Tuesday, October 21, 2008

Pelaburan PNB tidak terjejas

Krisis kewangan global buka peluang Permodalan Nasional teroka pasaran baru

KRISIS kewangan global ketika ini tidak akan menjejaskan pelaburan luar negara Permodalan Nasional Bhd (PNB), sebaliknya menyediakan peluang untuknya meneroka pasaran baru, kata Presiden dan Ketua Eksekutifnya, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman.

Beliau menegaskan, operasi PNB di Singapura, Tokyo dan London tidak begitu terjejas kerana tidak melabur dalam sektor kewangan yang terdedah kepada krisis itu.

"Tidak dinafikan kami sedikit sebanyak terjejas, namun pada keseluruhannya portfolio PNB masih lagi baik dan tidak terjejas dengan hebat kerana pelaburan kami bukan dalam sektor kewangan," katanya sambil menjelaskan pelaburan PNB di luar negara juga masih agak kecil.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis Rumah Terbuka PNB di Kuala Lumpur, semalam. Hadir sama, Pengerusi PNB, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid.

Hamad Kama Piah, berkata PNB yang ditubuhkan sejak 30 tahun lalu sudah melalui pelbagai kemelut kewangan, tetapi masih mampu menangani isu seumpama itu dan memberikan pulangan baik kepada pelaburnya.

"Keadaan pasaran seperti sekarang sudah berlaku banyak kali. PNB sudah melaluinya pada 1987 dan kami dapat menanganinya dengan baik seperti juga kemelesetan ekonomi pada 1997.

"Pada masa itu pun, keadaan pasaran kurang baik tetapi PNB masih mampu menanganinya dengan baik," katanya sambil menambah kerajaan juga telah melaksanakan beberapa program rangsangan bagi memulihkan keadaan pasaran.

Beliau turut menegaskan, keadaan yang berlaku ketika ini menyediakan peluang kepada institusi pelaburan itu menilai saham yang terbaik dan berpotensi bagi menambah pelaburannya khususnya di luar negara.

"PNB adalah syarikat pelaburan jangka panjang. Apabila kami melabur, kami akan lihat daripada aspek jangka panjang, dan bila berlaku kegawatan seperti sekarang, sudah pasti PNB akan mengambil peluang menganalisis saham berpotensi.

"Malah pejabat operasi kami di luar negara adalah tempat bagi pegawai PNB membuat latihan dan terdedah kepada pasaran semasa yang mana keadaan ini memberi ruang kepada mereka untuk menangani isu – keadaan ekonomi merudum," katanya.

PNB ketika ini menguruskan dana sejumlah RM120 bilion yang sebahagian besar dana berkenaan dikumpul daripada pelaburan serendah RM10 yang disumbangkan pelbagai lapisan masyarakat.

Sejak penubuhannya, 30 tahun lalu dengan tujuan meningkatkan pegangan ekuiti Bumiputera, PNB telah sudah mengagihkan pulangan dividen dan bonus lebih RM60 bilion kepada pelaburnya.

No comments: