Friday, October 29, 2010

Duit Plastikku....

"Had kredit”, Setiap kali kad ini dicaj melalui sebarang perbelanjaan (transaksi), kredit akan berkurangan. Penyata bulanan yang diterima memberi kita pilihan samada untuk membayar baki sepenuhnya atau hanya bayaran minima bulanan dimana ia merupakan satu perbuatan yang tidak digalakkan. Apabila kita membayar bayaran bulanan kepada bank yang mengeluarkan kad, had kredit maksima dikembalikan. Walaubagaimanapun, pemegang-pemegang kad kredit seringkali hanya membayar jumlah faedah dan bayaran minima baki pokok yang terhutang dan tidak akan membayar balik baki yang sepenuhnya.

Perangkap Belanja

Bagaimana agaknya seseorang itu boleh “terperangkap”? Bagi golongan muda, penyakit berhutang ini mungkin bermula dengan cara yang tidak diduga. Di kolej pengajian tinggi, sebahagian besar dari mereka diberi duit plastik tersendiri oleh ibubapa sebagai pemegang kad tambahan. Mereka menggunakannya untuk membeli pelbagai barangan seperti kasut, pakaian jenama, i-Pod, beg dan barang fesyen yang paling terkini serta menghadiri pesta hiburan atau aktiviti sosial yang penting. Anak-anak pula berpendapat yang mereka menyusahkan ibu bapa setiap kali meminta duit tambahan. Oleh yang demikian, cara yang termudah dan terpantas adalah melalui penggunaan duit plastik.

Ramai pelajar menceburi dalam dunia berhutang ini tanpa perasaan ragu-ragu bahawa mereka akan bergaji tinggi tidak lama kelak dan semestinya hutang itu luput dalam jangkamasa yang singkat selepas graduan. Malangnya, ramai graduan menyedari bahawa realiti masa hadapan mereka jauh berbeza dari apa yang telah dijangkakan. Sekarang mereka sudah selesa dengan bilangan baki bulanan tersebut dan sedar bahawa mereka telah terperangkap dengan hutang yang terus meninggi dan tidak dapat ditandingi melalui kenaikan pendapatan mereka yang ala kadar.

Bukan golongan muda sahaja yang dapati diri mereka terperangkap di dalam situasi sebegini. Malah, golongan dewasa yang berfikiran cukup matang juga tergoda dengan kemudahan kredit ini. Pengiklanan memaparkan barang-barang baru dan canggih dan ia amat sukar untuk menolak kemewahan hidup yang ditawarkan. Dalam situasi lain pula, orang yang tiada pekerjaan juga boleh terbabas dalam hutang duit plastik akibat simpanan wang yang tidak cukup. Maka, duit plastik dijadikan kemudahan untuk menyara keperluan seharian. Namun, apabila mereka mula bekerja semula, mereka menyedari bahawa penggunaan mereka sudah mencapai had maksima. Yakni, pembayaran balik pun menjadi satu bebanan yang besar.

Kemerosotan ekonomi membuatkan ramai orang terdesak dan terjatuh dalam malapetaka kewangan. Hanya mereka yang telah membuat persediaan untuk menghadapi situasi yang kurang baik sebegini akan dapat bertahan di dalam suasana yang sukar. Apakah harus dibuat untuk mengelakkan diri kita daripada menjadi sebahagian dari angka statistik yang menyedihkan?

Cara Pembayaran Balik Hutang Kad Kredit


Pertama: Sekiranya anda hanya membayar jumlah faedah kad kredit setiap bulan dan ingin memberhentikan hutang sebegini, langkah pertama adalah untuk menganalisa pendapatan dan perbelanjaan bulanan masing-masing. Jumlahkan perbelanjaan dan tolakkannya dari pendapatan. Inilah baki pendapatan yang boleh anda gunakan setiap bulan.

Kedua: Hentikan transaksi melalui caj kredit. Bekukan penggunaan duit plastik masing-masing. Pembayaran dilakukan bagi barang-barang yang perlu dibeli secara tunai. Kemudian senaraikan hutang kredit yang masih ada. Kenalpasti kad yang mengenakan caj bayaran yang paling tinggi dan pindahkan baki dari kad berfaedah tinggi ke kad yang menawarkan kos yang lebih rendah.

Ketiga: Seterusnya, susunkan kad-kad mengikut kadar caj kewangan, gunakan baki pendapatan untuk membayar balik kad yang paling mahal (kos tertinggi). Setelah hutang kad termahal selesai, tutupkan akaun tersebut dan musnahkan kad berkenaan. Kemudian, fokus pada kad yang seterusnya dan ulangi langkah-langkah di atas sehingga kesemua hutang anda sudah habis dibayar. Sebaik sahaja hutang kad kredit telah luput, hanya gunakan satu atau dua duit plastic agar penggunaan boleh dikawal.



Cara Penggunaan Kad Kredit Yang Baik

Setelah menyelesaikan semua hutang kad kredit, pertimbangkan cara penggunaan kad-kad tersebut dengan betul. Duit plastik kini sebenarnya adalah alat pengurusan wang yang sungguh berkesan jika digunakan dengan waras. Kita harus pandang kepada konsumer-konsumer yang berjaya menguruskan kewangan mereka dengan kad ini.

Pendekatan terpenting dalam penggunaan kad kredit adalah tanggungjawab untuk membayar jumlah baki dalam penyata setiap bulan. Bayangkan kredit kad itu sebagai wang tunai yang disimpan setiap bulan bagi barang-barang yang dicaj. Dengan perumpamaan ini, seseorang tidak akan dikenakan kos dan kad kredit akan menjadi kemudahan kewangan yang amat berguna bagi individu.

Kad kredit juga merupakan satu-satunya sekuriti atau perlindungan tambahan dan kemudahan sewaktu membeli-belah dan berjalan dengan syarat tidak menyalahgunakannya. Sebagai contoh, praktikkan bayaran hanya 5% atau RM50 minima setiap bulan yang mana lebih tinggi. Bagi baki RM10,000 yang mengenakan caj kewangan sebanyak 18% setahun, seseorang akan mengambil masa 7 tahun dan 3 bulan untuk menyelesaikan seluruh baki hutangnya.

Hah!!!! macam mana adakah masih memerlukan kad kredit? tepuk dahi tanya hati.....

.

.

.

Gandakan Wang Anda

Friday, May 7, 2010

GST 1 Malaysia

Lama juga BUW tidak memaparkan artikel baru untuk semua. Hari ini BUW ingin berkongsi maklumat tentang GST.



Apakah GST? GST ialah Government Service Tax yang dikenakan ke atas pemegang-pemegang kad kredit, “Charge Card”, dan lain-lain kad yang seangkatan dengannya sebanyak RM50 (ellleeehhh!!!! sikit jer tu…. itu pon nak berkira ker?) ke atas setiap kad yang dimilikinya.

.

Pemegang-pemegang kad kredit wajib membayar tax tersebut di mana tax yang dikenakan ini tidak boleh dielak oleh penggunanya.


Sekiranya, anda mempunyai 2 kad kredit, Visa & Mastercard untuk satu bank yang sama di mana kredit limitnya bergabung, jadi anda perlu membayar GST untuk 2 kad tersebut iaitu sebanyak RM100. Bayangkan sekiranya anda memiliki 5 kad kredit, jadi, RM250 perlu dibayar, kalau 10 kad, 15 kad? (Banyak-nya kad!!! gila kad ke apa…?).

.
Tahukah anda, bahawa bank akan kreditkan bayaran sebanyak RM50 sebaik sahaja permohonan kad kredit atau charge card anda itu diluluskan oleh setiap bank mengikut tarikh "Statement date"? Manakala, anda perlu jelaskan sebelum "Due Date". Jika tidak berlaku, interest akan dikenakan ke atas RM50 itu. (compounded interest akan berlaku ke atas principle setiap bulan) Jadi, siapa bijak di sini?


Itu tidak termasuk lagi dengan Annual Service Charge sebanyak RM70 untuk setiap kad kredit.

.

Persoalan, perlukah anda memiliki Kad Kredit atau Charge Card untuk diri anda? Tepuk dahi Tanya hati…..

.

.

Ingat!!! Kredit Card atau Charge Card bukan alat untuk anda berhutang. Tetapi, ia adalah satu alat kewangan untuk mengawal Cash flow anda.

.

Sekiranya anda tidak tahu menggunakannya, jangan nak mencuba-cuba menggunakanya….. (tidak salah lagi jika ramai orang mengatakan bahawa Kad Kredit adalah along terhormat)




Rakyat Malaysia malas menabung

Friday, April 9, 2010

Gandakan Wang Anda

Tetapi yang mana perlu diutamakan, Simpan atau labur?

Simpanan adalah satu perkara utama yang harus diletakkan sebagai perkara pertama sebelum kita membuat apa-apa perancangan kewangan. Ini kerana simpanan tersebut adalah satu sumber modal tunai yang kita ada tanpa perlu menambah beban hutang untuk memulakan pelaburan di tempat lain. Berikut adalah peluang pelaburan yang ada setelah anda menyimpan.

.

1. Akaun Simpanan (Savings Account)

Ini bukan tempat pelaburan. Tapi anda perlu ada sejumlah wang tunai yang mencukupi di dalamnya untuk kegunaan harian anda.
.

2. Fixed Deposit

Perbankan Islam melabelkannya sebagai pelaburan mudharabah. Pulangannya sekitar 2-4% mengikut tarikh matang. Anda simpan RM 10,000 di dalamnya dengan pulangan sekitar 2-4% dan bank pula memberikan pinjaman kepada anda dengan kadar 8% setahun (faedah / keuntungan). Jadinya kes di sini, siapa lebih bijak? Anda atau bank? Tepuk dahi Tanya hati….
.
3. Amanah Saham (Unit Amanah/Unit Trust)
Anda menyimpan sebanyak RM 10,000 di dalamnya, dan belum sempat duit anda dilaburkan sesuatu Fund, duit anda akan susut nilai (erti kata lain, lebur dulu sebelum labor) dengan sendirinya kira-kira 5-8% akibat upfront fee. Bukan setakat itu sahaja, malah setiap tahun nilai bersih anda akan susut lagi di antara 0.5-2% untuk management fee. Dan anda pula, mengharap pulangan 8-12% setahun, kalau ada untung. Persoalannya di sini, boleh ke “Trust” of Unit Trust”? Jawapannya ada dalam diri anda sendiri. Pantaulah pelaburan anda itu….ingat!!!. tiada perlaburan yang sempurna di dalam dunia ini.
.
4. Tabung Haji
Anda menyimpan RM 10,000 di dalamnya untuk menunaikan haji! Anggaplah 4-5% pulangan di dalamnya sebagai booster dari Allah swt agar kita segera menjadi tetamu di Baitullah. Sebaik-baiknya, anda tidak perlulah keluarkan duit dalam Tabung Haji ini selagi anda belum menunaikan haji. Jadi, tidaklah kita asyik menyatakan kenyataan yang anda masih belum datang seru.
.
5. KWSP
Kalau anda bekerja di Malaysia dan tidak ada akaun KWSP, cepat-cepat berhenti dan cari syarikat lain. Buat pengetahuan anda, KWSP memberikan anda pulangan sekitar 4-5% sahaja. Walaupun dengan kadar demikian, sebenarnya bukan mudah untuk menguruskan dana yang berjumlah berbilion di dalamnya. Ini dianggap sebagai duit hari tua anda dan anda boleh gunakan akaun 2 untuk pembelian rumah.
.
6. Amanah Saham Bumiputera
Untuk Bumiputera sahaja. Sudah sedia maklum ASB tidak ada upfront fee. ASB juga tidak ada management fee. Duit anda tidak susut nilai walaupun 0.001% pun sebelum ia dilaburkan. ASB juga memberi pulangan yang konsisten 8-10% dalam bonus dan dividen. RM 10,000 yang anda simpan, setiap akhir tahun akan dapat RM 800. Tidak mahu menyimpan di dalamnya sebab ada pendapat yang menyatakan ASB haram? Itu pilihan anda.
.
7. Exchange Traded Fund
Amanah saham yang didagangkan di dalam bursa. Tetapi malangnya ia belum ada lagi di Bursa Malaysia. Upfront fee & Management fee yang minima. Boleh tanya Singapore Exchange kalau berminat lebih lanjut.
.
8. Saham Bank Rakyat
Pulangan 15% setahun yang konsisten kebelakangan ini. RM 10,000 yang anda simpan, anda dapat RM 1,500 pada hujung tahun dan sudah dizakatkan. Setakat penulisan ini ditulis, anda masih perlu queue untuk menyertainya. Erti kata lain, kalau ada duit pun memang sukar untuk mendapatkannya.
.
9. Koperasi Pemodalan Felda (KPF)
Sejarah pencapaian sejak tahun 2000, pulangan pelaburan berada dalam lingkungan 12% - 16% setahun. Jika ambil kadar pulangan yang minimum 12% setahun ke atas pelaburan anda sebanyak RM 10,000, maka anda akan dapat RM 1,200 pada hujung tahun. Tetapi, malangnya, KPF ini hanya boleh dibeli oleh warga atau mereka-mereka yang ada bersangkut-paut dengan Felda sahaja.
.
10. Saham
Kes ini anda perlu ada ilmu tertentu untuk melabur?.... kalau tidak “lebur”, Jadi, pilihlah sama ada mahu jadi fundamental investor atau technical investor. Kalau malas mahu belajar dan merasakan rugi untuk melabur dalam ilmu saham, jalan mudah pergi cari amanah saham sahaja. Jangan menggatal nak beli saham IPO atau 2nd Board, MESDAQ atau1st board, kalau anda masih celik tetapi buta ilmu saham di mana anda belum tahu baca financial statement atau mengenali bar chart, candlestick, P&F Chart dan sebagainya.

.
11. Warrant & Options

Ini macam adik-beradik, nama sahaja yang lain. Warrant adalah saham yang wujud dari syarikat awam berhad. Manakala Options pula, adalah saham yang wujud dari stock exchange. Keadaannya, lebih volatile berbanding saham. Hak untuk membeli saham Stock options belum ada di Malaysia. Hanya warrant sahaja yang boleh dijual beli setakat ini.
.
12. Futures & Commodity
Pasaran hadapan. Indeks saham ada. Kelapa sawit mentah pun ada. Itu sahaja yang ada di Malaysia. Kalau berminat dengan indeks saham luar negara, emas, perak, minyak mentah, kacang soya, besi, kopi, kapas dan sebagainya sila rujuk ke pasaran luar negara.
.
13. Forex
Perdagangan matawang asing. Hati-hati, terlalu banyak scam forex masa ini. Pilih broker yang betul. Kalau tiada ilmu pelaburan tertentu, jangan memandai-mandai nak mencuba, jadi lupakanlah dahulu,dan pergi melabur dalam bidang ilmunya dahulu.... kalau tidak, yang dikejar tak dapat, yang dikendong keciciran.
.
14. Bon
Kalau baru ada duit berjumlah RM 999,999 lupakanlah sahaja nak melabur dalam pasaran bon. Di Malaysia, hanya pelabur institusi yang menguasainya dan individu tertentu yang ada net worth yang sangat tinggi.

.
15. Hartanah

Semua orang mahukan rumah. Tetapi bukan semua rumah orang mahu dudukinya. Jadi, 3 perkara penting perlu diutamakan dalam pelaburan hartanah ini, iaitu… Lokasi…. Lokasi…. Lokasi. Lokasi amat penting dalam pelaburan hartanah. Selain rumah, mungkin kedai dan pejabat juga boleh anda inta-intai. Melaburlah dalam hartanah untuk mendapatkan cashflow terlebih dahulu. Kemudian, barulah memikiran tentang capital gain.
.
16. Real Estate Investment Trust (REIT)
Ini lebih kurang sama macam beli amanah saham juga. Tetapi, bezanya di sini syarikat REIT ini terlibat dalam sektor hartanah. Ia bukan pool of money untuk beli saham, tetapi lebih focus kepada hartanah. Ia dijual beli melalui Bursa Malaysia.
.
Cadangan dari BUW...
.
Melainkan pilihan yang pertama, anda seharusnya belajar dulu tentang ilmu pelaburan tertentu. Kalau tidak anda akan disembelih oleh mereka yang mahukan wang anda. INVEST IN YOURSELF FIRST!!!
.
Impian di hati mahu jadi jutawan, tetapi kalau RM 10 pun anda tidak sanggup nak dilaburkan untuk pendidikan ilmu kewangan, anda sebenarnya berangan-angan Mat Jenin sahajalah. Angan-angan kosong….Itu mentaliti mahu kaya cepat yang mesti dikikis segera. (Ingat!!! Easy Come Easy Go)
.
Ini adalah sebahagian besar peluang pelaburan yang saya tahu, dan pastikan anda melabur di dalam pelaburan yang sah dan jangan sesekali terlibat dalam skim cepat kaya yang kini semakin canggih dan berleluasa di internet.
.
.
.
.
.
.

Apa itu Overdraft (OD)

Saturday, December 26, 2009

Ukur Baju di badan sendiri.

Salam Sejahtera….

Sebelum ini BUW ada mengketengahkan kisah seseorang tentang pembelian kereta tanpa merancang. Kali ini BUW akan berkongsi informasi tentang merancang dalam membeli kenderaan.

Mula dengan satu persoalan, mengapa anda perlu beli kereta?

Adakah ia sebagai satu kemahuan, keperluan atau kemampuan?

Daripada persoalan di atas maka timbul lagi persoalan, kriteria yang macam mana kenderaan yang harus dibeli?

Adakah kereta tersebut perlu berjenama?
Adakah kereta tersebut berkeadaan mewah?
Kereta tempatan ataupun import?
Pentingkah kereta tersebut berkuasa tinggi atau sekadar memenuhi ruang untuk keluarga?
Beli baru atau sekadar yang terpakai?


Hah!!!! Tepuk dahi Tanya hati….

Cuba renungkan cadangan di bawah ini…

Sekiranya kereta tersebut merupakan factor keperluan, ia perlu merangkumi faktor-faktor berikut:

1. Sebagai kegunaan di mana kereta tersebut:
- digunakan sebagai pengangkutan harian ketempat kerja.
- digunakan untuk berniaga
- untuk balik kampong
- untuk pergi bercuti
- aktiviti social seperti ziarah

2. Bilangan ahli keluarga:
- Suami dan isteri
- Anak-anak
- Orang tua kita jika ada

3. Ketiadaan kemudahan pengangkutan awam yang sempurna di kawasan kita:
- Di mana kenderaan ini perlu digunakan sekiranya berlaku kecemasan.


Sekiranya kereta tersebut merupakan factor kemampuan, pastikan:

Pendapatan bulanan mempunyai baki bersih yang memberikan margin untuk kecemasan.
Buat senarai dan kira-kira tentang perbelanjaan bulanan seperti:
- Sewa rumah
- Makan minum
- Utiliti
- Perubatan
- Pakaian
- Pendidikan
- Perlindungan takaful
- Pelaburan dan tabungan
- Zakat


Formula yang harus digunakan adalah seperti berikut:

Keperluan + Kemampuan = Kenderaan

Kenderaan yang mana meliputi:
*harganya
*keadaan baru atau terpakai,
*jenisnya samada sedan, van atau MPV
*kos penyelengaraan
*bilanagan kereta yang perlu

Nisbah Kemampuan
Ukurlah baju di badan sendiri di mana untuk membeli sesuatu perlu mengikut kemampuan kita…. Jangan sesekali guna pakai “biar papa asal bergaya” alamat merana kemudian hari.

Langkah Pertama,
Perlu kira Nisbah Hutang yang ada. Bagaimana?

Iaitu,

Nisbah Hutang = (Jumlah hutang / Gaji atau pendapatan ) x 100%

Sebagai Contoh ikuti kes berikut.
Jumlah kesemua hutang sebanyak RM2500, manakala pendapatan adalah sebanyak RM5000.

Jadi, Nisbah Hutang:
= (2500/5000) x 100%
= 50%

Rumusan di sini, sebanyak 50% daripada hasil gaji dan pendapatan digunakan untuk membayar hutang sahaja. Tidak termasuk makan minum, pakaian, kecemasan dan lain-lain lagi.

….. Aaaha! Jangan hanya sekadar pertimbangkan kadar bayaran ansuran bulanan sahaja…

Pertimbangan lain yang perlu diambil kira sebelum membeli kereta, juga termasuk:
>> Kos pembaikan dan penyelenggaraan
>> Kadar ketetapan cukai jalan
>> Kos insuran yang perlu dijelaskan


Tempoh Pinjaman
>> Tempoh yang panjang dapat mengurangkan jumlah bayaran bulanan kepada yang lebih kecil.
>> Cuba elakkan tempoh bayaran yang terlalu lama. Tempoh yang optimum adalah 5 tahun.
>> Lebih lama tempoh berhutang, maka lebih banyak kita menyumbang kekayaan kepada pihak bank kerana kiraan faedah adalah berkadar tahun.

Kenapa BUW berkata begitu, tahukah anda sekiranya jumlah pinjaman sebanyak RM30K, dengan caj 3% setahun selama 5 tahun, kita telah menyumbang RM4,500 kepada pihak bank. Jika 9 tahun, jadi nilai sumbangan kita kepada bank adalah sebanyak RM8,100. Itu baru pinjaman RM30K, apa kata kalau nilai kereta berjumlah RM100K ke atas?


Jadi, semak contoh Pengiraan pembelian kereta bariku:
• Harga Kereta berjumlah = RM30,000.00
• Tempoh pembiayaan = 5 tahun
• Kadar Caj/keuntungan= 3%
• Pendahuluan (10%) = RM3,000.00
• Jadi, Pembiayaan
RM30,000 – RM3,000 = RM27,000.00
• Manakala, ansuran Bulanan selama 5 thn (5 x 12)
= RM27,000.00 + (RM27,000 x 3% x 5)
= RM517.00 sebulan

Dengan kadar bayaran RM517 sebulan, apakah kereta yang sesuai yang harus dibeli untuk keperluan kita?

Fikir-fikirkanlah, jangan bertindak mengikut nafsu.



Aset atau liabiliti?

Thursday, November 5, 2009

Apa itu Overdraft (OD)

Secara amnya OD atau kemudahan Overdraft (Overdraft facility) adalah sejenis pinjaman atau pun loan, tetapi ianya berbeza dengan jenis-jenis pinjaman yang lain seperti housing loan, pinjaman kereta/kenderaan dan sebagainya. Ini kerana OD sebenarnya adalah satu kemudahan pinjaman yang di 'standby' kan oleh bank dan tidak semestinya digunakan oleh pelanggan.

Ciri-ciri OD :-
1. Mesti digunakan bersama current account atau Akaun Semasa (menggunakan kemudahan cek).

2. Selalunya memerlukan cagaran samaada dalam bentuk hartanah atau dalam simpanan tetap. Kalau nak cepat dapat boleh guna simpanan tetap atau Fixed Deposit(FD) atau Amanah Saham Bumiputera (ASB).

3. Jumlah OD yang diberi bergantung kepada nilai cagaran dan juga kekuatan kewangan pelanggan. Rekod dengan bank juga amat penting. Oleh itu, jika anda masih baru dengan bank dan kedudukan kewangan (Dari segi gaji, tanggungan atau keuntungan syarikat) masih lemah dan anda letak Fixed Deposit sebanyak RM10,000 maka anda mungkin dapat sama nilai i.e OD juga RM10,000. Ini dipanggil One To One Basis.

Kalau anda sudah lama dengan bank tersebut, manakala kedudukan kewangan baik, rekod pembayaran pinjaman sebelum itu baik maka anda akan dapat lebih dari apa yang anda cagarkan. Sebagai contoh, anda mencagarkan Fixed Deposit berjumlah RM10,000, kemungkinan besar akan dapat RM20,000 OD.

4. OD ni boleh dipohon oleh pelanggan individu ataupun syarikat.

5. Persamaan OD dengan jenis loan yang lain ialah kemudahan ini dikenakan Faedah. Faedah biasanya diletak berdasarkan BLR atau Base Lending Rate. BLR ini merupakan kos untuk bank memberi pinjaman kepada pelanggan mereka.

Oleh itu faedah keatas OD anda mungkin akan dinyatakan dalam bentuk :-
> Kadar faedah OD = BLR – 1.5%
> kalau BLR semasa ialah 5.55% maka
> Kadar faedah OD anda = 5.55% - 1.5% = 4.05%

Anda juga perlu ingat yang BLR boleh berubah dan jika BLR naik ke 7% maka
kadar faedah OD anda juga naik menjadi 5.5% (7% - 1.5%)

Sila semak juga kadar faedah OD itu dikira bagaimana, sama ada:-
1. Flat rate (Macam pinjaman kereta)
2. Monthly rate
3. Daily rate

Jenis-jenis rate diatas akan mengenakan faedah yang berbeza. Jadi, walaupun ketiga-tiga jenis kadar diatas adalah 7% setahun tapi pengiraannya berbeza. Kadar Flat rate adalah yang paling mahal.

6. OD juga boleh digabungkan dengan Pinjaman Perumahan (Housing Loan) - Sebagai contoh jika anda ambil pinjaman perumahan sebanyak RM100,000 dan anda sudah membayar sebanyak RM40,000 dan baki pinjaman sebanyak RM60,000 maka pihak bank akan memberi kemudahan OD sebanyak RM40,000. Itu juga, tertakluk kepada nilai pasaran rumah anda itu. Keadaan ini juga, bergantung kepada pihak bank kerana bukan semua bank menawarkan pinjaman sebegini.

7. Nilai pasaran cagaran anda boleh memberi kesan kepada OD anda - Jika anda gunakan asset tanah anda untuk mendapat OD sebanyak RM100,000 tetapi di masa hadapan nilai tanah anda jatuh dibawah RM100,000 maka jika anda sudah gunakan sepenuhnya nilai OD anda, maka anda perlu selesaikan perbezaannya.

Sebagai Contoh:
=> Amount OD diluluskan - RM100,000
=> Nilai pasaran cagaran - RM90,000
=> Jumlah OD yang anda sudah dan sedang anda gunakan sebanyak RM100,000
=> Jumlah hutang yang perlu anda bayar serta-merta kepada bank ialah Jumlah OD sudah digunakan ditolak jumlah cagaran iaitu RM100,000 - RM90,000.

Jika anda tidak menggunakan OD tersebut sehingga nilai maksima, kemungkinan bank akan turunkan jumlah OD yang boleh anda gunakan itu.

8. Permohonan untuk OD agak sama dengan pinjaman-pinjaman yang lain terutamanya jika anda menggunakan cagaran dalam bentuk hartanah seperti rumah dan tanah. Jika anda gunakan FD anda atau sijil ASB dan hanya mohon OD sehingga 100% nilai FD atau 95% nilai ASB anda. Tempoh permohonan adalah lebih cepat dan mungkin boleh terus diluluskan oleh Pengurus Bank cawangan anda memohon itu. Ini kerana OD anda itu mempunyai risiko yang terlalu rendah kepada bank. Bagi kemudahan OD yang digabungkan bersama pinjaman perumahan, anda mungkin tidak memerlukan permohonan baru kerana ianya diberi secara pakej dengan pinjaman perumahan anda itu.

9. Kadar feadah OD akan dikenakan kepada jumlah OD yang anda gunakan sahaja. Jika anda tidak gunakan sesuatu jumlah wang dalam OD tersebut, jadi tiada apa-apa feadah yang dikenakan.

10. Bagaimanapun kebiasaannya bank turut mengenakan Commitement Fee untuk jumlah OD yang tidak digunakan. Ini adalah kerana walaupun anda tidak menggunakannya tetapi bank telah pun 'standby' kan jumlah OD anda itu dan menunggu untuk anda gunakan.

11. Biasanya kadar faedah OD lebih rendah dari kadar faedah kalau anda gunakan kemudahan Cash Advance melalui Kad Kredit.

12. Kemudahan OD juga boleh mengelakkan dari anda mengeluarkan cek tendang sebab jika anda keluarkan cek RM10,000 tapi dalam akaun anda cuma RM8,000, baki RM2,000 yang masih tidak mencukupi itu akan secara automatik diambil dari kemudahan OD anda itu.

Peringatan!!! Kemudahan OD amat berguna jika kita tahu manfaatkanya. Tetapi jika salah guna ianya sama seperti penggunaan kad kredit di mana ianya boleh membebankan anda.

Kelebihan OD ini ialah ianya satu kemudahan standby facility dan jika tidak menggunakannya maka anda cuma perlu bayar sedikit sahaja fees untuk mengekalkan kemudahan ini. Jika anda sesak nafas dari segi kewangan dan memerlukan duit segera maka anda tidak perlu pening-pening kepala guna kad kredit atau lagi teruk pinjam dari Along……

Iklas dari BUW....


Kebebasan Kewangan dan Ilmu Pengurusan Kewangan

Sunday, September 13, 2009

Perkara Utama Perlu Fikir Apabila meminjam dengan Pihak Bank

Salam Sejahtera,

Hari Raya hampir tiba, kebanyakkan kita membuat persiapan untuk berhari raya. Semua perkara perlu baru, ada yang beli rumah baru, kereta baru, perabut baru, TV Plasma baru dan lain-lain lagi lah.....

Walau apapun kita lakukan yang berkaitan dengan pihak bank mahupun pihak kedai. Buatlah analisa dan kiraan tentang faedah yang ditawarkan. Agar kita tidak berpihak dalam golongan yang rugi kelak. Kali ini BijakUrusWang mahu berkongsi maklumat tentang faedah.

Faedah. Ianya merupakan bentuk keuntungan yang dimiliki oleh pihak bank disamping caj-caj perkhidmatan yang lain.

Sebagai pengguna, kita perlu mengetahui jenis-jenis faedah yang dikenakan bagi menguruskan kewangan kita dengan lebih berkesan.

Kebanyakkan kita cukup selesa jika dikenakan kadar “flat rate” atau kadar tetap.

“Malas nak pening kepala. Tak perlu fikir-fikir, senanglah nak “budget” tiap-tiap bulan. Janji bayar sudah ler...."

Jawapanya, bank untung besar dengan duit kita pada kadar tetap ini. Manakala, kita sebagai pembayar dipihak orang-orang yang rugi sebenarnya!!!. Kenapa boleh jadi begini?

Sebelum itu, fahami beberapa kadar faedah yang ditawarkan oleh pihak bank:

1) Flat Rate – Kadar tetap yang dikenakan dan menjadi kebiasaan untuk pembiayaan motor dan kereta.

2) Yearly Rest (Kadar Tahunan) – Pembiayaan barangan seperti perabot, barangan elektrik dan alatan rumah.

3) Monthly Rest (Kadar Bulanan) – Pembiayaan yang biasa bagi pinjaman Perumahan

4) Daily Rest (Kadar Harian) – Pinjaman overdraft. Kadar ini, lebih menjimatkan peminjam apabila diapplikasi untuk pinjaman perumahan. Dan juga kad kredit (Tapi Awas! Peratus faedah kad kredit terlalu tinggi)

Sebagai pengguna yang bijak, perkara yang perlu kita ketahui adalah kadar faedah yang terbaik untuk diri kita. Untuk pengetahuan semua, setakat ini peratusan yang berkadar harian adalah yang terbaik. Mungkin sekali pandang setiap hari akan dikenakan faedah tetapi hakikatnya nilainya lebih kecil kecuali kad kredit. Tahukah kenapa?

Cuba teliti formula dibawah dengan kes di mana peminjam dikenakan peratus 8% setahun. Hutang pokok sebanyak RM50,000. Kira jumlah faedah untuk bulan Febuari untuk kadar bulanan dan harian?

Penyelesaian:

Untuk kadar bulanan
Jumlah Faedah
. = (Kadar faedah x hutang pokok)/jumlah bulan setahun
. = (0.08 x 50,000)/12
. = RM333.33

Untuk kadar harian
Jumlah Faedah
. = (Kadar faedah x hutang pokok x Jumlah hari bulan)/jumlah hari setahun
. = (0.08 x 50,000 x 28)/365
. = RM306.85

Perbezaan nilai wang adalah sebanyak RM26.48.

"Elleh!!!! Sikit jer tu…. " Memang nampak sikit, cuba darabkan nilai bulan dalam 30 tahun (untuk rumah misalnya), RM9,532.80 dapat jimat, Siapa nak bagi? Itu baru pinjaman pokok sebanyak RM50,000. Belum cerita lagi nilai pinjaman pokok RM100,000 atau RM200,000.

Berikut adalah beberapa jenis lagi faedah yang akan dikenakan:

1) Perabot : Flat Rate di mana 10% setahun ;KADAR EFEKTIFNYA 25%

2) Kad Kredit : Daily Rest di mana 1.5% sebulan ;KADAR EFEKTIFNYA 18-23%

3) Pinjaman Peribadi : Yearly Rest di mana 7% ;KADAR EFEKTIFNYA 12.6%

4) Pinjaman Kereta : Flat Rate di mana 4.0% ;KADAR EFEKTIFNYA 10%

5) Pinjaman Perumahan : Monthly Rest di mana 8.0% ;KADAR EFEKTIFNYA 12%

6) Pinjaman Overdraft : Daily Rest di mana BLR - 1.0% ;KADAR EFEKTIFNYA 7.0%
(current BLR : 5.55%)

Dari senarai kadar faedah di atas, bolehkah anda menilai kadar efektif mana yang terendah?

Fikir-fikirkanlah… tepuk dahi tanyalah hati.

Janganlah hanya menguntungkan pihak bank dan terperangkap, di mana akhirnya anda perlu membayar lebih dari apa yang sepatutnya!

RM8 Sehari?

Wednesday, September 2, 2009

Kebebasan Kewangan dan Ilmu Pengurusan Kewangan

Salam Sejahtera,

Pada kali ini BijakUrusWang (BUW) ingin berkongsikan maklumat tentang apakah erti kebebasan kewangan yang sebenar. Di kalangan "orang kita" masih ramai lagi yang kurang pengetahuan mengenai pengurusan kewangan atau perancangan kewangan yang sempurna. Mungkin, ada di antara kita yang mengetahui cara-cara untuk menguruskan kewangan masing-masing tetapi adakah mereka mempraktikkannya?

Oleh itu, marilah kita sama-sama berkongsi ilmu mengenai pengurusan kewangan supaya kita tidak alpa dan hanyut atau terjebak dalam kemelut kewangan di era dunia cyber serba canggih kini. BUW merasakan amat penting untuk kita sentiasa mempelajari ilmu-ilmu mengenai pengurusan kewangan ini.

Apakah yang anda faham mengenai Kebebasan Kewangan?
Terdapat banyak maksud yang boleh dikaitkan dengan istilah kebebasan Kewangan (financial freedom). Adakah dengan mempunyai rumah besar, kereta mewah, gaji besar, anda sudah tergolong dalam golongan Bebas Kewangan? Mungkin ramai di kalangan anda yang berpendapat sedemikian. Persoalannya, adakah golongan tersebut benar-benar berada dalam situasi bebas kewangan?

Hakikatnya, ketahuailah bahawa mempunyai kereta mewah, rumah besar, gaji besar tidak bermakna kita berada dalam situasi Bebas Kewangan. Mungkin mereka ini mempunyai masalah besar dari segi kewangan. Masalah kewangan ini mungkin meliputi masalah untuk membayar rumah tersebut ataupun masalah untuk membayar kereta tersebut.

Tidak dinafikan bahawa orang yang bergaji rendah pun boleh tergolong dalam golongan bebas kewangan. Tidak semestinya, dengan memiliki gaji yang besar atau pendapatan yang besar dia sudah diketogerikan sebagai golongan Bebas Kewangan. Perkara utama BUW ingin utarakan adalah bagaimanakah cara kita menguruskan kewangan kita. Banyak contoh yang boleh kita perhatikan di mana pada hari ini, terdapat ramai daripada golongan yang bergaji besar atau yang mempunyai pendapatan yang besar masih mempunyai masalah kewangan. Ada juga dikalangan mereka ini sampai ke tahap yang kritikal sehingga sukar untuk diperbaiki. Walaupun mempunyai status tinggi dan berpendapatan besar, tetapi keadaan kewangan mereka masih tidak mencukupi untuk menampung kehidupan mereka sendiri/sekeluarga. Kenapa?

Jawapannya mudah, mereka ini kurang pengetahuan mengenai cara-cara yang betul untuk menguruskan kewangan mereka sendiri. Mungkin juga, mereka malas untuk mengambil tahu ilmu-ilmu kewangan sebenar. Mungkin juga, disebabkan berstatus tinggi dan ilmu bidang pendidikan juga tinggi, ilmu pengurusan kewangan ini dianggap perkara remeh sahaja. Akhirnya, mereka membelanjakan pendapatan mereka tanpa perancangan kewangan yang teliti. Erti kata lain, mereka membelanjakan pendapatan mereka mengikut kemahuan bukannya mengikut keperluan yang telah dirancangkan mengikut satu pelan kewangan yang betul. Bak kata pepatah orang lama "Besar Periuk Besar juga Keraknya".

Walau bagaimanapun, yang berlalu biarlah berlalu. Jadikan ia sebagai satu pengalaman hidup. Masa depan masih boleh diperbaiki. Maka, masih belum terlambat untuk mempelajari ilmu-ilmu kewangan yang sebenar. Jangan kedekut untuk mencari ilmu tentang kewangan. Buang sifat ego yang bertakhta di dalam diri demi mengecapi kehidupan yang sempurna untuk masa depan.

"Untuk menjadi seorang yang berjaya dan terbilang, kita perlu ada ilmu. Untuk mendapat dan menambah ilmu kita perlu melabur sebahagian kecil pendapatan kita ke arah itu"


5 Langkah Perancangan Kewangan Anda