Thursday, May 1, 2008

'Faham Ideologi Pelaburan'

Oleh KHAIRUDDIN MOHD. AMIN dan LUKMAN ISMAIL

MELAKA 28 April - Kaum bumiputera berupaya bersatu menguasai ekonomi jika mereka memahami ideologi pelaburan seperti yang dilakukan melalui Permodalan Nasional Bhd. (PNB) yang berjaya menggembleng modal rakyat untuk menguasai syarikat-syarikat penting.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, melalui PNB, kesemua pelabur mengejar satu matlamat iaitu pulangan ke atas pelaburan yang dibuat melalui hasil titik peluh mereka sendiri.

''Berkat keazaman para pelabur yang terus melabur untuk jangka panjang inilah, maka PNB mampu berdiri teguh sehingga ke hari ini.

''Jika sifat kerjasama ini diteruskan dan dikekalkan dalam lain-lain bidang perniagaan, masyarakat bumiputera tidak akan menghadapi masalah untuk mencapai 30 peratus kekayaan ekonomi negara selaras dengan objektif Dasar Ekonomi Baru," katanya.

Najib berkata demikian pada Majlis Penutup Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2008 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini malam ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam.

Turut hadir ialah Pengerusi Permodalan Nasional Bhd. (PNB), Tan Sri Ahmad Sarji Abdul Hamid dan Presiden dan Ketua Eksekutif PNB, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman.

Menurut Najib, sebagai Timbalan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Pelaburan Bumiputera, beliau yakin selain sokongan pelabur, integriti modal insan PNB yang merangkumi amanah, ketelusan dan kejujuran adalah faktor utama firma pelaburan itu boleh beroperasi selama 30 tahun dan terus kukuh sehingga hari ini.

Tambah beliau, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam ucapan perasmian MSAM telah memberi ingatan tentang nasib sesetengah institusi di luar negara yang telah beroperasi beratus tahun tetapi lenyap hanya kerana sikap warga kerjanya yang gelap mata melihat kekayaan di hadapan mereka.

''Kita juga telah melihat beberapa koperasi di negara ini yang menerima nasib yang sama tidak lama dahulu.

''Tidak ada bezanya antara PNB dan institusi-institusi ini, tidak ada 'formula ajaib' yang dipakai, hanya di PNB, kita semua faham dan akur akan tanggungjawab yang diamanahkan kepada kita untuk menjaga wang rakyat, yang rata-rata adalah mereka yang berpendapatan rendah," jelasnya.

Najib berkata, sikap amanah itu perlu kekal dalam setiap syarikat pelaburan PNB yang bertanggungjawab menjana pendapatan terhadap dana-dana saham amanahnya itu.
Katanya, pengurusan yang kurang berhemah walaupun hanya dalam satu syarikat pelaburan PNB akan mengakibatkan kesan yang besar terhadap perjalanan PNB.

Sementara itu, Najib mahu industri saham amanah tempatan memperbaiki kedudukannya supaya setara dengan industri saham amanah di negara maju walaupun ia sudah dibangunkan dan berada pada kedudukan yang baik.

Beliau berkata, sumbangan industri saham amanah terhadap modal pasaran modal saham tempatan ketika ini masih kecil iaitu sebanyak 16.49 peratus berbanding Australia (78 peratus), Brazil (58 peratus), Hong Kong (38 peratus) dan Jerman (21 peratus).

Tambah beliau, sehingga kini, jumlah edaran unit saham amanah mencecah 216.3 bilion dengan Nilai Aset Bersih (NAB) dana bernilai RM169.6 bilion dan nilai itu mewakili 16.49 peratus daripada modal pasaran Bursa Malaysia yang berjumlah RM1.028 trilion.

No comments: