Saturday, November 19, 2011

Mana dahulu, Bayar Hutang atau Simpan?

Walaupun terdapat banyak maklumat yang boleh diperolehi mengenai pengurusan wang, kebanyakan daripada kita masih lagi tidak dapat merancang kewangan dengan baik. Statistik menunjukkan bahawa hutang kad kredit rakyat Malaysia berjumlah hampir RM25 bilion (setakat Mac 2010, sekarang sudah akhir 2011 besar kemungkinan jumlah ini bertambah). Situasi ini sememangnya merisaukan dan isu kepentingan menyimpan duit dan membayar hutang sepatutnya menjadi satu perkara yang dititik beratkan oleh semua lapisan masyarakat.



Persoalannya, dengan pendapatan yang terhad, apakah kita patut menggunakan duit gaji untuk membayar hutang sedia ada atau wang itu sepatutnya disimpan? Mana satu perlu didahulukan? Yang mana satu patut menjadi keutamaan? Membayar hutang atau membuat simpanan?



Ini adalah keputusan penting yang harus dibuat kerana walaupun mempunyai akaun simpanan adalah satu cara untuk merancang masa depan, tetapi menjadi bebas hutang adalah strategi yang sangat berkesan bagi mencapai kedudukan kewangan jangka panjang yang stabil. Pada akhir artikel ini, anda akan dapat mengenal pasti langkah-langkah yang boleh diambil untuk membantu mencari keseimbangan antara menyimpan duit dan membayar hutang.

Langkah #1: Wujudkan Dana Kecemasan



Sebelum anda membuat keputusan sama ada untuk meyimpan duit atau menjelaskan hutang, langkah pertama yang harus dilakukan adalah membina dana kecemasan terlebih dahulu. Dana kecemasan secara amnya merujuk kepada wang yang disimpan untuk digunakan ketika anda betul-betul memerlukannya. Ini sepatutnya menjadi matlamat simpanan anda yang paling utama. Setelah itu, barulah anda menyimpan untuk pembelian rumah, pendidikan anak dan juga persaraan. Tidak kira sama ada anda seorang yang baru ingin menyimpan duit atau sudah mempunyai simpanan yang banyak, mempunyai sejumlah wang yang mencukupi dalam dana kecemasan akan memberikan ketenangan fikiran kerana anda sudah mempunyai perlindungan yang sewajarnya.



Dana kecemasan adalah penting kerana sekiranya menghadapi masalah seperti kehilangan kerja, ditimpa penyakit, kereta rosak dan sebagainya, anda tidak perlu berhutang. Dengan ini, situasi kewangan anda tidak terlalu terjejas walaupun menghadapi kesukaran seperti di atas. Ingatlah bahawa dana kecemasan ini harus digunakan dalam keadaan yang terdesak sahaja dan bukannya untuk percutian, membeli barang kesukaan atau “kehendak-kehendak” yang lain.



Jadi berapakah jumlah dana kecemasan yang harus anda disimpan? Kebanyakan pakar kewangan mencadangkan bahawa anda menyimpan sebanyak tiga hingga enam bulan daripada perbelanjaan bulanan. Apabila gaji meningkat, tambahkan jumlah simpanan dana kecemasan supaya anda sentiasa memiliki simpanan sebanyak enam bulan daripada perbelanjaan bulanan. Akhir sekali, sentiasa tambah semula dana kecemasan jika anda telah menggunakannya.



Langkah #2: Langsaikan Hutang Anda



Setelah mempunyai simpanan dalam dana kecemasan, kini masanya untuk mengalihkan perhatian kepada teras masalah anda iaitu HUTANG. Oleh kerana gaji yang terhad, anda perlu menggunakan sebahagian atau semua duit yang dahulunya disimpan dalam dana kecemasan untuk membayar hutang.



Bagaimana pula dengan simpanan? Ia mungkin bukan satu tindakan yang bijak untuk menambah lagi duit simpanan apabila anda masih mempunyai hutang. Kebanyakan hutang mempunyai kadar faedah yang lebih tinggi daripada akaun-akaun simpanan biasa di bank. Dengan itu, anda sebenarnya kerugian lebih banyak duit daripada hutang tersebut berbanding duit yang diperolehi daripada akaun simpanan.



Contohnya, katakan anda mempunyai RM6,000 dalam sebuah akaun simpanan dengan pulangan 2% setahun dan hutang kad kredit sebanyak RM3,000 dengan kadar faedah 18% setahun. Berapakah jumlah duit anda selepas lima tahun? Jawapannya adalah sifar – anda akan hilang kesemua simpanan dan masih lagi berhutang RM200 kerana hutang akan meningkat kepada RM6,800, manakala simpanan hanya bertambah sebanyak RM600.



Satu lagi pilihan adalah untuk melaburkan duit tersebut. Sekiranya produk pelaburan itu memberikan kadar faedah yang tinggi, anda boleh mengunakan keuntungan yang diperolehi untuk menjelaskan hutang sedia ada. Akan tetapi, ambil perhatian bahawa pelaburan mempunyai risikonya tersendiri dan anda mungkin mengalami kerugian. Ini bergantung kepada tahap risiko sesuatu produk pelaburan pilihan anda.



Walaupun memilih untuk melabur, matlamat utama anda masih lagi untuk menjelaskan hutang. Maka, hutang mana yang harus dijelaskan dahulu? Biasanya, hutang dengan kadar faedah yang paling tinggi seperti kad kredit, pinjaman peribadi dan pinjaman kereta harus dibayar dahulu. Biarkan pinjaman perumahan dan pinjaman pendidikan sebagai yang terakhir kerana pinjaman-pinjaman sebegini biasanya mempunyai kadar faedah yang lebih rendah dan dianggap sebagai “hutang yang baik”.



Langkah #3: Fokus pada Masa Depan



Setelah menjelaskan hutang-hutang yang penting, anda bolehlah kembali memberi perhatian kepada usaha untuk meningkatkan simpanan. Ketepikan sejumlah wang setiap bulan untuk dimasukkan ke dalam akaun simpanan anda (ini juga dikenali sebagai prinsip “bayar diri sendiri dahulu”). Jika majikan membenarkan pemotongan gaji bulanan secara automatik, ambil peluang itu agar anda tidak terlupa untuk memindahkan duit tersebut.



Setelah itu, inilah masanya untuk mula melihat kepada peluang membuat duit berkerja untuk anda iaitu dengan melaburkan duit yang ada. Anda boleh menggunakan sebahagian daripada wang simpanan untuk dilaburkan dan membantu menghasilkan pulangan. Produk pelaburan yang dipilih bergantung kepada objektif pelaburan dan toleransi risiko anda. Akhir sekali, sentiasa awasi pelaburan untuk memastikan ia sejajar dengan matlamat anda.



Dengan ketiga-tiga langkah yang telah disebutkan, anda kini tahu bagaimana untuk mula mencari keseimbangan antara menyimpan duit dan menjelaskan hutang. Ingatlah bahawa menyimpan duit, melabur dan menjelaskan hutang adalah perkara-perkara jangka panjang yang berkaitan dengan cara hidup anda dan komitmen-komitmen kewangan lain. Selalunya, anda perlu melakukan perubahan kepada cara hidup bagi mencapai keseimbangan di antara ketiga-tiga perkara tersebut dan ianya bukanlah suatu yang mudah. Akan tetapi, jika anda ingin mempunyai kedudukan kewangan yang stabil, mencari keseimbangan antara menyimpan duit dan menjelaskan hutang anda adalah kuncinya.







(Maklumat dipetik dari Pelabur Malaysia)







Periksa Kedudukan Kewangan Anda



Friday, November 18, 2011

Kelayakan Pinjaman Lebih Ketat

KUALA LUMPUR 18 Nov. - Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini mengumumkan Garis Panduan Amalan Pembiayaan Bertanggungjawab yang menetapkan kelayakan permohonan pinjaman bank perlu berdasarkan pendapatan bersih dan bukan lagi pendapatan kasar pemohon, berkuatkuasa 1 Januari ini .


Dalam usaha mengurangkan hutang isi rumah di negara ini yang masih terkawal, BNM juga mengehadkan tempoh pembiayaan pinjaman kenderaan hanya selama sembilan tahun berbanding 11 tahun bagi permohonan yang diterima mulai hari ini.


Di bawah garis panduan tanggungjawab pembiayaan baharu itu, permohonan pemohon juga dinilai berdasarkan potongan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan cukai serta mengambil kira semua tanggungan hutang semasa, kata Gabenor BNM, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz hari ini.


Katanya, permohonan itu, bagaimanapun hanya melibatkan segmen runcit seperti pembiayaan kediaman, kenderaan, kad kredit dan kad caj, pinjaman peribadi termasuk kemudahan overdraf dan pembiayaan bagi pembelian sekuriti kecuali pembiayaan margin saham.


Beliau berkata, kesemua pendekatan itu adalah sejajar dengan amalan semasa tetapi dengan garis panduan ini memastikan institusi kewangan tidak melonggarkan prinsip amalan pembiayaan berhemat dan bertanggungjawab.


BNM menegaskan garis panduan ini bukan sahaja perlu dipatuhi oleh institusi perbankan di bawah pengawasan Bank Pusat itu, tetapi juga oleh Suruhanjaya Syarikat Awam, Malaysia Building Sosiety Bhd. (MBSB) dan Angkatan Koperasi Kebangsaan (M) Bhd.


''Garis Panduan ini diperkenalkan supaya kedudukan hutang isi rumah di negara ini lebih terurus. Setakat ini tahap hutang isi rumah tidak membimbangkan.


''Kita tidak mahu kegagalan amalan kredit mencetuskan kegagalan dalam sistem kewangan kerana sistem kewangan saling berkait dengan ekonomi,'' katanya pada sidang akhbar selepas mengumumkan prestasi ekonomi negara pada suku ketiga 2011.


Kadar nisbah hutang tertunggak adalah 1.99 peratus dan mungkir pembayaran dalam tempoh satu hingga dua bulan adalah empat peratus sahaja.


Sehingga September 2011, kadar tahunan pinjaman isi rumah kini meningkat 11.4 peratus dan nisbah hutang isi rumah kepada Keluaran Dalam Negara Kasar adalah sebanyak 77.6 peratus.


Beliau menjelaskan peningkatan hutang isi rumah negara semasa disokong oleh pertambahan pendapatan secara stabil dan kedudukan pekerjaan yang baik.


Sejumlah 64 peratus pinjaman digunakan bagi pembelian aset seperti kediaman dan kenderaan.


Zeti berkata, garis panduan baharu itu tidak akan menjejaskan sektor pinjaman yang merupakan antara faktor utama memacu ekonomi negara selain mengekang aktiviti pinjaman haram yang boleh menjejaskan ekonomi secara keseluruhannya.


Katanya, garis panduan baharu itu dilaksanakan untuk menyemai amalan tanggungjawab pinjaman oleh institusi kewangan yang berurusan dengan pelanggan runcit.


Ia turut mempromosi sikap pinjaman bertanggungjawab untuk merangsang pasaran kredit yang sihat dan kekal, sekali gus menyumbang kepada kestabilan kewangan dan ekonomi serta memperkukuhkan kepentingan pengguna.


Berikutan itu, di bawah syarat garis panduan tersebut, institusi perbankan perlu memastikan produk pembiayaan yang ditawarkan adalah sesuai dan mampu memenuhi keperluan kewangan pelanggan.



(dipetik dari Akhbar Utusan)




Fahami Istilah Saham Bantu Tingkatkan Kemahiran Pelaburan


Sunday, November 6, 2011

Kesan SRR kepada pinjaman kecil

SAYA begitu meminati ruangan ini kerana ia banyak memberi panduan kepada saya dalam isu-isu kewangan. Di sini saya ingin mengambil kesempatan untuk bertanyakan mengenai Keperluan Rizab Berkanun (SRR). Apakah kaitan penurunan dan kenaikan SRR dengan pelanggan bank?



KEPERLUAN Rizab Berkanun (SRR) merupakan jumlah wang yang perlu diperuntukkan atau disimpan oleh sesebuah bank dengan Bank Negara Malaysia dalam Akaun Rizab Berkanun mereka. Jumlah SRR lazimnya bersamaan bahagian tertentu liabiliti yang layak (EL) seperti deposit yang disebut harga dalam Ringgit. Bahagian ini dikenali sebagai kadar SRR dan ditentukan oleh Bank Negara Malaysia (BNM). Jadual berikut memberikan gambaran tentang perubahan kadar ini dalam tempoh beberapa tahun lepas.



SRR digunakan terutamanya oleh bank pusat sebagai instrumen dasar wang untuk menguruskan kecairan atau dalam bahasa mudah, untuk menentukan jumlah "tunai" dalam sistem kita. Kadar SRR akan dilaraskan untuk mengeluarkan atau menyuntik kecairan ke dalam ekonomi kita. Apabila SRR rendah, ini bermakna jumlah rizab lebih rendah perlu diperuntukkan dengan BNM dan bank mempunyai lebih banyak dana (iaitu kecairan lebih tinggi) untuk dipinjamkan bagi membiayai kegiatan ekonomi di pasaran.



Oleh itu, pengurangan SRR bertujuan meningkatkan kecairan dalam sistem dan juga merancakkan aktiviti di pasaran. Anda akan mendapati SRR dikurangkan dalam keadaan pasaran yang mencabar atau tempoh kemelesetan seperti semasa krisis Asia pada 1998 atau krisis kewangan sub prima pada 2008. Dalam keadaan gawat, bank pusat perlu menjana pertumbuhan ekonomi. Dengan itu, mereka mengurangkan SRR untuk menggalakkan bank memberikan pinjaman.



Perubahan SRR hanya memberikan kesan yang kecil kepada pelanggan. Seperti yang kita lihat tahun ini, BNM telah menaikkan SRR sebanyak tiga kali. Ia seharusnya mengurangkan kecairan dalam sistem, mengekang pinjaman dan menyebabkan peningkatan kos pinjaman. Tetapi kita mendapati kadar pinjaman pengguna tidak meningkat. Persaingan yang wujud di dalam pasaran telah memastikan kadar pinjaman stabil setakat ini, dan kesan kepada pengguna amat minimum. Bank telah menyerap seluruh kesan SRR tetapi tidak memindahkannya kepada pelanggan mereka.



Namun SRR baru sahaja dinaikkan. Dalam jangka panjang, bergantung pada keadaan persaingan, jika bank tidak dapat menyerap kesan peningkatan kos pinjaman akibat SRR, mereka mungkin meningkatkan kos pinjaman. Tetapi pada pendapat kami sebarang peningkatan adalah kecil dan tidak sama dengan jumlah peningkatan SRR. Dengan kata lain, tidak mungkin kadar faedah pinjaman perumahan meningkat 1.0 peratus jika SRR dinaikkan 1.0 peratus.




(dipetik dari Utusan 5 Nov 2011)



Pencarum Jangan Ghairah Menggunakan Skim Pengeluaran KWSP