Wednesday, September 2, 2009

Kebebasan Kewangan dan Ilmu Pengurusan Kewangan

Salam Sejahtera,

Pada kali ini BijakUrusWang (BUW) ingin berkongsikan maklumat tentang apakah erti kebebasan kewangan yang sebenar. Di kalangan "orang kita" masih ramai lagi yang kurang pengetahuan mengenai pengurusan kewangan atau perancangan kewangan yang sempurna. Mungkin, ada di antara kita yang mengetahui cara-cara untuk menguruskan kewangan masing-masing tetapi adakah mereka mempraktikkannya?

Oleh itu, marilah kita sama-sama berkongsi ilmu mengenai pengurusan kewangan supaya kita tidak alpa dan hanyut atau terjebak dalam kemelut kewangan di era dunia cyber serba canggih kini. BUW merasakan amat penting untuk kita sentiasa mempelajari ilmu-ilmu mengenai pengurusan kewangan ini.

Apakah yang anda faham mengenai Kebebasan Kewangan?
Terdapat banyak maksud yang boleh dikaitkan dengan istilah kebebasan Kewangan (financial freedom). Adakah dengan mempunyai rumah besar, kereta mewah, gaji besar, anda sudah tergolong dalam golongan Bebas Kewangan? Mungkin ramai di kalangan anda yang berpendapat sedemikian. Persoalannya, adakah golongan tersebut benar-benar berada dalam situasi bebas kewangan?

Hakikatnya, ketahuailah bahawa mempunyai kereta mewah, rumah besar, gaji besar tidak bermakna kita berada dalam situasi Bebas Kewangan. Mungkin mereka ini mempunyai masalah besar dari segi kewangan. Masalah kewangan ini mungkin meliputi masalah untuk membayar rumah tersebut ataupun masalah untuk membayar kereta tersebut.

Tidak dinafikan bahawa orang yang bergaji rendah pun boleh tergolong dalam golongan bebas kewangan. Tidak semestinya, dengan memiliki gaji yang besar atau pendapatan yang besar dia sudah diketogerikan sebagai golongan Bebas Kewangan. Perkara utama BUW ingin utarakan adalah bagaimanakah cara kita menguruskan kewangan kita. Banyak contoh yang boleh kita perhatikan di mana pada hari ini, terdapat ramai daripada golongan yang bergaji besar atau yang mempunyai pendapatan yang besar masih mempunyai masalah kewangan. Ada juga dikalangan mereka ini sampai ke tahap yang kritikal sehingga sukar untuk diperbaiki. Walaupun mempunyai status tinggi dan berpendapatan besar, tetapi keadaan kewangan mereka masih tidak mencukupi untuk menampung kehidupan mereka sendiri/sekeluarga. Kenapa?

Jawapannya mudah, mereka ini kurang pengetahuan mengenai cara-cara yang betul untuk menguruskan kewangan mereka sendiri. Mungkin juga, mereka malas untuk mengambil tahu ilmu-ilmu kewangan sebenar. Mungkin juga, disebabkan berstatus tinggi dan ilmu bidang pendidikan juga tinggi, ilmu pengurusan kewangan ini dianggap perkara remeh sahaja. Akhirnya, mereka membelanjakan pendapatan mereka tanpa perancangan kewangan yang teliti. Erti kata lain, mereka membelanjakan pendapatan mereka mengikut kemahuan bukannya mengikut keperluan yang telah dirancangkan mengikut satu pelan kewangan yang betul. Bak kata pepatah orang lama "Besar Periuk Besar juga Keraknya".

Walau bagaimanapun, yang berlalu biarlah berlalu. Jadikan ia sebagai satu pengalaman hidup. Masa depan masih boleh diperbaiki. Maka, masih belum terlambat untuk mempelajari ilmu-ilmu kewangan yang sebenar. Jangan kedekut untuk mencari ilmu tentang kewangan. Buang sifat ego yang bertakhta di dalam diri demi mengecapi kehidupan yang sempurna untuk masa depan.

"Untuk menjadi seorang yang berjaya dan terbilang, kita perlu ada ilmu. Untuk mendapat dan menambah ilmu kita perlu melabur sebahagian kecil pendapatan kita ke arah itu"


5 Langkah Perancangan Kewangan Anda

No comments: