Hasil kaji selidik Citibank kesedaran perancangan kewangan membimbangkan...
RAKYAT Malaysia didapati belum bersedia dari segi kewangan apabila berlaku kehilangan punca pendapatan atau diberhentikan kerja ekoran kegawatan ekonomi kerana kurang menabung.
Kaji selidik terbaru Citibank Bhd berhubung kesedaran perancangan kewangan bagi suku terakhir 2008 itu, menunjukkan hanya dua daripada lima individu atau 39 peratus rakyat negara ini yang menabung.
Sementara itu, kurang satu daripada tiga individu atau 28 peratus merangka bajet bulanan dan mematuhinya.
Ketua Segmen Pemasaran Perbankan Runcit Citibank, Timothy Johnson, berkata penemuan kajian itu juga mendapati 21 peratus daripada responden membayangkan tabungan mereka hanya mampu bertahan untuk empat minggu saja.
"Berdasarkan persekitaran ekonomi global semasa yang amat mencabar, hasil kaji selidik ini agak membimbangkan.
"Meskipun penanda aras kesedaran rakyat negara ini mengenai perancangan kewangan dan persaraan bagi suku akhir 2008, meningkat berbanding tempoh sama tahun lalu, ia masih belum mantap," katanya pada sidang media selepas membentangkan keputusan kajian itu di Kuala Lumpur, semalam.
Kaji selidik Suku Tahun Akhir Citibank, merangkumi 500 temu bual dalam talian, yang setiap responden diajukan 40 soalan, bertujuan mengetahui tahap pemahaman rakyat Malaysia mengenai kewangan peribadi dan amalan kewangan masing-masing.
Berdasarkan keputusan keseluruhan kajian, secara umumnya, kesedaran merancang kewangan di kalangan rakyat meningkat kepada 51 mata daripada 49 mata pada suku terakhir tahun lalu.
Sehubungan itu, Johnson berkata, banyak lagi yang perlu dilakukan untuk memastikan rakyat negara ini menyedari kepentingan kewangan.
"Pengurusan kewangan yang baik bukan bermakna membina kekayaan, tetapi penghidupan selesa dengan jaminan kewangan, kualiti hidup yang lebih baik, rasa optimis terhadap masa depan serta bersedia untuk menghadapi cabaran hidup.
"Kajian itu menjadi ukuran bagi mengawal kedudukan kewangan, terutama ketika persekitaran mencabar dengan isu pemberhentian kerja dan pemotongan gaji," katanya.
Beliau menyaran pengguna supaya merangka perancangan kewangan yang tersusun, justeru, membantu mereka mengharungi tempoh kelembapan ekonomi.
Menurut kajian itu, kini lebih ramai rakyat Malaysia khususnya di kalangan golongan muda berumur 18 hingga 29 tahun, mula memberi perhatian kepada urusan kewangan mereka.
Sejumlah 56 peratus daripada responden, beranggapan kedudukan kewangan mereka kini adalah lebih baik berbanding tahun lalu.
Bagaimanapun, sejumlah 37 peratus daripada responden, naik empat peratus berbanding tempoh sama 2007, berasa bimbang mengenai kedudukan kewangan mereka.
Dari segi pematuhan bajet bulanan, kajian itu mendapati, walaupun 86 peratus responden berhasrat mematuhinya, kurang 28 peratus yang benar-benar mematuhinya.
Dari bilik berita harian...19 Feb 2009
Jumlah RM diperlukan sekiranya kita diberhentikan kerja?
Wednesday, February 18, 2009
Rakyat Malaysia malas menabung
Posted by
Unknown
at
8:22 PM
0
comments
Friday, January 23, 2009
RM8 Sehari?
Terlebih dahulu renung 2 persoalan dibawah ini:
Persoalan Pertama: Adakah anda sukar menyimpan RM240 sebulan? Adakah RM240 sebulan itu satu jumlah yang sangat besar untuk anda menyimpan?
Persoalan Kedua: Adakah bayaran bulanan kereta RM480 – RM600 sebulan adalah jumlah yang kecil dan tiada masalah untuk diperuntukkan daripada gaji atau memang biasa saja?
Jika jawapan anda “YA” untuk kedua-dua persoalan di atas, ini bermakna anda sedang membina sel-sel barah dalam kewangan anda sendiri. Anda harus keluar dari situasi ini dengan segera sebelum keadaan yang lebih parah berlaku.
Anda perlu berubah dan mulakan menyimpan pada hari ini.
Apa kata, mulai hari ini anda peruntukkan RM8 sehari dan memasukkannya ke dalam Tabung Buluh (cara lama) secara konsisten. Ini bermakna, setelah cukup 30 hari (1 bulan), anda sudah mempunyai simpanan sebanyak RM240.00 bersih.
Jika anda menyimpan RM240 sebulan di dalam tabung buluh tersebut selama 5 tahun, anda akan dapat mengumpul sebanyak RM14,400.00 bersih.
Sementara itu, jika anda menyimpan RM240 sebulan dalam akaun simpanan biasa, selama 5 tahun, anda mungkin dapat mengumpul sekitar RM 15,250.00. Itu pun kalau bank baik hati untuk beri anda pulangan sekitar 2.0% setahun.
Adakah cukup 2.0% setahun sebagai pulangan simpanan anda untuk jangka masa 5 tahun akan datang?
Untuk makluman anda, kalau 6 tahun dulu, susu Krimer manis 505g hanya berharga RM1.55 setin. Tetapi hari ini harganya sudah menjadi RM2.55 setin. Ini bermakna dalam masa 5 tahun sudah ada kenaikkan harga melebihi 60%. Itu baru satu barang. Bagaimana pula dengan barang-barang yang lain? Mungkin, 3 tahun lalu, anda makan tengahari hanya RM4.00, tapi kini sudah menjadi RM5.00. Itu sahaja sudah ada kenaikan sebanyak 25%!!!
Merujuk kepada kesan kenaikan harga di atas, ini bermakna, sesiapa yang menyimpan duit dalam “tabung buluh” dan di dalam akaun simpanan biasa, mereka ini tidak lagi mampu untuk menampung hidup pada masa akan datang dengan adanya kesan inflasi seperti ini. Kesan inflasi ini merupakan musuh utama dalam kewangan anda. Jika kesan inflasi ini berterusan, menyimpan duit di dalam “Fix Deposit” bank pun sudah cukup susah untuk anda menampung hidup di masa hadapan.
Walau bagaimanapun, selepas 30 hari, pindahkan sejumlah RM240 dari “tabung buluh” tadi ke dalam simpanan ASB untuk tujuan simpanan tetap. Tahukah anda bahawa ASB merupakan satu produk kewangan yang mesti anda gunakan sebagai asas kewangan anda untuk masa depan?
Mengikut kiraan, sekiranya anda menyimpan RM240 sebulan di dalam ASB, dengan menganggarkan purata pulangan ASB adalah 8% setahun, ini bermakna anda akan mempunyai simpanan sebanyak RM18,247.40 setelah 5 tahun. Bukan lagi RM15,552.00.
Kenapa ini berlaku?
Ini berlaku disebabkan simpanan ASB dikira mengikut kaedah pengiraan “Compounded dividen” dan bukannya pengiraan “Simple dividen”.
Maka dengan cara pengiraan ini, anda hanya perlu menyimpan konsisten selama 5 tahun sebanyak RM14,400.00 dan anda akan mendapat duit tambahan sebanyak RM3,847.40 selepas 5 tahun.
Dan kalau anda menyimpan hanya RM240, di ASB selama 10 tahun. Anda akan mendapat RM45,059.00. Bukan lagi, RM31,104.00
Menarik bukan?
Itu baru hanya RM8 sehari…belum lagi RM10 atau RM15 atau RM20 sehari!!!!
Maka, dengan ini buatlah simpanan untuk diri anda demi masa depan yang sempurna.
Jadikan ASB sebagai asas simpanan wang anda.
Note: Saya tidak dibayar oleh PNB untuk buat artikel ini. Tapi sekadar berkongsi maklumat kepada mereka-mereka yang masih belum mengetahuinya.
Bayar Untuk Diri Sendiri
Posted by
Unknown
at
9:55 PM
0
comments
Labels: Dd Aini
Friday, January 16, 2009
ASB Merupakan Salah Satu Pendapatan Pasif
Mengimbas kembali detik manis 2 Jan 2009, ramai di antara “orang kita” tersenyum lebar setelah keluar dari kaunter bank yang dibawanya bersama adalah buku Pelaburan “TING”. Apa tidaknya, setelah PNB mengumumkan di mana deviden ASB pada tahun ini mensasarkan sebanyak 8.75% kepada para pelabur. Dengan itu, ramailah “orang kita” melawat ke bank-bank untuk meng-“update” buku “TING” mereka. Ada juga dikalangan mereka yang mengeluarkan sejumlah wang untuk kegunaan perbelanjaan mereka yang mana ia sebagai sumber tambahan untuk membayar keperluan persekolahan anak-anak, membayar cukai jalan/insuran kenderaan dan sebagainya. Ternyata wajah-wajah sinar kegembiraan lahir pada mereka-mereka ini.
Tetapi ada juga cerita sebaliknya, dalam kita dok kecoh-kecoh tentang ASB, ada juga di kalangan “orang kita” tiada mempunyai simpanan/pelaburan langsung dalam ASB walaupun kos membuka hanya RM10.00 sahaja. Kenapa boleh jadi begitu? Tepuk dada Tanya selera, Tepuk dahi Tanya hati…
Andai kata, seseorang itu mempunyai simpanan ASB sejumlah RM10,000.00, yang mana simpanan tersebut sudah berusia selama setahun, dengan dividen 8.75% ini, seseorang itu akan memperolehi wang RM875.00 sebagai bonus tahunan. Bayangkan sekiranya kita mempunyai simpanan ASB sejumlah RM100,000.00, sudah tentu kita akan memperolehi wang percuma sejumlah RM8,750.00. Dengan jumlah wang sedemikian, memang cukup menampung perbelanjaan pembukaan persekolahan anak-anak untuk 10 orang yang bersekolah menengah.
Itu baru simpanan RM100,000.00 dalam ASB. Apa pula jadinya sekiranya seseorang itu mempunyai simpanan maksimum dalam ASB iaitu berjumlah RM200,000.00, maka mereka akan memperolehi wang percuma sejumlah RM17,500.00…(Wow!!!! banyak tu…), itu baru 1 akaun. Jika 2 akaun suami-isteri, di mana kedua-duanya sudah mencecah simpanan maksimum berjumlah RM200,000.00, sudah tentu wang percuma itu berjumlah RM35,000.00 (Wow!!! Wow!!!! Wow!!!! Lumayan sekali)
Inilah hakikat sebenar yang mana kita harus sedar, simpanan/pelabuaran ASB ini adalah salah satu “passive income” untuk diri kita pada suatu hari nanti. Erti kata lain, wang yang kita simpan itu bekerja untuk diri kita pula di masa hari persaraan kelak. Dengan jumlah wang sebanyak RM35,000.00 itu, maka sebuah keluarga yang sudah bersara akan memperolehi sebanyak RM2,900.00 sebulan sebagai sumbar pendapatan. Tidak cukup kah????
Oleh itu, simpanlah wang anda untuk hari persaraan anda. Maka, mulai hari ini buat satu matlmamat kewangan jangka masa panjang untuk wang anda.
Dengan itu, bekerja kuat hari ini dengan tujuan untuk memperkuatkan asas simpanan anda demi hari tua anda.
Kewangan Dan Cara Mengawal Perbelanjaan
Posted by
Unknown
at
4:24 PM
0
comments
Thursday, January 1, 2009
Pengurusan Kewangan Yang Sempurna dapat Elakkan Tekanan
ALAM persekolahan akan bermula dalam masa beberapa hari lagi. Pastinya, ibu bapa merupakan golongan yang paling sibuk meluangkan masa dan wang ringgit untuk membeli keperluan persekolahan anak-anak mereka.
Bagi mereka yang sudah mendapat bonus hujung tahun daripada majikan, sudah pastinya berasa lega kerana tidak perlu memeningkan kepala untuk mencari wang lebih untuk menyediakan persediaan keperluan persekolahan anak-anak mereka dari segi pakaian sekolah, buku-buku pelajaran mahupun yuran persekolahan.
Namun, bagi para ibu bapa yang hanya memperolehi pendapatan yang “ngam-ngam” (bahasa orang cina) setiap bulan, sudah tentu mula terasa risau dan pening kepala.
Pada hakikat sebenar, masalah pening kepala semasa awal pembukaan persekolahan ini tidak timbul sekiranya para ibu bapa, membuat perancangan awal terhadap keperluan persekolahan anak-anak mereka. Ironinya, mungkin ramai daripada kita tidak sedar bahawa walau sekecil mana pendapatan yang kita diperolehi, namun masih mampu membiayai persekolahan anak-anak dengan membuat perancangan kewangan dengan baik dan sempurna. Sudah pastinya masalah pening kepala ini dapat dihindarkan.
Belum terlambat rasanya untuk memberi panduan serta ingatan kepada pasangan ibu bapa untuk merancang kewangan mereka dengan bijak.
Berikut adalah beberapa petua atau panduan tentang bagaimana merancang kewangan agar tidak mengalami situasi tekanan, terutama ketika hendak menyediakan keperluan anak-anak menjelang tahun baru persekolahan.
Perkara utama dalam pengurusan kewangan ialah mesti tetapkan matlamat. Matlamat pula terbahagi kepada tiga bahagian.
1. Jangka Pendek iaitu selama dua tahun dari sekarang.
2. Jangka Sederhana iaitu untuk tempoh dua hingga lima tahun dari sekarang dan
3. Jangka Panjang untuk lima tahun ke atas.
Mulakan membuat matlamat kewangan di atas dengan jangka pendek, diikuti jangka sederhana kemudian jangka panjang.
Catatkan semua keperluan perbelanjaan tahunan di atas
Dari catatan tersebut, maka kita dapat ilustrasi perbelanjaan bulanan kita dalam setahun. Dengan panduan tersebut, mulakan proses menabung/menyimpan untuk memenuhi perbelanjaan/keperluan yang besar seperti membayar cukai jalan & insuran kereta dan lain-lain. Tidak terkecuali, ini termasuklah simpanan persediaan keperluan persekolahan anak-anak.
Oleh yang demikian, jika dari awal kita sudah dapat melihat carta aliran tunai kewangan dalam tempoh setahun, maka, kita tidak akan mengalami masalah jika kita memerlukan sejumlah wang yang besar nilainya untuk memenuhi keperluan tersebut, terutama perbelanjaan anak-anak sekolah.
Ramai di antara kita yang terjerat apabila terpaksa berbelanja besar seperti menyediakan keperluan sekolah anak & memperbaharui cukai jalan kereta/kenderaan. Ini berlaku kerana mereka tidak mempunyai perancangan dan matlamat kewangan yang sempurna.
Selepas menentukan matlamat, pasangan suami isteri perlu membuat analisis aliran tunai mereka. Caranya dengan membuat catatan wang masuk dan catatan wang keluar. Dari carta aliran tunai kewangan keluar dan masuk tadi, dengan mudah kita boleh lihat sama ada wang masuk lebih banyak dari keluar atau sebaliknya. Jika wang masuk lebih banyak daripada wang yang keluar, maka ini menunjukan aliran tunai tersebut adalah positif (+ve). Sebaliknya, jika wang keluar lebih banyak daripada wang masuk, maka ini menunjukan aliran kewangan kita adalah negatif (-ve).
Jika aliran negatif, maka kita perlu berjimat cermat dalam berbelanja, bebelanja apa yang perlu dan jangan mengikut nafsu dan naluri hati. Tangguhkan, perbelanjaan yang tidak perlu. Membuat perancangan sebelum membeli-belah, senaraikan barangan yang perlu dibeli. Ini termasuklah perbelanjaan untuk anak-anak. Pastikan juga, anak-anak membuat senarai perbelanjaan mereka. Dengan cara ini, secara tidak langsung dapat mendidik anak-anak kita dalam merancang kewangan mereka sendiri.
Bagi pasangan suami isteri yang bekerja, mereka perlulah membuat belanjawan bersama-sama dan mengabungkan pendapatan mereka serta perbelanjaan keluarga. Ini bertujuan untuk mengelakkan perkara-perkara yang tidak diingini berlaku di mana pasangan yang masih hidup terpaksa menanggung segala hutang-hutang yang ditinggalkan tanpa disedarinya jika berlaku kematian ke atas salah seorang pasangan.
Selain itu, sebagai ibu bapa yang bekerja, kita perlulah menambah ilmu tentang panduan menguruskan kewangan dari masa ke semasa. Buat temu-janji bersama perunding kewangan untuk memperbaiki struktur kewangan yang kurang memuaskan. Tidak lupa juga, luangkan masa, tenaga untuk datang menghadiri taklimat pengurusan kewangan untuk memantapkan lagi ilmu pengurusan kewangan.
Persepsi yang menganggap perancangan kewangan hanya untuk golongan kaya sahaja harus diubah, paradigma lama ini perlu diubah, di mana perancangan kewangan ini sebenarnya adalah untuk semua golongan supaya mereka tidak terjerat dengan corak perbelanjaan yang akhirnya mengundang masalah kepada diri mereka dan keluarga.
Akhir kata, Selamat Tahun Baru 2009.
Aset atau liabiliti?
Posted by
Unknown
at
11:27 AM
0
comments
Labels: Dd Aini
Monday, December 15, 2008
Kewangan Dan Cara Mengawal Perbelanjaan
Tips kewangan dan Tips Berbelanja.
Mari ubah minda anda dengan konsep lama menggunakan buku 555 sebagai salah satu cara mengawal perbelanjaan harian anda. Biasanya buku 555 digunakan untuk mencatat segala hutang/hutang berbayar (cara orang lama la), tetapi hari ini kita ubah sikit paradigma dengan menggunakan buku 555 sebagai ‘tool’ perbelanjaan harian kita. Catit segala perbelanjaan harian kita di dalam buku 555 tersebut dengan penuh displin dan konsisten. Bermakna, setiap sen yang keluar dari poket perlu dicatat. Dengan cara ini kita dapat mengawal aliran keluar kewangan dan perbelanjaan kita secara berkesan dan terperinci. Cara ini juga, kita dapat mengesan segala kebocoran kewangan kita seharian. Bahkan kita juga dapat mengelakan dari kesilapan dalam membuat perbelanjaan. Oleh itu, anda akan sentiasa tahu status kewangan anda.
Rancang dengan teliti.
Jika anda ingin membeli sesuatu barangan contohnya TV LCD 42” berharga RM4,500.00. Apa yang patut anda buat ialah menyimpan setiap bulan RM450.00 hingga cukup jumlahnya RM4,500.00 baru anda beli. Tidaklah lama sangat, cuma 10 bulan sahaja. Tetapi jika anda berhutang anda terpaksa membayar ansuran setiap bulan dicampurkan pula dengan jumlah interest, di sini anda akan rugi banyak wang. Di samping itu, ia akan menambah urusan atau menyibukkan diri anda setiap bulan untuk pergi ke bank atau “kot maut” (pinjaman tanpa cengkeram).
Tips penggunaan kredit kad
Sebenarnya anda hanya perlu ada satu Kad kredit sahaja sebagai kemudahan “tool” dalam kewangan kita. Jika anda mempunyai dua atau tiga Kredit Kad, sebenarnya anda telah buat silap untuk menjerat diri anda sendiri. Oleh itu tutup dua Kad kredit yang selebihnya itu, sebelum masalah hutang anda menjadi beban kepada diri anda. Kesilapan menggunakan kad kredit boleh menyebabkan anda menjadi bankrup, ini disebabkan kadar faedah bagi hutang tersebut sentiasa naik. Dan jika anda bayar sedikit (lebih dikenali sebagai minimum payment) sahaja, kemungkinan besar anda hanya membayar jumlah kadar faedah-nya sahaja, tidak termasuk hutang sebenar (hutang pokok).
Cara yang selamat menggunakan kad kredit ialah dengan menggunakan satu kad kredit sahaja, bila anda berhutang dengan mengunakan kad kredit, anda perlu cepat-cepat bayar penuh semula jumlah hutang tersebut. Adalah lebih baik bayaran penuh dilakukan semula dalam masa 20 hari (anda perlu mahir dalam tarikh seperti “Statement Date”, “Due Date” Dan “Cooling Period”) untuk mengelakkan anda dikenakan interest ke atas jumlah hutang yang dilakukan. Jika nilai had kredit RM5,000, pastikan jumlah ini sentiasa penuh. Kalau anda berbelanja RM4,000 sekalipun pastikan anda dapat selesaikan sebelum tempoh sebulan. Jika tidak mampu, lebih baik jangan cuba-cuba mengunakan kad kredit sebagi alat untuk anda berhutang.
Anggaplah kad kredit itu hanya sebagai kemudahan, nilai yang ada bukannya duit anda, ia hanya hutang. Jika silap langkah anda akan menanggung masalah yang berpanjangan di masa hadapan.
Elakkan dari berhutang.
Elakkan diri dari menambah hutang yang sedia ada, kerana dengan berhutang anda sebenarnya mengundang masalah kepada diri anda sendiri. Untuk makluman anda, adalah merbahaya sekiranya 40% dan lebih daripada pendapatan kita terpaksa diagihkan untuk membayar hutang.
Sebagai contoh, jika gaji anda RM3,000,00 tetapi setiap bulan dan anda terpaksa membayar hutang dimerata-rata tempat, di mana gaji bersih selepas tolak hutang hanya tinggal RM900.00 sahaja. Ini bermakna anda telah menggunakan lebih 70% duit gaji anda hanya untuk membayar hutang sahaja. Bagaimana dengan duit makan anda? Keperluan harian anda? Bagaimana pula dengan bil-bil bulanan anda? Bagaimana pula sekiranya berlaku kecemasan? Inilah sebabnya kenapa ramai individu merasa kesesakan. Alangkah bahagianya sekiranya gaji anda RM3,000.00 itu tidak diagihkan untuk membayar hutang. Maka, Tepuk dahi tanyalah hati…
Ada juga individu yang sekadar suka-suka buat personal loan. Jumlah yang dipohon adalah RM10,000.00. Kemudian bayar balik secara ansuran dicampur kadar Interest 5.85% selama 7 tahun, jumlah interestnya ialah RM4,112.00 Di sini anda telah membuang duit sebanyak RM4,112.00 begitu sahaja. Oleh itu, lebih baik anda menabung RM200.00 sebulan. Bila cukup RM5,000.00 anda boleh berbelanja RM1,000.00 pada bila-bila masa, dan bakinya masih ada RM4,000.00 lagi. Kan bagus bagitu…. Selepas berbelanja penuhkan semula tabung agar jadi RM5,000.00 kembali dan buat penambahan simpanan untuk kegunaan seterusnya.
Masa depan anda, anda yang pilih.
Maka, pilihlah jalan terbaik untuk diri anda demi masa depan yang sempurna.
Jumlah RM diperlukan sekiranya kita diberhentikan kerja?
Posted by
Unknown
at
12:00 PM
0
comments
Labels: Dd Aini
Saturday, November 22, 2008
Aset atau liabiliti?
Ramai di kalangan kita tidak dapat membezakan antara aset dan liabiliti. Kekadang ada yang terperangkap, menyangkakan sesuatu liabiliti itu adalah aset.
Aset
Makna yang mudah difahami tentang aset ialah sesuatu benda atau perkara yang kita miliki boleh menjanakan pendapatan. Erti kata lain, sesuatu perkara yang membawa masuk duit ke dalam poket kita.
Beberapa contoh aset yang boleh menjana pendapatan kepada diri kita iaitu:
1. Aset Insan
- Kemahiran
- Ilmu
- Kebolehan
2. Aset Kertas/Pelaburan
- Akaun Simpanan
- Simpanan Tetap
- Unit Amanah
- KWSP
- Stock market
- Bond
- Mutual Fund
3. Real Estate (Hartanah)
- Tanah-tanah ladang/sawah
- Rumah-rumah sewa/rumah kedai
4. Perniagaan
5. Royalti
- Patern sesuatu rekabentuk
- Lagu
- Filem
- Buku
Tetapi, perlu diingatkan ada juga Aset yang tiada mendatangkan/menjana pendapatan seperti rumah yang kita diami, kereta yang kita miliki, rumah percutian yang dibeli (unless kita buat Homestay). Malah, kita perlu mengeluarkan kewangan kita untuk penyelenggaraan, cukai dan sebagainya.
.
Liabiliti
Manakala maksud yang mudah tentang liabiliti ialah sesuatu perkara yang belaku yang boleh menyusutkan duit simpanan kita. Erti kata lain, sesuatu perkara yang mana duit keluar dari poket kita. Liabiliti boleh mengurangkan pendapatan kita dengan banyaknya. Untuk mencapai kebebasan kewangan, kita perlulah melangsaikan segala liabiliti secepat mungkin. Sekiranya kita masih mempunyai liabiliti yang banyak sebagai contoh hutang, maka kita terpaksa membayar faedah hutang tersebut. Lebih lama kita mengekalkan liabiliti, maka semakin berkuranglah simpanan kita. Ini terjadi apabila kita gagal untuk menjana pulangan yang lebih tinggi berbanding caj faedah yang perlu dibayar.
Berikut ada beberapa contoh liabiliti yang kita ada:
1. Hutang
- Hutang kad kredit
- Hutang kereta
- Hutang peribadi dan lain-lain hutang
2. Cukai
- Cukai Tanah
- Cukai Pintu
- Cukai Perniagaan
- Cukai Pendapatan
- Cukai Jalan (untuk kenderaan)
3. Penyelengaraan (maintenance)
- Penyelengaraan Kereta/Rumah
- Rumah-rumah sewa/rumah kedai
Suatu perkara yang perlu kita tahu tentang liabiliti yang mana kita menyangkakan ia sebagai aset:
ASB loan.
Melabur dalam ASB dengan menggunakan kaedah pinjaman ASB. Ini adalah kerana ada sesuatu kes di mana jumlah dividen yang diperolehi tidak boleh menampung jumlah interest yang dikenakan oleh pihak bank. Itu tidak termasuk caj lewat bayar yang kekadang boleh mencecah RM10 setiap kelewatan.
Kereta.
Walaupun ia suatu kemudahan tetapi ia adalah sesuatu liabiliti. Sebab apa? orang kita tidak akan membeli kereta dengan bayaran cash. Adalah mustahil!!! Kalau ada pun jumlahnya terlalu sedikit. Kebanyakan kita membeli kereta dengan berhutang. Hutang adalah suatu liabiliti, ditambah pula dengan kadar interest tetap tahunan. Lebih mengecewakan lagi kereta itu mempunyai susut nilai yang tinggi dan kos penyelengaran juga tinggi apabila sudah berusia.
Rumah
Jika kita mempunyai hanya 1 buah rumah yang kita duduki juga adalah suatu liabiliti. Rumah yang kita duduki tiada memberi apa-apa pendapatan kepada kita. Sama kesnya seperti kereta, orang kita tidak akan beli rumah dengan duit cash, sudah tentu berhutang. Rumah juga mempunyai kos penyelengaraan. Ditambah pula dengan cukai tanah & cukai pintu. Cuma, rumah ini lebih baik sedikit berbanding kereta kerana mempunyai nilai pasaran yang tinggi dari nilai belian kalau terletak di dalam lokasi yang betul dan panas!!!
Sekarang, bolehlah anda bandingkan aliran tunai aset dan aliran tunai liabiliti.
Maka, periksalah diri anda hari ini, adakah anda mempunyai banyak aset atau banyak kepada liabiliti?
Oleh yang demikian, merancanglah kewangan anda sekarang. Bina matlamat kewangan anda dengan betul dan tepat.
Bina aset anda supaya dapat menutup segala liabiliti.
Katakan TIDAK pada Insuran/Takaful Berbentuk Pelaburan
Posted by
Unknown
at
8:20 AM
0
comments
Labels: Dd Aini
Saturday, November 1, 2008
Langkah menyiapkan diri sebelum bersara
SAMA ada anda bercadang untuk bersara pada usia 55 atau lebih awal lagi, apa yang penting ialah melengkapkan diri anda dengan perancangan kewangan yang dapat menjamin kehidupan memuaskan serta bebas daripada bebanan hutang setelah bersara.
Bagaimana untuk menyiapkan diri untuk bersara? Tiada jawapan yang khusus untuk soalan ini kerana ia banyak bergantung kepada gaya hidup yang diinginkan, tahap kesihatan dan juga situasi unik seseorang itu selepas bersara. Berikut adalah beberapa langkah yang boleh diambil untuk menyiapkan diri anda daripada segi kewangan sebelum bersara:
Tetapkan keperluan kewangan anda
Secara amnya, keperluan perbelanjaan seorang pesara dianggarkan dalam lingkungan 75 peratus hingga 80 peratus keperluannya ketika masih bekerja. Berdasarkan keperluan ini, anda perlu membuat penyelarasan sesuai dengan mengambil kira situasi unik anda seperti kos pendidikan anak dan bayaran pinjaman perumahan untuk menganggarkan perbelanjaan bulanan yang perlu ditampung.
Jika anda berhajat untuk mengembara, bercuti, ataupun mempunyai hobi lain yang membabitkan wang, anda perlu mengambil kira kos ini ketika membuat perancangan persaraan anda.
Menilai status semasa
Anda perlu memberi perhatian kepada portfolio pelaburan yang merangkumi simpanan tambahan serta pendapatan anda. Senaraikan juga semua komitmen kewangan yang perlu dijelaskan. Sekiranya anda masih bekerja, anggarkan jumlah wang KWSP atau pencen yang bakal anda terima.
Mengira wang yang diperlukan
Setelah selesai mengumpulkan semua maklumat di atas, anda boleh mendapatkan nasihat daripada perancang kewangan ataupun mana-mana laman web yang menyiarkan artikel mengenai perancangan persaraan yang boleh anda contohi dalam usaha untuk menyiapkan diri dari segi kewangan sebelum bersara. Ini penting untuk menilai sama ada wang anda sekarang mencukupi atau tidak untuk memenuhi keperluan persaraan kelak.
Jika jawapannya tidak, sekurang-kurangnya, anda boleh mengira berapa banyak lagi wang yang diperlukan. Sebagai contoh, keperluan tahunan Ali ialah RM50,000 (kira-kira kurang RM4,000 sebulan). Dia menganggarkan bahawa wang simpanan persaraannya akan menjana pulangan sebanyak tujuh peratus setahun. Justeru, Ali memerlukan sekurang-kurangnya RM714,286 (RM50,000/0.07) dalam simpanannya untuk menampung perbelanjaan persaraannya.
Berdisiplin dalam merancang kewangan
Elakkan daripada membuat pengeluaran wang simpanan persaraan sewenang-wenangnya dan pastikan ia mencukupi untuk menampung perbelanjaan sehingga akhir hayat anda.
Setelah menetapkan jumlah wang yang diperlukan, langkah seterusnya ialah untuk memberikan komitmen penuh kepada jumlah yang hendak disimpan dan menguruskan portfolio pelaburan anda dengan cara yang sepatutnya.
Akhir kata, berbelanjalah mengikut keperluan dan cuba maksimumkan simpanan anda untuk waktu persaraan.
----------------------------------------------------------------------------------------------
Artikel ini ditulis oleh Securities Industry Development Corporation (SIDC) dan Ooi Kok Hwa, pemegang Lesen Wakil Perkhidmatan Pasaran Modal untuk menjalankan urusan nasihat pelaburan di bawah Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007.
Maklumat yang terkandung di dalam artikel ini ialah untuk tujuan pendidikan semata-mata dan mencerminkan keadaan pasaran pada sesuatu masa tertentu yang mungkin berlalu dan menyebabkan artikel ini tidak lagi relevan. Artikel ini tidak boleh dianggap sebagai pengganti untuk nasihat perundangan atau mana-mana nasihat profesional yang lain.
Adakah wang KWSP itu cukup?
Posted by
Unknown
at
11:50 AM
0
comments