganjaran yang kemudiannya boleh digunakan untuk menebus pelbagai hadiah menarik. Namun, jangan lupa bahawa anda perlu banyak berbelanja untuk mengumpul mata ganjaran tersebut. Situasi sebegini boleh mendorong anda berbelanja melebihi kemampuan, semata-mata kerana ingin mengumpul mata ganjaran dan memperoleh hadiah yang diidamkan.

• Oleh kerana anda tidak perlu menggunakan wang tunai sendiri tetapi sekadar sekeping kad untuk membeli barang, ramai yang cenderung membeli barang yang tidak perlu. Lebih teruk lagi, mereka beranggapan bahawa mereka "mampu” untuk membeli barangan yang mahal, sedangkan situasi kewangan mereka adalah sebaliknya.

• Biarpun jarang menggunakan kad kredit, anda masih perlu membayar cukai perkhidmatan sebanyak RM50 untuk setiap kad setahun dan ini sudah pastinya merugikan. Selain itu, syarikat kad kredit akan mengenakan pelbagai jenis caj bagi perkhidmatan yang ditawarkan. Walaupun ada syarikat yang menawarkan yuran tahunan percuma sepanjang hayat, ia biasanya tertakluk kepada syarat-syarat tertentu. Jika anda hanya menggunakan kad kredit setahun sekali, lebih baik batalkannya sahaja.

• Purata kadar faedah yang dikenakan oleh bank untuk penggunaan kad kredit ialah 18% setahun. Hakikatnya, lebih lama masa yang diambil untuk membayar hutang kad kredit, lebih banyaklah wang yang perlu dibayar kepada pihak bank!

• Yuran dan caj yang bakal dikenakan – Ingatlah bahawa bank atau syarikat kad kredit juga akan mengenakan yuran pembayaran lewat (serta yuran-yuran lain) sekiranya anda gagal menjelaskan hutang kad kredit dalam tempoh masa yang ditetapkan. Bayaran-bayaran sebegini pastinya membebankan anda dalam jangka masa panjang.



Kesimpulan

Kini, anda sepatutnya mempunyai gambaran dan idea yang lebih jelas berkaitan persoalan sama ada untuk terus memiliki atau pun membatalkan sahaja kad kredit yang dimiliki. Walau apapun keputusan anda, berikut adalah beberapa panduan mudah yang perlu diingati ketika menggunakan kad kredit:

1. Baca dan fahami terma dan syarat penggunaan kad. Elakkan kad kredit yang mengenakan yuran tahunan atau yuran lain yang tidak wajar. Berhati-hati dengan yuran tahunan yang mempunyai syarat yang membebankan seperti “Tiada yuran tahunan dikenakan jika anda berbelanja RM500 sebulan untuk petrol/barang harian”.

2. Gunakan satu kad kredit sahaja untuk tujuan kecemasan dan jangan lupa membandingkan kadar faedah sebelum mendaftar untuk kad kredit.

3. Pastikan anda sentiasa melangsaikan hutang kad kredit secepat mungkin.

4. Tetapkan had kredit untuk diri sendiri. Dengan menetapkan had perbelanjaan yang berpatutan berdasarkan pendapatan anda, masalah hutang yang membebankan boleh dielakkan berbanding mereka yang tidak menetapkan had perbelanjaan.


Sentiasa ingat bahawa kad kredit hanyalah suatu instrumen kewangan yang disediakan oleh pihak bank. Manakala, ia bukan instrumen untuk berhutang. Ia boleh membawa kebaikan dan keburukan, jadi terpulanglah kepada anda untuk menilai keperluan memilikinya serta penggunaanya dengan sebaik mungkin.


(Artikel dipetik dari Pelabur Malaysia)

    Belajar Tentang Saham - Waran

Monday, June 18, 2012

Ciri-ciri Pelabur Berjaya

Pakar-pakar pelaburan yang hebat sentiasa mendapat perhatian kerana pelbagai kisah kejayaan dan sesiapa sahaja yang berminat untuk melabur pasti ingin mengetahui rahsia di sebalik kejayaan mereka. Apabila menghadiri seminar-seminar dan membaca buku-buku mereka yang berjaya ini, kita akan mendapati bahawa terdapat pelbagai cara untuk berjaya, tetapi pada masa yang sama, kita boleh melihat terdapat persamaan antara cara-cara tersebut. Pada akhir artikel ini, anda akan dapat mengenal pasti beberapa ciri yang biasanya dimiliki oleh pakar-pakar pelaburan seperti Benjamin Graham, Warren Buffett, Philip A. Fisher, Peter Lynch, John Templeton dan John Neff.


Elakkan meramal pasaran

Melainkan dilahirkan dengan kebolehan meramal masa depan, biasanya anda akan dapati meramal pasaran memberikan kesan yang negatif. Hampir semua pakar pelaburan menyarankan bahawa anda tidak akan berjaya sekiranya mengatur strategi pembelian atau jualan dengan cubaan untuk meramal pergerakan harga pasaran di masa depan.
Terlalu banyak faktor yang mempengaruhi pasaran saham sehingga agak mustahil untuk sesiapa sahaja mengetahui dengan jelas arah jangka pendek atau waktu perubahan pergerakan pasaran. Banyak juga pakar-pakar yang menawarkan pelbagai model yang dibantu dengan komputer yang dikatakan dapat meramal pasaran dengan tepat. Namun, walau bagaimana canggih sekalipun model tersebut, ianya tidak pernah mampu mengambil kira faktor yang paling utama iaitu manusia atau pelabur itu sendiri. Biasanya manusia bertindak balas secara tidak rasional terhadap pergerakan pasaran dan menyumbang kepada keadaan pasaran yang tidak dapat diduga. Setiap pelabur akan dipengaruhi oleh ciri dan keadaan masing-masing dan tindakan mereka berbeza antara satu sama lain, lantas menjadikan usaha menafsir perilaku manusia hampir mustahil.
Pakar-pakar pelaburan menasihatkan pelabur agar mengabaikan pergerakan saham harian dan menumpukan perhatian kepada perkara yang lebih penting, iaitu potensi jangka panjang saham yang dimiliki. Pelabur tidak digalakkan untuk mengikut naik turun pasaran melainkan saham yang dimiliki menghadapi masalah yang serius. Kebanyakan pakar-pakar pelaburan hanya akan menjual saham-saham mereka atas sebab-sebab yang kukuh. Warren Buffett pernah berkata, setelah membeli saham, beliau tidak peduli sekiranya pasaran ditutup sepenuhnya selama sepuluh tahun kerana yakin dengan nilai saham tersebut sehingga beliau tidak perlukan pasaran untuk mengesahkannya.

Berani bertindak di luar kebiasaan

Sesetengah pakar pelaburan lebih gemar kepada saham nilai, ada pula yang lebih sukakan saham pertumbuhan dan ada juga yang memilih kedua-duanya sekali. Tidak kira bagaimana strategi pelaburan mereka, kesemuanya mempunyai ciri-ciri yang sama. Mereka tidak takut untuk bertindak di luar kebiasaan. Menjadi lumrah manusia untuk lari menyelamatkan diri apabila menghadapi bahaya dan apabila terdengar sahaja berita buruk, kebanyakan pelabur akan menjual saham kerana takut harga turun. Apabila pasaran kembali rancak, mereka akan masuk ke pasaran semula dalam usaha untuk mengaut keuntungan seperti orang lain, walaupun paras harga ketika itu mungkin agak tinggi daripada biasa.
“Untuk membeli ketika orang lain menjual dan menjual ketika orang lain membeli memerlukan ketabahan dan keberanian, dan memberikan pulangan yang tertinggi.”- Sir John Templeton, Bekas Ketua Pengurusan Pelaburan Templeton

Tindakan sebegini biasanya menyebabkan pelabur mengambil langkah ‘beli tinggi, jual rendah’ (buy high, sell low) dan bukan ‘beli rendah, jual tinggi’ (buy low, sell high) yang menyebabkan pelaburan mereka rugi dan tidak untung. Bertentangan dengan tindakan pelabur biasa, kebanyakan pakar pelaburan mengatakan bahawa masa yang paling sesuai untuk mencari saham dengan harga terbaik adalah ketika semua orang melarikan diri daripada pasaran. Ketika inilah pelabur menemui ‘lubuk emas’ di pasaran.
Seperti yang dikatakan oleh Sir John Templeton, Bekas Ketua Pengurusan Pelaburan Templeton, ‘jika anda membeli saham yang sama seperti orang lain, anda akan mendapat keputusan yang sama seperti orang lain... Untuk membeli ketika orang lain menjual dan menjual ketika orang lain membeli memerlukan ketabahan dan keberanian, dan memberikan pulangan yang tertinggi.’

Ketahui setiap butiran

Semua pelabur berjaya memiliki satu ciri yang sama: mereka mendalami selok-belok pelaburan. Mereka mungkin mempunyai cara yang berbeza untuk menganalisa maklumat; namun, mereka hanya akan melabur selepas melakukan kaji selidik yang terperinci. Mereka semua akan melakukan analisis kewangan yang lengkap sebelum membeli sebarang jenis saham. Jelas sekali mereka tidak akan masuk ke dalam pasaran semata-mata kerana rakan-rakan mereka melakukan perkara yang sama.
Semua perkara di atas adalah asas-asas pelaburan yang mungkin anda sudah tahu. Walau bagaimanapun, mengetahui dan mengamalkan adalah dua perkara yang berbeza. Dalam usaha untuk berjaya, kita mesti menetapkan prinsip pelaburan untuk diri sendiri dan berdisiplin untuk mematuhinya.

Artikel ini dipetik dari http://www.min.com.my/



Thursday, May 17, 2012

Memahami Nilai Bersih

Sebelum ini BUW telah berkongsi maklumat tentang apa itu Aset Dan Liabiliti. Kali ini BUW akan berkongsi bagaimana kita mengira Nilai Bersih Kewangan kita.

Nilai bersih ialah baki aset yang anda ada setelah melangsaikan kesemua liabiliti anda. Bagi pihak bank, nilai bersih aset anda ialah perbezaan diantara jumlah aset dan jumlah liabiliti. Walau bagaimanapun, untuk mencapai kebebasan kewangan, anda perlu memilik aset pelaburan yang mencukupi untuk menjana aliran tunai yang diperlukan bagi menyara keperluan harian dan gaya hidup anda. Maka, nilai bersih aset anda dalam konteks kebebasan kewangan ialah perbezaan di antara aset pelaburan dan jumlah liabiliti anda.

Berikut ialah contoh nilai bersih aset seseorang yang telah bekerja selama 10 tahun di Malaysia.




En. Ali sedang bertugas sebagai pengurus di sebuah syarikat. Pada tahun lepas, setelah dinaikkan pangkat, En. Ali telah mengambil keputusan untuk membeli sebuah kereta baru berharga RM83,000 dengan membuat pinjaman bank sebanyak RM66,000. Tahun ini pula, harga keretanya telah menurun sebanyak RM8,000 dan nilai kereta En. Ali sekarang ialah RM75,000.

En. Ali memiliki sebuah pangsapuri bernilai RM150,000, di mana RM100,000 merupakan baki pinjaman bank yang masih belum diselesaikan. Oleh kerana telah mengeluarkan wang muka yang banyak untuk pangsapuri serta kereta barunya, En. Ali tidak mempunyai wang yang banyak untuk pelaburan saham dan unit amanah. Disamping itu, En. Ali sebenarnya telah mengeluarkan sebahagian daripada pelaburan unit amanah beliau untuk membeli kereta barunya.

Oleh itu, jumlah aset pelaburan En. Ali sekarang cuma RM100,000 sahaja. Daripada jumlah itu, kebanyakan aset pelaburannya ialah daripada wang KWSP beliau yang berjumlah RM60,000 yang perlu disimpan untuk menampung kehidupan selepas bersara nanti. Jika kita mengecualikan wang KWSP beliau dari pengiraan ini, En. Ali cuma mempunyai RM40,000 aset pelaburan setelah 10 tahun berkerja.

Dari perspektif bank, sama ada aset yang dimiliki ialah untuk pelaburan atau tidak, bukanlah sesuatu yang penting. Sesebuah bank akan mengambil kira nilai bersih aset En. Ali ialah RM158,000, yang diperolehi dengan mengira perbezaan antara jumlah aset beliau yang bernilai RM325,000 dan jumlah liabiliti En. Ali yang bernilai RM167,000. Walau bagaimanapun, untuk mendapatkan nilai bersih aset En. Ali dalam erti kata kebebasan kewangan, iaitu tanpa mengambil kira aset bukan pelaburan beliau, En. Ali sebenarnya mempunyai defisit sebanyak RM67,000. Ini menggambarkan bahawa perjalanan En. Ali untuk mendapatkan kebebasan kewangan sebenarnya masih panjang.

Oleh yang demikian, untuk mencapai kebebasan kewangan, En. Ali harus melangsaikan segala hutang beliau secepat mungkin. Dengan cara ini, beliau akan berupaya untuk menjana aset pelaburan yang mencukupi untuk membiayai perbelanjaannya.


Kewangan Dan Cara Mengawal Perbelanjaan

Tuesday, May 1, 2012

Belajar Tentang Saham - Waran


Risiko Melabur dalam Saham Waran.


Waran merupakan produk pelaburan yang memberi peluang kepada pelabur untuk mempelbagaikan pelaburan mereka. Ia popular di kalangan pelabur runcit, kerana ia tidak memerlukan modal yang besar dan berpotensi memberikan pulangan yang tinggi. Ini sekaligus menjadikan ia pilihan kepada pelabur kecil-kecilan  yang tidak mempunyai banyak modal tambahan.
Walau bagaimanapun, ramai yang melabur dalam waran tanpa memahami sepenuhnya bagaimana ia berfungsi dan risiko yang bakal dihadapi. Di akhir artikel ini, anda akan dapat memahami asas-asas pelaburan waran dan implikasinya ke atas keputusan pelaburan yang dibuat
Jenis-Jenis Waran
Waran memberikan pemegangnya hak tetapi bukan kewajipan, untuk membeli atau menjual saham biasa atau saham pendasar (underlying shares) pada harga dan tempoh tertentu. Dalam erti kata lain, apabila melabur dalam waran, pelabur seolah-olah membuat ‘tempahan’ untuk membeli sebilangan saham pada masa depan tetapi pada harga yang telah ditentukan lebih awal.
Pemegang waran tidak mendapat hak mengundi atau hak memperolehi dividen seperti yang dinikmati oleh para pemegang saham biasa. Salah satu faedah utama melabur dalam waran ialah leveraj kos (cost leveraging). Ia bermakna dalam pelaburan waran, anda berpeluang mendapat pendedahan pergerakan harga seperti di pasaran saham dengan hanya sebahagian daripada kosnya.
Waran yang telah mencapai tarikh matang/luput biasanya akan ditukar kepada saham induk dengan syarat pelabur membayar jumlah tertentu yang telah ditetapkan (conversion price atau nilai tebus). Proses ini dikenali sebagai ‘melaksanakan waran’.
Terdapat dua jenis waran iaitu waran opsyen beli (call warrants) dan waran opsyen jual (put warrants).

Waran opsyen beli adalah salah satu jenis waran yang paling lazim di pasaran saham tempatan dan hampir serupa dengan opsyen. Waran dikeluarkan oleh syarikat saham pendasarnya, manakala opsyen merupakan instrumen kewangan bursa saham. Waran biasanya dikeluarkan oleh syarikat-syarikat sebagai tawaran untuk menarik pelabur-pelabur membeli sekuriti yang baru diterbitkan. Waran juga dianggap sebagai jenis terbitan ekuiti derivatif kerana ia memperoleh nilainya daripada sekuriti pendasarnya.
Harga laksana (exercise price/ strike price)
Harga laksana merujuk kepada harga apabila pelabur membeli waran opsyen beli dan ini ditentukan apabila waran diterbitkan. Harga laksana akan menentukan sama ada waran anda berapa pada kedudukan, Berwang (In-the-Money), Tanpa Wang (Out-of-the-Money) atau Pada Wang (At-the-Money).

Kesan Penggearan (Gearing effect)
Antara sebab utama waran menarik minat pelabur adalah kosnya yang kecil berbanding dengan harga saham tetapi pada masa yang sama menawarkan pulangan yang agak besar, sama ada positif atau negatif.
Mari kita lihat contoh saham ABC yang berharga RM2.00 seunit di pasaran. Pelabur A melabur RM2,000 untuk membeli 1,000 unit saham. Pelabur B pula membuat keputusan untuk melabur modal yang sama sebanyak RM2,000 dalam waran yang bernilai RM0.50 setiap waran. Dengan jumlah pelaburan yang sama, Pelabur B memiliki 4,000 saham.
Jika saham ABC mendapat keuntungan RM0.30 atas setiap unit saham, maka harga tutup saham adalah RM2.30 memberikan peratusan keuntungan sebanyak 15%. Walau bagaimanapun, dengan keuntungan RM0.30 dalam waran itu, dari RM0.50 kepada RM0.80, peratusan keuntungan itu akan menjadi 60%.

Inilah contoh kesan penggearan waran. Walau bagaimanapun, dengan adanya kemungkinan mendapat keuntungan yang besar, anda juga mungkin kerugian besar. Dalam jangka hayat sesuatu waran, lazimnya harga waran bergerak selari dengan harga saham pendasar. Namun, oleh kerana wujudnya kesan penggearan, penurunan kecil dalam harga saham pendasar akan mengakibatkan kejatuhan ketara dalam harga waran.
Menggunakan contoh di atas, jika harga saham pendasar berkurangan dari RM2.00 kepada RM1.80, penurunan peratusan ialah 10%. Tetapi, dengan jumlah yang sama iaitu pengurangan sebanyak RM0.30 dalam waran tersebut akan menyebabkan penurunan sebanyak 60% dalam nilai waran.
Tempoh matang
Semua waran mempunyai jangka hayat yang terhad. Sekiranya harga saham pendasar kekal di bawah harga laksana ketika tempoh matang waran tersebut, waran tidak akan mempunyai sebarang nilai dan pelabur akan kerugian.

Oleh itu, adalah amat penting bagi pemegang waran untuk menumpukan perhatian terhadap tempoh matang waran dan juga harga pendasar saham tersebut



Kawalan risiko
Dengan risiko tinggi sebegini, pelabur yang berminat dalam waran harus memahami sepenuhnya tahap toleransi risiko mereka sendiri. Pelaburan yang terlalu banyak dalam waran boleh menyebabkan portfolio pelaburan mereka terdedah kepada risiko yang berlebihan. Ramai pelabur cenderung untuk membeli waran yang sangat aktif dalam pasaran tanpa banyak pengetahuan mengenai produk pelaburan tersebut. Oleh kerana waran juga popular di kalangan spekulator jangka pendek, waran yang aktif didagangkan mungkin tidak sesuai bagi pelabur yang berhasrat untuk memegang waran untuk jangka masa panjang. Nilai yang sedia ada mungkin diwujudkan oleh pelabur-pelabur jangka pendek yang membuat spekulasi dan cuba untuk mendapatkan keuntungan dengan cepat. Oleh itu, adalah penting bagi pelabur untuk memberi perhatian kepada jenis pelabur yang berminat dalam waran itu.
Membeli waran pada kedudukan “berwang” boleh menawarkan keuntungan yang sedikit tetapi risikonya lebih rendah berbanding dengan waran “pada wang”. Apabila waran berkedudukan “pada wang”, ia kurang sensitif kepada pergerakan harga saham pendasarnya. Ini bererti walaupun harga saham meningkat, harga waran mungkin tidak mempunyai pergerakan yang ketara, seperti yang kita harapkan daripada waran “berwang”. Lebih teruk lagi, jika jangka hayat waran itu menghampiri dengan tempoh matangnya; nilai waktunya akan menurun secara drastik.
Seperti dalam mana-mana pelaburan, seseorang pelabur harus memastikan bahawa mereka benar-benar memahami ciri-ciri waran sebelum membuat keputusan untuk melabur dalam produk pelaburan tersebut. Ini akan membolehkan pelabur membuat keputusan yang bersesuaian dan mampu membuahkan hasil yang diinginkan.

(Artikel ini dipetik dari Pelabur Malaysia)

Apa itu Overdraft (OD)?

Monday, April 23, 2012

Ubah Gaya Hidup, Elak Jadi Miskin Selepas Bersara

KOTA KINABALU 22 April - Sikap boros berbelanja merupakan faktor kritikal yang menyebabkan kebanyakan rakyat di negara ini jatuh miskin selepas bersara.

Sehubungan itu, Pengurus Besar Tune Ins Holdings Sdn. Bhd., K. Sasitharan berkata, cadangan melanjutkan usia persaraan kepada 60 tahun bukanlah satu jaminan yang dapat mengelakkan rakyat negara ini daripada mengalami sindrom miskin selepas bersara.

"Wang simpanan RM1 juta atau RM2 juta bukan satu nilai selamat seandainya amalan boros diteruskan semasa usia persaraan.

"Bagaimanapun, sekiranya anda memiliki simpanan kurang daripada RM1 juta tetapi hidup dengan cukup sederhana dan berhemah, wang yang dimiliki mampu bertahan," katanya ketika ditemui pada Seminar Khas Kewangan anjuran Amanah Saham Nasional Bhd. sempena Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2012, di sini hari ini.

Kata beliau, sebagai langkah awal dan berhati-hati, rakyat Malaysia perlu bersedia dan berani melakukan perubahan gaya hidup kepada lebih sederhana menjelang peningkatan usia.

Sasitharan berkata, dalam kajian dan pemerhatian yang dijalankan, didapati sebahagian besar pekerja di negara ini, sama ada yang berpendapatan sederhana atau tinggi, tidak berupaya mengubah kehidupan mereka kepada lebih sederhana ketika usia kian meningkat.

"Masalah ini adalah kritikal dan ia hanya boleh diatasi dengan mengubah kehidupan lebih sederhana," katanya.

Beliau mengakui, bukan mudah untuk menukar gaya hidup tetapi ia perlu dilakukan dengan inisiatif sendiri dan dilakukan secara holistik.

"Tiada siapa boleh mengawal diri sendiri daripada berbelanja besar, jadi sikap boros ini adalah masalah individu dan hanya diri sendiri mampu menyelesaikannya," katanya.

Menurutnya, peningkatan gaya hidup mengakibatkan rakyat negara ini begitu berani berbelanja besar tanpa berasa bimbang terhadap kedudukan kewangan semasa dan akan datang.

"Rakyat kita semakin boros berbelanja, tidak cukup duit, mereka guna pula kad kredit, cara perbelanjaan ini memang menakutkan, tetapi bolehkah amalan tersebut diteruskan ketika usia semakin bertambah?," soalnya.

Justeru, Sasitharan berkata, jurang cukup besar antara perbezaan gaya hidup dan nilai wang yang ada perlu diatasi segera melalui pendidikan dalam perancangan kewangan dan psikologi.

"Ini penting bukan sahaja untuk mengelakkan rakyat semakin miskin apabila tua tetapi ia juga boleh menjejaskan visi untuk mencapai negara berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020," katanya.


Dipetik dari Berita Utusan
Bayar Untuk Diri Sendiri Dahulu

Friday, April 13, 2012

Apa yang Anda Perlu Tahu Pasal Duit ?

Anda barangkali kadang-kadang keliru apabila disebut pasal duit.



  • Buat duit ?

  • Berapa duit ada ?

Selalunya anda tahu macam mana nak buat duit. Iaitu mempunyai pendapatan. Mencari pekerjaan yang boleh memberikan pendapatan bulanan. Buat bisnes yang boleh berikan pendapatan sampingan.


Income


1. Dapat duit gaji bulan-bulan itu adalah income.


2. Dapat duit sewa dari rumah itu adalah income.


3. Dapat dividen dari saham itu adalah income.


4. Dapat royalti dari penulisan buku, lirik dan sebagainya adalah income.


5. Dapat pendapatan dari hasil jualan bisnes juga adalah income.



Tapi bila anda ditanya berapa duit anda ada ? Ia merujuk kepada …


Berapa simpanan dalam akaun bank anda?


Berapa nilai duit dalam Tabung Haji?


Berapa banyak duit dalam ASB ?


Berapa ringgit nilai saham yang anda pegang ?



Ia adalah….


Aset


Kalau jumlah perbelanjaan bulanan anda adalah RM 2,000 sebulan dan anda mempunyai RM 10,000 dalam akaun bank. Ia bermaksud anda mempunyai simpanan yang bersamaan kos kehidupan anda selama 5 bulan.



10 tahun dulu, anda membeli rumah teres 2 tingkat dengan harga RM 180,000. Sekarang pasaraya Jusco hanya 1km dari rumah anda. Nilainya kini meningkat menjadi RM 280,000. Tetapi disebabkan rumah nilainya tidak berapa nak cair (liquid), jadinya nilai RM 280,000 itu hanyalah anggaran sahaja. Duit dalam tangan anda yang sebenar hanya diketahui selepas rumah tersebut dijual.



Begitu juga dengan saham. Saham amanah. Selagi mana pegangan saham anda belum dijual, ia hanya berbentuk paper profit atau paper loss sahaja. Real profit atau real loss hanya bila anda jual pegangan saham anda.



Tetapi ramai orang selalu lupa satu perkara. Dan saya mahu anda untuk sentiasa ingat


Aliran Tunai (Cashflow) ini adalah komponen yang paling penting.


Yang menghubungkan antara buat duit dan berapa duit yang anda akan ada. Yang akan menentukan berapa banyak aset yang akan ada untuk tahun-tahun akan datang.


Buat duit banyak pun, tapi tidak jaga aliran tunai, maka akhirnya tidak akan ada duit dalam tangan.



RM 10,000 (pendapatan)
-RM 11,000 (perbelanjaan)
(RM 1,000) (tiada duit dalam tangan)



Jadinya, aliran tunai anda adalah negatif.



Anda perlu jadikan ia begini…



RM 2,000 (pendapatan)
-RM 1,500 (perbelanjaan)
RM 500 (duit dalam tangan)



Jadinya, aliran tunai anda adalah positif.



Dan cara yang termudah untuk hasilkan keadaan begini adalah pay yourself first.



RM 2,000 (pendapatan)
-RM 500 (duit dalam tangan)
RM 1,500 (perbelanjaan)



Amalkan sampai mati.



Jadi, sampai bila-bila pun anda tidak akan short duit pada hujung bulan. Malah, anda akan tinggalkan anak-anak anda dan isteri anda dalam keadaan yang tidak meminta-minta sebab simpanan anda mencukupi untuk mereka. Kalau sudah ada takaful maka mereka boleh dapat lagi lebih. Senang anak-anak nak sambung pelajaran ke universiti walaupun anda sudah tiada nanti.



Jadi, bila anda sudah faham. Maka bila nak terlibat dalam pelaburan hartanah maka anda cuma tiru formula yang sama.



RM 1,000 (pendapatan sewa)
-RM 750 (installment bank + kos lain)
RM 250 (duit dalam tangan)



Jadi aliran tunai untuk pelaburan rumah anda adalah positif.



Itulah jenis pelaburan yang mesti anda buat.


Untuk bisnes pula …


RM 10,000 (jualan)
-RM 4,500 (kos bisnes)
RM 5,500 (duit dalam tangan)



Jadinya, bisnes anda akan terus maju dan maju. Sebab untungnya besar. Aliran tunai anda jaga. Tak perlu meminjam. Boleh guna duit yang ada dalam tangan untuk buat pelaburan bisnes yang lain macam nak tambah cawangan. Cawangan bisnes. Bukan cawangan lain ye.. J



Untuk saham



RM 10,000 (modal)
-RM 600 (dividen / keuntungan bersih selepas jualan)
RM 10,600 (nilai portfolio yang baru)



Jadi ini yang anda perlu tahu pasal duit.


Pendapatan Aset.


Aliran tunai.


Walaupun pendapatan anda kecil, tetapi anda jaga aliran tunai, maka aset akan akan terus berkembang.


Tetapi sekiranya anda berpendapatan besar sekalipun, tidak jaga aliran tunai, maka anda tidak akan ada aset.


Dan yang lebih baik adalah, anda ada pendapatan besar, jaga aliran tunai, maka anda akan jadi jutawan.


Amacam ?


Untuk situasi anda, apa yang perlu anda buat segera ?


Tambah pendapatan ?


Kawal aliran tunai ?


Atau kedua-duanya sekali ?



Siapakah Yang Perlukan Perancang Kewangan?