Saturday, November 1, 2008

Langkah menyiapkan diri sebelum bersara

SAMA ada anda bercadang untuk bersara pada usia 55 atau lebih awal lagi, apa yang penting ialah melengkapkan diri anda dengan perancangan kewangan yang dapat menjamin kehidupan memuaskan serta bebas daripada bebanan hutang setelah bersara.

Bagaimana untuk menyiapkan diri untuk bersara? Tiada jawapan yang khusus untuk soalan ini kerana ia banyak bergantung kepada gaya hidup yang diinginkan, tahap kesihatan dan juga situasi unik seseorang itu selepas bersara. Berikut adalah beberapa langkah yang boleh diambil untuk menyiapkan diri anda daripada segi kewangan sebelum bersara:


Tetapkan keperluan kewangan anda

Secara amnya, keperluan perbelanjaan seorang pesara dianggarkan dalam lingkungan 75 peratus hingga 80 peratus keperluannya ketika masih bekerja. Berdasarkan keperluan ini, anda perlu membuat penyelarasan sesuai dengan mengambil kira situasi unik anda seperti kos pendidikan anak dan bayaran pinjaman perumahan untuk menganggarkan perbelanjaan bulanan yang perlu ditampung.

Jika anda berhajat untuk mengembara, bercuti, ataupun mempunyai hobi lain yang membabitkan wang, anda perlu mengambil kira kos ini ketika membuat perancangan persaraan anda.


Menilai status semasa

Anda perlu memberi perhatian kepada portfolio pelaburan yang merangkumi simpanan tambahan serta pendapatan anda. Senaraikan juga semua komitmen kewangan yang perlu dijelaskan. Sekiranya anda masih bekerja, anggarkan jumlah wang KWSP atau pencen yang bakal anda terima.


Mengira wang yang diperlukan

Setelah selesai mengumpulkan semua maklumat di atas, anda boleh mendapatkan nasihat daripada perancang kewangan ataupun mana-mana laman web yang menyiarkan artikel mengenai perancangan persaraan yang boleh anda contohi dalam usaha untuk menyiapkan diri dari segi kewangan sebelum bersara. Ini penting untuk menilai sama ada wang anda sekarang mencukupi atau tidak untuk memenuhi keperluan persaraan kelak.

Jika jawapannya tidak, sekurang-kurangnya, anda boleh mengira berapa banyak lagi wang yang diperlukan. Sebagai contoh, keperluan tahunan Ali ialah RM50,000 (kira-kira kurang RM4,000 sebulan). Dia menganggarkan bahawa wang simpanan persaraannya akan menjana pulangan sebanyak tujuh peratus setahun. Justeru, Ali memerlukan sekurang-kurangnya RM714,286 (RM50,000/0.07) dalam simpanannya untuk menampung perbelanjaan persaraannya.

Berdisiplin dalam merancang kewangan

Elakkan daripada membuat pengeluaran wang simpanan persaraan sewenang-wenangnya dan pastikan ia mencukupi untuk menampung perbelanjaan sehingga akhir hayat anda.

Setelah menetapkan jumlah wang yang diperlukan, langkah seterusnya ialah untuk memberikan komitmen penuh kepada jumlah yang hendak disimpan dan menguruskan portfolio pelaburan anda dengan cara yang sepatutnya.

Akhir kata, berbelanjalah mengikut keperluan dan cuba maksimumkan simpanan anda untuk waktu persaraan.

----------------------------------------------------------------------------------------------

Artikel ini ditulis oleh Securities Industry Development Corporation (SIDC) dan Ooi Kok Hwa, pemegang Lesen Wakil Perkhidmatan Pasaran Modal untuk menjalankan urusan nasihat pelaburan di bawah Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007.

Maklumat yang terkandung di dalam artikel ini ialah untuk tujuan pendidikan semata-mata dan mencerminkan keadaan pasaran pada sesuatu masa tertentu yang mungkin berlalu dan menyebabkan artikel ini tidak lagi relevan. Artikel ini tidak boleh dianggap sebagai pengganti untuk nasihat perundangan atau mana-mana nasihat profesional yang lain.



Adakah wang KWSP itu cukup?

No comments: