Oleh AZMAN ANUAR (WARTAWAN UTUSAN)
JIKA hari ini anda mempunyai wang RM1 juta, beringat-ingatlah ia belum pasti akan bertambah, sebaliknya ia boleh mendorong anda kembali menjadi miskin. Perkara ini sudah terjadi kepada seorang ibu tua di Kampung Felda LBJ, Nilai, Negeri Sembilan.
Semua ini kerana pemegang wang itu tidak bijak mengurus kewangannya. Begitu juga pengalaman yang terjadi kepada ribuan pesara yang telah mengeluarkan wang carumannya di dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Bukan suatu yang pelik apabila wang KWSP yang disimpan sejak muda hingga bersara, dalam masa yang singkat boleh habis begitu sahaja. Daripada angan- angan untuk merasa nikmat menjadi orang kaya, ia juga mampu mengubah kita bertukar menjadi miskin.
Daripada penyelidikan KWSP, 60 peratus wang pesara dihabiskan dalam tempoh tiga dan empat tahun sahaja selepas dikeluarkan. Sedangkan jangka hayat rakyat negara ini sekarang boleh mencecah hingga usia 75 tahun.Wang simpanan daripada 23 peratus gaji bulanan pekerja itu sewajarnya diperuntukkan untuk faedah diri pencarum sendiri apabila tidak bekerja lagi pada masa tua.
Bagaimanapun ada pencarum yang menggunakan wang KWSP mereka untuk anak-anak seperti membeli motosikal dan mengadakan majlis perkahwinan, menyebabkan wang mereka habis begitu sahaja.
Apabila wang habis, anak-anak tidak mahu menjaga mereka lalu terpaksa pula minta bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat.
Jika demikian aliran pengurusan kewangan majoriti pesara yang berumur 55 tahun bagi sektor swasta dan 56 tahun (sektor awam), bagaimana mereka ingin meneruskan kehidupan untuk 20 tahun lagi. Ini ditambah lagi dengan kos barangan keperluan dan kesihatan yang kian meningkat.
Semua ini terletak pada diri pencarum, baik yang berumur muda ataupun masuk ke pintu persaraan untuk beringat-ingat sebelum menyesal kemudian hari.
Hakikatnya sejak beberapa tahun ini banyak godaan supaya pencarum mengeluarkan wang simpanan hari tua mereka. Wujudnya skim pengeluaran untuk bayaran pendahuluan dan baki pinjaman perumahan, skim pengeluaran pendidikan dan kesihatan serta skim pelaburan unit amanah.
KWSP memang bermurah hati memberi kelonggaran kepada pencarum untuk mengeluarkan simpanan mereka tetapi ada yang menyalahgunakannya.
Pemikiran masyarakat pencarum negara kita mudah dibaca. Jika wujud kemudahan pengeluaran wang KWSP, seboleh-boleh mereka akan melakukannya walaupun keperluannya tidak mendesak. Banyak alasan boleh diberikan misalnya untuk mengurangkan beban hutang ataupun beban kewangan lain yang seharusnya perlu diselesaikan tanpa mengharapkan wang KWSP.
Pencarum perlu tanya mengenai kemampuan diri sebelum memilih sama ada mengeluarkan wang caruman untuk skim pengeluaran yang disediakan atau biar sahaja disimpan untuk kegunaan masa selepas bersara kelak.
Dalam keadaan usia warga emas, seseorang pencarum memerlukan sumber kewangan. Tetapi bagi golongan yang malas berfikir tentang takdirnya di hari tua, pengeluaran daripada KWSP merupakan jalan singkat dan terbaik untuk mencari penyelesaian.
Mereka mudah lupa, biasanya institusi-institusi kewangan berada dalam keadaan sukar untuk memberikan pinjaman kepada mereka yang telah berumur.
Bukan untuk menghalang sesetengah pencarum yang memerlukan wang KWSP mereka untuk tujuan pelaburan, misalnya membeli rumah ataupun membeli unit- unit saham amanah yang boleh mendatangkan pulangan kepada mereka ketika dividen daripada simpanan dalam KWSP sekitar lima peratus berbanding lapan peratus tahap tertingginya dahulu.
Memang di atas kertas dan jika dilihat pada situasi sekarang, semua skim itu boleh membantu pencarum. Tetapi jika dipandang jauh-jauh, tidak banyak membantu pencarum apabila jumlah simpanan hari tua itu bertambah susut jumlahnya.
Bagi golongan berpendapatan tinggi penggunaan wang KWSP untuk tujuan itu tidak begitu dirasai berbanding golongan berpendapatan rendah.
Oleh kerana banyak godaan pengeluaran yang dibenarkan oleh KWSP sekarang, kita mengharapkan satu skim seumpama skim pencen sektor awam diperkenalkan untuk pekerja swasta.
Kita tertanya-tanya mengenai cadangan kerajaan untuk mewujudkan Pelan Pencen Swasta yang pernah dikemukakan pada 2005. Bilakah ia dapat dilaksanakan?
Jika ia dilaksanakan, biarlah KWSP menguruskannya walaupun diakui ada kalanya dividen yang diberikan turun dan naik tetapi kredibiliti mereka sebagai badan pelaburan masih berada pada tahap yang tinggi. Eloklah pelan itu dijayakan bagi memastikan kehidupan pesara tidak terabai dan jatuh miskin.
Namun sebelum ia difikirkan semula oleh kerajaan, 11 juta pencarum KWSP mesti menyedari wang caruman merupakan untuk simpanan hari tua mereka, oleh itu janganlah ghairah untuk mengeluarkan wang itu sekarang.
No comments:
Post a Comment