Friday, January 23, 2009

RM8 Sehari?

Artikel sebelum ini menceritakan ASB adalah salah satu sumber Pendapatan Pasif untuk seseorang yang bersara. Tetapi tidak menceritakan kaedah bagaimana untuk menyimpannya.

Terlebih dahulu renung 2 persoalan dibawah ini:

Persoalan Pertama: Adakah anda sukar menyimpan RM240 sebulan? Adakah RM240 sebulan itu satu jumlah yang sangat besar untuk anda menyimpan?

Persoalan Kedua: Adakah bayaran bulanan kereta RM480 – RM600 sebulan adalah jumlah yang kecil dan tiada masalah untuk diperuntukkan daripada gaji atau memang biasa saja?

Jika jawapan anda “YA” untuk kedua-dua persoalan di atas, ini bermakna anda sedang membina sel-sel barah dalam kewangan anda sendiri. Anda harus keluar dari situasi ini dengan segera sebelum keadaan yang lebih parah berlaku.

Anda perlu berubah dan mulakan menyimpan pada hari ini.

Apa kata, mulai hari ini anda peruntukkan RM8 sehari dan memasukkannya ke dalam Tabung Buluh (cara lama) secara konsisten. Ini bermakna, setelah cukup 30 hari (1 bulan), anda sudah mempunyai simpanan sebanyak RM240.00 bersih.

Jika anda menyimpan RM240 sebulan di dalam tabung buluh tersebut selama 5 tahun, anda akan dapat mengumpul sebanyak RM14,400.00 bersih.

Sementara itu, jika anda menyimpan RM240 sebulan dalam akaun simpanan biasa, selama 5 tahun, anda mungkin dapat mengumpul sekitar RM 15,250.00. Itu pun kalau bank baik hati untuk beri anda pulangan sekitar 2.0% setahun.

Adakah cukup 2.0% setahun sebagai pulangan simpanan anda untuk jangka masa 5 tahun akan datang?

Untuk makluman anda, kalau 6 tahun dulu, susu Krimer manis 505g hanya berharga RM1.55 setin. Tetapi hari ini harganya sudah menjadi RM2.55 setin. Ini bermakna dalam masa 5 tahun sudah ada kenaikkan harga melebihi 60%. Itu baru satu barang. Bagaimana pula dengan barang-barang yang lain? Mungkin, 3 tahun lalu, anda makan tengahari hanya RM4.00, tapi kini sudah menjadi RM5.00. Itu sahaja sudah ada kenaikan sebanyak 25%!!!

Merujuk kepada kesan kenaikan harga di atas, ini bermakna, sesiapa yang menyimpan duit dalam “tabung buluh” dan di dalam akaun simpanan biasa, mereka ini tidak lagi mampu untuk menampung hidup pada masa akan datang dengan adanya kesan inflasi seperti ini. Kesan inflasi ini merupakan musuh utama dalam kewangan anda. Jika kesan inflasi ini berterusan, menyimpan duit di dalam “Fix Deposit” bank pun sudah cukup susah untuk anda menampung hidup di masa hadapan.

Walau bagaimanapun, selepas 30 hari, pindahkan sejumlah RM240 dari “tabung buluh” tadi ke dalam simpanan ASB untuk tujuan simpanan tetap. Tahukah anda bahawa ASB merupakan satu produk kewangan yang mesti anda gunakan sebagai asas kewangan anda untuk masa depan?

Mengikut kiraan, sekiranya anda menyimpan RM240 sebulan di dalam ASB, dengan menganggarkan purata pulangan ASB adalah 8% setahun, ini bermakna anda akan mempunyai simpanan sebanyak RM18,247.40 setelah 5 tahun. Bukan lagi RM15,552.00.

Kenapa ini berlaku?

Ini berlaku disebabkan simpanan ASB dikira mengikut kaedah pengiraan “Compounded dividen” dan bukannya pengiraan “Simple dividen”.

Maka dengan cara pengiraan ini, anda hanya perlu menyimpan konsisten selama 5 tahun sebanyak RM14,400.00 dan anda akan mendapat duit tambahan sebanyak RM3,847.40 selepas 5 tahun.

Dan kalau anda menyimpan hanya RM240, di ASB selama 10 tahun. Anda akan mendapat RM45,059.00. Bukan lagi, RM31,104.00

Menarik bukan?

Itu baru hanya RM8 sehari…belum lagi RM10 atau RM15 atau RM20 sehari!!!!

Maka, dengan ini buatlah simpanan untuk diri anda demi masa depan yang sempurna.

Jadikan ASB sebagai asas simpanan wang anda.



Note: Saya tidak dibayar oleh PNB untuk buat artikel ini. Tapi sekadar berkongsi maklumat kepada mereka-mereka yang masih belum mengetahuinya.


Bayar Untuk Diri Sendiri

No comments: