ALAM persekolahan akan bermula dalam masa beberapa hari lagi. Pastinya, ibu bapa merupakan golongan yang paling sibuk meluangkan masa dan wang ringgit untuk membeli keperluan persekolahan anak-anak mereka.
Bagi mereka yang sudah mendapat bonus hujung tahun daripada majikan, sudah pastinya berasa lega kerana tidak perlu memeningkan kepala untuk mencari wang lebih untuk menyediakan persediaan keperluan persekolahan anak-anak mereka dari segi pakaian sekolah, buku-buku pelajaran mahupun yuran persekolahan.
Namun, bagi para ibu bapa yang hanya memperolehi pendapatan yang “ngam-ngam” (bahasa orang cina) setiap bulan, sudah tentu mula terasa risau dan pening kepala.
Pada hakikat sebenar, masalah pening kepala semasa awal pembukaan persekolahan ini tidak timbul sekiranya para ibu bapa, membuat perancangan awal terhadap keperluan persekolahan anak-anak mereka. Ironinya, mungkin ramai daripada kita tidak sedar bahawa walau sekecil mana pendapatan yang kita diperolehi, namun masih mampu membiayai persekolahan anak-anak dengan membuat perancangan kewangan dengan baik dan sempurna. Sudah pastinya masalah pening kepala ini dapat dihindarkan.
Belum terlambat rasanya untuk memberi panduan serta ingatan kepada pasangan ibu bapa untuk merancang kewangan mereka dengan bijak.
Berikut adalah beberapa petua atau panduan tentang bagaimana merancang kewangan agar tidak mengalami situasi tekanan, terutama ketika hendak menyediakan keperluan anak-anak menjelang tahun baru persekolahan.
Perkara utama dalam pengurusan kewangan ialah mesti tetapkan matlamat. Matlamat pula terbahagi kepada tiga bahagian.
1. Jangka Pendek iaitu selama dua tahun dari sekarang.
2. Jangka Sederhana iaitu untuk tempoh dua hingga lima tahun dari sekarang dan
3. Jangka Panjang untuk lima tahun ke atas.
Mulakan membuat matlamat kewangan di atas dengan jangka pendek, diikuti jangka sederhana kemudian jangka panjang.
Catatkan semua keperluan perbelanjaan tahunan di atas
Dari catatan tersebut, maka kita dapat ilustrasi perbelanjaan bulanan kita dalam setahun. Dengan panduan tersebut, mulakan proses menabung/menyimpan untuk memenuhi perbelanjaan/keperluan yang besar seperti membayar cukai jalan & insuran kereta dan lain-lain. Tidak terkecuali, ini termasuklah simpanan persediaan keperluan persekolahan anak-anak.
Oleh yang demikian, jika dari awal kita sudah dapat melihat carta aliran tunai kewangan dalam tempoh setahun, maka, kita tidak akan mengalami masalah jika kita memerlukan sejumlah wang yang besar nilainya untuk memenuhi keperluan tersebut, terutama perbelanjaan anak-anak sekolah.
Ramai di antara kita yang terjerat apabila terpaksa berbelanja besar seperti menyediakan keperluan sekolah anak & memperbaharui cukai jalan kereta/kenderaan. Ini berlaku kerana mereka tidak mempunyai perancangan dan matlamat kewangan yang sempurna.
Selepas menentukan matlamat, pasangan suami isteri perlu membuat analisis aliran tunai mereka. Caranya dengan membuat catatan wang masuk dan catatan wang keluar. Dari carta aliran tunai kewangan keluar dan masuk tadi, dengan mudah kita boleh lihat sama ada wang masuk lebih banyak dari keluar atau sebaliknya. Jika wang masuk lebih banyak daripada wang yang keluar, maka ini menunjukan aliran tunai tersebut adalah positif (+ve). Sebaliknya, jika wang keluar lebih banyak daripada wang masuk, maka ini menunjukan aliran kewangan kita adalah negatif (-ve).
Jika aliran negatif, maka kita perlu berjimat cermat dalam berbelanja, bebelanja apa yang perlu dan jangan mengikut nafsu dan naluri hati. Tangguhkan, perbelanjaan yang tidak perlu. Membuat perancangan sebelum membeli-belah, senaraikan barangan yang perlu dibeli. Ini termasuklah perbelanjaan untuk anak-anak. Pastikan juga, anak-anak membuat senarai perbelanjaan mereka. Dengan cara ini, secara tidak langsung dapat mendidik anak-anak kita dalam merancang kewangan mereka sendiri.
Bagi pasangan suami isteri yang bekerja, mereka perlulah membuat belanjawan bersama-sama dan mengabungkan pendapatan mereka serta perbelanjaan keluarga. Ini bertujuan untuk mengelakkan perkara-perkara yang tidak diingini berlaku di mana pasangan yang masih hidup terpaksa menanggung segala hutang-hutang yang ditinggalkan tanpa disedarinya jika berlaku kematian ke atas salah seorang pasangan.
Selain itu, sebagai ibu bapa yang bekerja, kita perlulah menambah ilmu tentang panduan menguruskan kewangan dari masa ke semasa. Buat temu-janji bersama perunding kewangan untuk memperbaiki struktur kewangan yang kurang memuaskan. Tidak lupa juga, luangkan masa, tenaga untuk datang menghadiri taklimat pengurusan kewangan untuk memantapkan lagi ilmu pengurusan kewangan.
Persepsi yang menganggap perancangan kewangan hanya untuk golongan kaya sahaja harus diubah, paradigma lama ini perlu diubah, di mana perancangan kewangan ini sebenarnya adalah untuk semua golongan supaya mereka tidak terjerat dengan corak perbelanjaan yang akhirnya mengundang masalah kepada diri mereka dan keluarga.
Akhir kata, Selamat Tahun Baru 2009.
Aset atau liabiliti?
Thursday, January 1, 2009
Pengurusan Kewangan Yang Sempurna dapat Elakkan Tekanan
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment