Thursday, December 20, 2007

Siapa yang memerlukan Perancang Kewangan?

Perancang Kewangan? secara tidak langsung bunyi macam "gempak" bagi sesetengah orang, tetapi ada juga yang berpendapat, “ellehh! aku tak perlu perancang kewangan lah - bunyi macam ego pula...” terutama bagi mereka yang berfikir bahawa perancang kewangan itu adalah untuk golongan-golongan yang berpendapatan tinggi, banyak duit dan kaya sahaja. Tetapi, benarkah begitu? Jika tidak, siapa sebenarnya yang perlu Perancang Kewangan itu?

Malah, ramai juga yang menyatakan bahawa mereka tidak perlu melantik seseorang perancang kewangan kerana mereka boleh merancang kewangan mereka sendiri. Tetapi, sebenarnya mereka tidak sedar bahawa untuk merancang kewangan, mereka bukan sahaja merancang tetapi perlu mengetahui ilmu-ilmu perancangan kewangan yang sebenar.

Tambahan pula, kebanyakan orang tidak mempunyai ilmu perancangan kewangan yang betul dan mereka ini mempunyai pemikiran kewangan yang cetek. Malah, mereka juga gagal untuk merancang kewangan sendiri. Tambahan pula, mereka suka bertangguh untuk merancang kewangan mereka. Bagi yang telah merancang pula, mereka gagal membuat pelan yang effektif dan bertepatan dengan diri mereka. Ini disebabkan mereka kurang berpengetahuan dalam merancang kewangan dan tidak tahu alat-alat yang bersesuaian untuk mereka gunakan untuk pelan kewangan mereka.

Bak kata orang lama...kalau mahu membuat rumah, kita memerlukan alat-alat seperti tukul, gergaji, pahat dan lain-lain alat tukang…manakala jika kita mahu baiki kereta, kita perlukan alat-alat seperti spanner, jack, screwdriver dan sebagainya…..Begitu jugalah kalau mahu merancang kewangan atau membina kekayaan, sudah semestinya kita memerlukan peralatan kewangan yang betul dan sesuai dengan matlamat kewangan diri kita itu.

Bagi golongan yang kurang arif dalam merancang kewangan, mereka sebenarnya memerlukan seorang perancang kewangan bertauliah yang boleh membuat pelan kewangan yang bersesuaian dengan situasi ekonomi sekarang dan keadaan kewangan seseorang.

Berikut adalah beberapa golongan yang memerlukan seorang perancang kewangan untuk membimbing mereka dalam mencapai matlamat iaitu bebas dari masalah kewangan dan dapat mencapai apa yang diimpikan untuk masa depan.

1. Fresh graduate yang baru mulakan langkah ke alam pekerjaan
2. Mereka yang bercadang untuk berkahwin & berkeluarga sendiri.
3. Mereka yang terperangkap dalam bebanan hutang yang banyak.
4. Mereka yang ingin memaksimakan simpanan mereka.
5. Menambah harta.
6. Golongan yang akan bersara, akan hidup tanpa bekerja dalam tempoh masa yang lama.
7. Golongan yang baru bersara dan dapat duit KWSP.

Secara amnya, perancangan kewangan membabitkan pandangan menyeluruh mengenai kedudukan kewangan sendiri yang meliputi pelbagai sudut pengurusan kewangan dan harta, dan kemudian melalui proses langkah demi langkah untuk mengatasi masalah kewangan serta mencapai matlamat kewangan.


Apa sebenarnya yang merangkumi dalam Perancangan Kewangan itu?

Adakah wang KWSP itu cukup?

Sunday, December 16, 2007

Adakah wang KWSP itu cukup?

En AB: Eh!! aku nak tanya skit pada kau, boleh?

En XY: Boleh.....hah!!! ape dia?

En AB: Kau ada membuat simpanan tak daripada hasil pendapatan kau setiap bulan untuk hari bersara nanti?

En XY: Menyimpan? Ellehh!!! tak perlu simpanlah......Simpanan KWSP akukan ada untuk bersara nanti…….

Begitulah fenomena yang kita selalu dengar tentang meyimpan untuk persediaan hari persaraan.

Persoalanya di sini…..adakah ia mencukupi untuk memenuhi keperluan hidup pada masa bersara nanti?

Terdapat kesedaran tentang keperluan menabung melebihi apa yang tersimpan di dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Mengikut penilaian yang dibuat, peratusan caruman KWSP ke atas pendapatan merosot daripada 23% kepada 21% dan kadar dividen juga turut jatuh daripada 8.5% kepada 5% dari tahun 1983 sehingga tahun 2005.

Gambarajah dibawah menunjukkan kedudukan kadar dividen dari tahun 1983 sehingga 2006 bagi kewangan KWSP.


Tahukah anda bahawa dianggarkan 12% daripada gaji sebelum cukai selama 40 tahun adalah bersamaan dengan pendapatan bersara sebanyak 40% daripada gaji sebelum cukai.

Oleh yang demikian, anda perlu menabung lebih banyak lagi jika:
* anda tidak menabung sebanyak 12% setiap tahun sejak anda mula bekerja
* anda kini menabung kurang daripada 12% daripada gaji anda setiap tahun selepas membuat perancangan kewangan di samping caruman KWSP
* anda merancang berhenti kerja untuk satu jangka masa yang lama
* anda memerlukan lebih 40% daripada gaji sebelum bersara anda untuk menampung gaya hidup anda selepas bersara.

Berdasarkan kadar faedah yang rendah bagi deposit tetap, anda memerlukan sekurang-kurangnya setengah juta RM (iaitu RM500,000.00) bagi membolehkan anda mempunyai pendapatan bulanan sebanyak RM1,500.

Jadi, mulakan perancangan kewangan anda sekarang jika anda masih belum berbuat demikian dan berdisiplin dalam mencapai matlamat yang anda tetapkan.



Kesan Inflasi dalam Perancangan Kewangan

Friday, December 7, 2007

5 Langkah Perancangan Kewangan Anda

Terdapat 5 langkah mudah dalam Perancangan Kewangan kita, iaitu:

1. Pastikan Impian Hidup.
> Senaraikan impian hidup anda dan anggarkan berapa banyak wang yang anda perlukan untuk mencapai impian anda itu.

2. Pertimbangkan Keadaan Kewangan Anda.
> Buat semakan terperinci keperluan kewangan, tanggungan dan hutang anda. Ini perlu dilaksanakan untuk memastikan bahawa anda mempunyai wang yang cukup untuk melabur.

3. Tetapkan Sasaran Kewangan.
> Buat sasaran kewangan yang munasabah untuk anda. Pastikan sasaran kewangan yang anda tetapkan itu mempunyai tempoh yang sesuai. Jika anda tidak mempunyai wang banyak untuk melabur, janganlah berputus asa. Seharusnya anda perlu bersabar serta memberi tumpuan untuk melabur sedikit demi sedikit serta pelaburan itu perlu dilakukan secara konsisten. Bak kata pepatah " sikit-sikit lama-lama mejadi bukit".

4. Pilih Strategi Pelaburan dan Produk Pelaburan Yang Sesuai.
> Dalam melakukan sesuatu pelaburan, semakin tinggi pulangan yang dijanjikan kepada anda, ini bermakna semakin tinggi risiko yang perlu anda hadapi. Oleh yang demikian, anda perlu memilih produk pelaburan yang selari dengan tahap risiko yang sanggup anda hadapi.

5. Memantau Perancangan Kewangan Anda.
> Semak perancangan kewangan anda selalu dengan memastikan samada terdapat apa-apa perubahan terhadap keperluan, tanggungan dan pelaburan anda. Ini membolehkan anda membuat perubahan yang sewajarnya terhadap cara anda berbelanja, menyimpan dan melabur.


Artikel Perancangan Kewangan....

Monday, December 3, 2007

Kesan Inflasi dalam Perancangan Kewangan

Perancangan kewangan yang sempurna menumpu 5 aspek pengurusan kewangan, iaitu:

1. Perancangan Cukai
2. Perancangan Insurans
3. Perancangan Selepas Bersara
4. Perancangan Hartanah/Harta
5. Perancangan Pelaburan

Tetapi, tahukah bahawa musuh utama dalam mencapai matlamat kewangan kita adalah INFLASI? Kesan inflasi ini boleh menyusutkan nilai simpanan untuk masa depan.

Berikut adalah contoh kiraan kadar inflasi mengikut nilai masa tertentu.



Merujuk pada contoh diatas, ia memberi gambaran, jika tabungan anda tidak berkembang dengan baik melalui pelaburan yang dipilih secara teliti & terperinci, tentunya nilai wang simpanan RM10,000 anda itu akan habis dikikis oleh keadaan inflasi. Maka, baki yang tinggal hanya bernilai RM4,563 selepas 20 tahun pada kadar inflasi sebanyak 4%.

Persoalanya sekarang, berapakah jumlah wang yang anda perlukan untuk memenuhi keperluan hidup anda pada 20 tahun masa akan datang dengan keadaan inflasi sekarang ini? Adakah nilai simpanan anda sudah mencukupi untuk memenuhi kehendak hidup anda itu?

Oleh yang demikian, mulai sekarang, mulalah mengawal kewangan peribadi anda dengan menyediakan belanjawan secara terperinci. Senaraikan semua pendapatan dan perbelanjaan serta hutang-hutang anda. Bahagikan perbelanjaan anda kepada yang penting dan yang tidak penting. Mulakanlah dengan menyimpan wang anda secara konsisten. Tetapkan matlamat kewangan anda untuk jangka masa pendek dan jangka masa panjang, dan jangan lupa ganjaran untuk diri sendiri. Kawal wang anda dengan baik– jangan biarkan wang anda mengawal anda sendiri. Jika perlu, dapatkan bantuan penasihat kewangan atau perancang kewangan yang bertauliah.

Artikel Perancangan Kewangan...

Wednesday, November 14, 2007

Merancang Kewangan Anda & Menentukan Matlamat Kewangan Anda

Mengapa kita memerlukan pelan kewangan? Jika mahu kejayaan dalam apa jua usaha - tidak kira sama ada hendak berperang atau hendak menganjurkan majlis menyambut tahun baru, menyambut kelahiran baru, melangsungkan majlis perkahwinan, mengerjakan haji/umrah, semuanya memerlukan perancangan rapi dan teliti. Begitu juga, jika kita mahu melaburkan wang.

Mereka yang matang, bijak dan pandai selalu berkata, "kita tidak merancang untuk gagal, tetapi ramai yang gagal untuk merancang".

Perancangan kewangan bukan sahaja memberi gambaran tentang kedudukan kewangan kita yang terkini tetapi, ia juga memberi gambaran hala tuju masa hadapan kita dengan menetapkan matlamat kewangan. Oleh yang demikian, perancangan kewangan membolehkan kita mencapai matlamat yang diharapkan secara lebih efektif dan berkesan.

Saturday, November 10, 2007

Perancangan Kewangan


Apa Sebenarnya Perancangan Kewangan Itu?

Istilah "Perancangan Kewangan" lazimnya agak "menggerunkan" sesetengah orang, terutama mereka yang berfikir bahawa perancangan kewangan adalah untuk mereka yang berpendapatan tinggi dan kaya sahaja. Tetapi, benarkah begitu? Jika tidak, apa sebenarnya? Secara amnya, perancangan kewangan membabitkan pandangan menyeluruh mengenai kedudukan kewangan sendiri yang meliputi pelbagai sudut pengurusan kewangan dan harta, dan kemudian melalui proses langkah demi langkah untuk mengatasi masalah kewangan serta mencapai matlamat kewangan.

Apa yang Termasuk dalam Perancangan Kewangan?
Berikut ialah sebahagian elemen dalam perancangan kewangan:

Pengurusan Aliran Tunai
Yang akan membabitkan:
*Menilai nilai bersih kewangan yang ada sekarang (apa yang dimiliki ditolak hutang yang sedia ada).
Secara amnya akan menunjukkan kepada anda sama ada anda bakal menikmati kebebasan kewangan atau mengalami masalah kewangan.
* belanjawan
* menghapuskan hutang
* membuat tabungan.


Perancangan Pelaburan
Setelah anda menentukan jumlah wang yang ingin ditabung, anda patut menimbangkan pula di mana hendak melaburkan wang itu dengan matlamat untuk mendapat pulangan lebih tinggi dibandingkan dengan akaun simpanan yang biasa. Satu strategi pelaburan perlu dibentuk supaya anda mendapat kejayaan besar dalam mencapai matlamat kewangan anda.


Perancangan Insurans
Pastikan supaya semua aset dan keluarga anda dilindungi oleh insurans secukupnya.


Perancangan Cukai
Perancangan cukai membabitkan semua orang yang mempunyai pendapatan, namun ini yang selalu tidak diambil berat atau dilupakan oleh kebanyakan orang. Oleh itu, perancangan cukai membabitkan strategi untuk menikmati yang terbaik daripada pendapatan, saham, harta tanah dan harta lain yang anda miliki, bawah sistem cukai tempatan.


Perancangan Persaraan
Anda tidak akan bekerja sepanjang hayat. Apabila tanda-tanda usia meningkat sudah bermula atau anda telah mencapai usia mesti bersara, anda terpaksalah bersara. Oleh itu, amat mustahak mempunyai pelan kewangan.


Perancangan Harta
Mempunyai perancangan harta atau wasiat dapat memastikan kehendak anda terhadap kedudukan masa hadapan keluarga akan dilaksanakan. Selain itu, perancangan harta atau wasiat dapat menyediakan kedudukan kewangan yang kukuh untuk keluarga anda, memastikan harta anda terpelihara dan diberikan kepada waris-waris anda, serta mengelakkan perselisihan antara ahli keluarga.

Akhir sekali, pelan kewangan yang kukuh sepatutnya bukan sekadar membeli satu pelan insurans atau unit amanah sahaja, tetapi perlu merangkumi keempat-empat kunci utama membina kekayaan iaitu, pengumpulan harta, pengurusan harta, perlindungan harta dan pengagihan harta.


Kembali ke blog utama...