Wednesday, July 16, 2008

Catatan Bantu Kenal Pasti Tabiat Berbelanja

SETIAP orang perlu menguruskan wang dengan bijak tanpa mengira berapa banyak yang dimiliki.

Kunci kepada pengurusan kewangan yang berjaya adalah menyediakan pelan yang ditulis, seterusnya diikuti.

Pelan perancangan kewangan yang ditulis adalah berkesan kerana apabila anda melihat apa yang ditulis, ia mengingatkan anda mengenai tindakan yang perlu diambil bagi mencapai matlamat ditetapkan.


Pelan perancangan kewangan boleh dibangunkan menerusi pendekatan berikut:

Tetapkan matlamat anda.

Langkah pertama dalam pelan perancangan kewangan adalah dengan menetapkan matlamat kewangan seperti untuk membeli rumah, tujuan pendidikan anak atau keperluan selepas bersara.

Matlamat perancangan kewangan yang baik perlu dibuat secara lebih khusus, boleh diukur tahap pencapaiannya dan terikat kepada satu tempoh masa.

Matlamat itu mungkin boleh diubah mengikut keadaan, tetapi ia seharusnya menjadi faktor penggalak dan motivasi untuk meneruskan bajet dan perancangan kewangan.

Tahu ke mana wang anda mengalir.

Langkah seterusnya adalah melihat corak atau tabiat perbelanjaan. Tulis setiap butiran perbelanjaan yang dibuat untuk sesuatu jangka masa, contohnya perbelanjaan dalam tempoh dua bulan.

Jika mendapati anda berbelanja lebih daripada pendapatan, anda perlu menimbang untuk mengurangkan perbelanjaan ke atas barangan mewah atau perkara yang tidak perlu.

Apabila anda tahu ke mana wang itu mengalir, anda boleh mula membuat bajet dan mula menyimpan ke arah mencapai matlamat kewangan anda.

Peruntukan perbelanjaan akan bergantung kepada beberapa faktor seperti usia, pendapatan, tempoh masa dan corak perbelanjaan.

Bagaimanapun anda seharusnya menyediakan sejumlah wang atau simpanan bagi tujuan kegunaan di masa kecemasan seperti jatuh sakit atau dibuang kerja.

Jumlah simpanan bagi tujuan kecemasan ini perlu menyamai jumlah perbelanjaan anda untuk tempoh kira-kira enam bulan.

Menilai dan menyemak semula

Langkah terakhir dalam menentukan kejayaan sesuatu perancangan kewangan adalah dengan menilai dan menyemak semula pelan itu secara kerap.

Perancangan kewangan mungkin berubah apabila keperluan kita berubah apabila semakin menghampiri matlamat.

Jika anda mendapati agak sukar mencapai matlamat mengikut tempoh masa yang ditetapkan, anda mungkin perlu menilai semula atau mengubah suai tabiat perbelanjaan, atau menimbang menukar matlamat perancangan kewangan kepada yang lebih realistik.

Usia terlalu muda bukan alasan untuk kita tidak mula menguruskan kewangan.

Malah, ibu bapa perlu mengajar tabiat perbelanjaan yang baik dan kemahiran pengurusan kewangan kepada anak mereka.

Sebagai contoh, daripada memberikan barang permainan kepada anak secara terus, ibu bapa boleh memberikan anak mereka sejumlah wang saku bulanan sebagai ‘gaji’ kepada anak yang menyelesaikan sesuatu tugas, jadi mereka boleh menggunakan wang itu sebagai simpanan untuk membeli barang permainan berkenaan.

Dengan cara ini, kanak-kanak akan lebih menghargai nilai wang dan pada masa sama menikmati pulangan daripada tugasan yang mereka telah selesaikan seperti membantu membasuh kereta atau menyiram pokok.

Selain itu, Bank Negara Malaysia dengan kerjasama Persatuan Bank-bank di Malaysia turut menerbitkan buku panduan ‘Menguruskan Wang Anda’ yang menyediakan banyak panduan berguna mengenai kaedah berbelanja, menyimpan dan melaburkan wang anda.

Sebaik saja anda boleh menguruskan wang dengan teratur, anda boleh mula melihat kepada cadangan melaburkan lebihan wang yang anda bagi memaksimumkan pulangan

Kebanyakan bank sekarang mempunyai pegawai perancang kewangan yang boleh memberikan nasihat yang dapat membantu anda cara terbaik melaburkan wang.

Sumber: Persatuan Bank-bank di Malaysia (ABM)



Tanda-tanda Masalah Kewangan

Friday, July 4, 2008

Tanda-tanda Masalah Kewangan

Di masa hari tenang dan senang, tiada siapa yang menduga akan tiba kesusahan. Anda mungkin tidak terlintas difikiran akan kehilangan kerja. Anda juga tidak pernah menjangkakan akan menghadapi masalah kewangan.

Maka, anda perlu beringat untuk membuat persediaan menghadapi perkara-perkara yang berkaitan dengan masalah kewangan. Walaupun, anda tidak percaya akan perkara-perkara di atas berlaku, sekurang-kurangnya anda mengambil tahu dan mempunyai ilmu tentang Perancangan kewangan.


Ungkapan orang lama…..

“Ku sangkakan panas sampai ke petang, rupanya hujan di tengah hari”….maka "sediakan payung sebelum hujan…."


Tanda-tanda masalah kewangan anda......

Semasa kewangan kita stabil dan mewah kita akan mudah lupa bagaimana untuk hidup dalam keadaan sederhana dan berjaga-jaga. Sikap biasa mewah sudah lama dalam jiwa, sukar untuk dilupakan. Tetapi, ini tidak bermakna semasa mewah kita lupa akan melihat segala tanda-tanda yang anda akan menghadapi masalah kewangan atau kecemasan.

Perhatikan & renungkan perkara-perkara berikut:
● Kredit kad anda mempunyai baki yang tidak berbayar.
● Mula membayar kad kredit dengan kadar minima sehingga beberapa bulan.
● Mula tidak membayar bil-bil bulanan mengikut masa yang ditetapkan.
● Menggunakan kad kredit untuk melakukan Pendahuluan tunai (cash advances)
● Penggunaan Kad kredit yang maksimum.
● Memerlukan konsolidasi pinjaman.
● Menggunakan kad kredit untuk memenuhi perbelanjaan harian seperti makanan dan petrol.
● Meminjam wang dari kawan dan keluarga.
● Tidak menyimpan atau melabur walaupun sedikit secara berkala dalam instrumen-instrumen kewangan yang sah.
● Mempunyai masalah dalam menguruskan wang secara baik dan berkesan.
● Mempunyai masalah dengan pembayaran hutang-piutang.
● Membuat pengeluaran tunai dari kad kredit untuk membayar hutang kad kredit lain atau menapung perbelanjaan harian anda.
● Tidak mempunyai simpanan atau insurans untuk menampung keperluan semasa sekiranya berlaku kecemasan.
● Jika anda sering mendapat panggilan daripada pemberi hutang (biasanya dari bank)
● Jika anda telah diberi notis untuk tindakan undang-undang (kes bahaya)

Sekiranya anda melihat akan tanda-tanda ini berlaku, maka anda perlu duduk bersama kalkulator anda dan mula mengira semula semua perbelanjaan anda dan cuba untuk membetulkan keadaan.

Ini perlu dilakukan sebelum “Barah Kewangan” itu merebak kepada perkara-perkara yang lain dalam diri anda....

Apakah anda ingin menjadi salah seorang daripada mereka?
7 Kesilapan Lazim Dalam Menguruskan Wang