Thursday, January 24, 2008

Bagaimana hendak mencapai matlamat anda?

Anda boleh ambil contoh matlamat berikut dan bagaimana caranya untuk anda mencapai matlamat tersebut....

Katakan anda ingin membina sebuah rumah untuk keluarga anda yang semakin membesar. Mungkin rumah itu kelihatan seperti ilustrasi yang tertera di sini. Mungkin juga, anda sudah mempunyai rumah tetapi pentingnya ilustrasi membina rumah ini adalah sama seperti membina perancangan kewangan anda. Anda adalah sebagai pemaju rumah tersebut. Tugas anda ialah membeli tanah yang baik, mengupah arkitek dan kontraktor yang berkemahiran, mencari bahan terbaik dan memastikan kerja dijalankan dengan betul dan berkualiti serta siap pada tempoh masa yang ditetapkan.

Dari contoh model di atas, maka, keadaan yang sama juga perlu diapplikasikan dalam perancangan kewangan anda. Anda bertanggungjawab untuk membina perancangan yang kukuh. Jika anda tidak pasti bagaimana membuat perancangan kewangan tersebut, kemungkinan besar anda memerlukan khidmat penasihat dan perancang kewangan bertauliah yang boleh bekerjasama untuk mencapai matlamat anda itu. Tetapi, bagi mereka yang mampu mendapatkan penasihat profesional dan mempunyai simpanan bersih lebih daripada RM100,000, adakah ini bermakna anda tidak perlu merancang kerana anda sudah dapat menyimpan wang sebanyak itu? Jawapannya tidak, anda perlu memulakan perancangan kewangan anda sekarang supaya anda boleh mencapai jumlah lebihan tunai yang lebih besar dan mempunyai penambahan nilai bersih yang lebih besar lagi daripada tidak mempunyai perancangan kewangan langsung.

Walau bagaimanapun, jika anda telah mencapai wang lebihan melebihi RM100,000 dan mencari perancang kewangan untuk membantu anda seterusnya, ada beberapa perkara yang perlu anda fikirkan.

Dalam berurusan dengan perancang, lebih bijak jika mempunyai pengetahuan asas mengenai:

1. Produk pelaburan yang terdapat di Malaysia, seperti unit amanah, dana bon, amanah harta
2. Kedinamikan pelaburan ekuiti
3. Skim Pengeluaran KWSP
4. Peranan insurans hayat
5. Keperluan boleh ubah dalam perancangan anda.

Kesimpulannya di sini, siapa pun anda hari ini, itu tidak penting. Perkara asas yang perlu dititik beratkan ialah perancangan kewangan, kerana ia merupakan perkara penting dalam mencapai matlamat anda yang sebenar....


Siapa yang memerlukan Perancang Kewangan....

Sunday, January 20, 2008

Bagaimana Membuat Matlamat Kewangan?

Apabila diitanya satu soalan kepada setiap individu, apakah matlamat kewangan anda?.... ada di antara mereka yang akan menjawab…..Aku ingin menjadi kaya!!!! Pada hakikatnya, adakah itu matlamat kewangan sebenar atau hanya angan-angan atau omong-omong kosong? Benarkah begitu?

Oleh yang demikian, sebelum melakukan sebarang perancangan kewangan, perkara penting dalam merancang kewangan adalah menetapkan dahulu matlamat kewangan kita sendiri. Selepas itu, barulah disusuli dengan merancang dan seterusnya diikuti dengan perlaksanaan. Sebagai satu contoh matlamat kewangan ialah mengawal perbelanjaan dan membuat simpanan supaya dapat melunaskan pinjaman pembelian perumahan, kereta dan kad Kredit.

Erti kata lain, anda perlu mengenalpasti dan menentukan matlamat dengan jelas untuk merealisasikan matlamat kewangan yang ingin dicapai itu. Matlamat kewangan yang dibuat juga mestilah bergantung kepada pelbagai faktor seperti keinginan, umur, kedudukan kewangan dan minat anda.


Contoh-contoh matlamat kewangan

# Mengawal wang anda supaya mempunyai lebihan setiap bulan (Positive Cashflow)
# Membayar hutang
# Mempunyai simpanan untuk digunakan sewaktu kecemasan seperti kereta rosak atau masalah kesihatan
# Membeli rumah
# Membeli kereta
# Simpanan untuk persaraan
# Membeli barang-barang berharga seperti peralatan elektrik yang mahal
# Pergi bercuti; dan sebagainya

Maka, seharusnya setiap matlamat kewangan yang kita tetapkan, pastikan ia akan merangkumi faktor-faktor…

S.M.A.R.T


Apakah itu matlamat kewangan yang S.M.A.R.T?

Berikut adalah huraian dari aspek kewangan untuk perkataan S.M.A.R.T...

S = Specific
Sesuatu matlamat kewangan yang kita tetapkan itu mestilah khusus.
Sebagai contoh: “Aku ingin membeli kereta BMW 5 Series keluaran Tahun 2008”.

Bukan sekadar, “bila ada duit nanti aku ingin membeli kereta”. Persoalannya, Kereta apa? Kereta mainan? Maknanya sekadar membeli kereta sahaja tiada pengkhususan dinyatakan ke atas matlamat itu.

M = Measurable
Sesuatu matlamat kewangan yang kita tetapkan itu mestilah boleh diukur dengan nilai wang.
Sebagai contoh (kita ambil sambungan contoh di atas): “Aku ingin membeli kereta BMW 5 Series keluaran Tahun 2008 berharga RM350,000”. Di sini, kita memerlukan RM350,000 sebagai ukuran.

Bukan sekadar, “bila ada duit nanti aku ingin membeli kereta BMW 5 Series”. Yang mana kita tiada nyatakan nilai duit yang diperlukan untuk sesuatu benda itu.

A = Attainable
Sesuatu matlamat kewangan yang kita tetapkan itu juga mestilah boleh dicapai.
Sebagai contoh (sama seperti contoh sebelum): “Mulai sekarang aku akan meningkatkan tahap kewangan aku sebanyak RM3,200 sebulan selama 9 tahun untuk membeli dan membuat bayaran bulanan kereta BMW 5 Series keluaran Tahun 2008 berharga RM350,000”. Maknanya di sini, letakkan komitment diri sendiri sebanyak RM3,200 sebulan untuk dapatkan kereta tersebut.

Bukan sekadar “menunggu bulan jatuh ke riba” atau “yang pipih terbang melayang, yang bulat datang bergolek” kepada kita….atau tunggu menang lottery. Ingat!!! Tidak semua manusia di dunia ini yang berjaya dengan berpandukan kepada nasib semata-mata tanpa berusaha.

R = Realistic & Relevan
Sesuatu matlamat kewangan yang kita tetapkan itu juga mestilah realistic, berkait dengan diri sendiri.
Sebagai contoh (contoh yang sama): “Mulai sekarang aku akan meningkatkan tahap kewangan aku sebanyak RM3,200 sebulan selama 9 tahun untuk membeli & membuat bayaran bulanan kereta BMW 5 Series keluaran Tahun 2008 berharga RM350,000”.

Bukan hendak beli Kereta Performance Ferrari / Lamborghini, tetapi wang hanya ada RM3,200 sahaja dalam tempoh 2 atau 3 bulan dari sekarang… Angan-angan kosong atau hanya bermimpi….Lupakan!!!!

T = Time-Bound
Sesuatu matlamat kewangan yang kita tetapkan itu mestilah mempunyai tempoh masa tertentu.
Ambil contoh yang sama: “Mulai sekarang aku akan meningkatkan tahap kewangan aku sebanyak RM3,200 sebulan selama 9 tahun untuk membeli dan membuat bayaran bulanan kereta BMW 5 Series keluaran Tahun 2008 berharga RM350,000”. Maka, bermula dari sekarang sehingga 9 tahun akan datang adalah tempoh masa yang jelas.

Bukan, ketika anda ada duit tetapi tidak meletakkan sasaran masa yang jelas.


Contoh matlamat kewangan berdasarkan tempoh masa:

1. Matlamat jangkamasa pendek boleh dicapai dalam masa seminggu atau beberapa bulan, tetapi tidak lebih daripada setahun. Contohnya seperti ingin membeli pakaian baru atau menyimpan wang untuk pergi bercuti.

2. Matlamat jangkamasa sederhana pula adalah matlamat yang boleh dicapai dalam masa setahun sehingga 5 tahun, seperti membayar hutang atau membeli kereta (kereta ini bergantung kepada jenis kereta dan tempoh bayaran ansuran bulanan. Tempoh bayaran ansuran bulanan maksimum adalah 9 tahun, maka jika panjang jangka masa sehingga 9 tahun. Maka, boleh letakkan ia sebagai matlamat jangka masa panjang).

3. Matlamat jangkamasa panjang boleh dicapai dalam masa 5 tahun atau lebih, seperti membeli rumah, menyimpan wang untuk hari persaraan dan mempunyai simpanan wang yang mencukupi untuk menghantar anak anda ke kolej atau universiti.

Anda mungkin mempunyai ketiga-tiga matlamat di atas, tetapi pastikan ianya mempunyai factor-faktor realistik. Sasaran yang terlalu tinggi mungkin akan mengecewakan dan menyebabkan anda mengabaikan terus matlamat itu. Hakikatnya bahawa sesuatu matlamat yang kabur pula tidak akan memotivasikan anda. Matlamat yang tidak fleksibel pula sukar untuk dicapai terutamanya dalam keadaan terdesak. Biar apapun matlamat kewangan yang dibuat, pastikan anda mempunyai sedikit kelonggaran untuk membuat perubahan yang perlu. Senaraikan matlamat mengikut keutamaan dan kepentingan untuk diri sendiri dan keluarga. Bagi merealisasikan impian anda, pastikan matlamat kewangan mengikut kaedah S.M.A.R.T.

Selamat berjaya!

S.M.A.R.T for Rich!!!! &

Financial Freedom!!!!


Artikel Perancangan Kewangan...