Friday, July 1, 2011

Faham istilah saham bantu tingkatkan kemahiran pelaburan

Pasaran naik turun ikut prestasi, perkembangan ekonomi semasa

KEBANYAKAN orang apabila berborak di kedai makan bersama rakan antara topik hangat biasanya berkisar mengenai politik, sukan atau gosip artis. Sekali-sekala cuba buka topik berkaitan pelaburan saham dan perhatikan reaksi daripada rakan-rakan. Mungkin hanya seorang dua yang berminat untuk menyambung perbualan manakala yang selebihnya sama ada akan cuba menukar topik ataupun hanya sekadar menjadi pendengar pasif. Bukan kerana tidak berminat langsung mengenai saham, tetapi kemungkinan besar kerana kurang pendedahan. Hatta ketiadaan ‘modal’ untuk dibualkan.




Hari ini saya akan terangkan mengenai beberapa istilah popular dalam pelaburan saham. Harapan saya selepas ini bolehlah kita berbual mengenai pelaburan saham dan lama-kelamaan dengan ilmu dan pengalaman yang dikongsi lebih ramai yang akan membabitkan diri untuk melabur dalam pasaran saham.




Istilah ini disenaraikan dengan merujuk daftar istilah bahasa Melayu terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka 2001. Antara istilah yang anda perlu tahu dalam pelaburan saham termasuk:

1. Pasaran bul

Pasaran bul merujuk kepada keadaan pasaran saham yang meningkat sebanyak 20 peratus atau lebih dalam suatu tempoh panjang biasanya disebabkan oleh peningkatan prestasi syarikat tersenarai yang mencatat pertumbuhan keuntungan hasil manfaat daripada ekonomi yang berkembang. Istilah ini dikatakan berasal daripada tabiat lembu jantan yang menyerang dengan menanduk mangsa ke atas. Contoh pasaran bul ialah trend pasaran yang naik bermula Ogos 1998 hingga awal 2000. Ketika itu ramai yang membuat untung dalam pelaburan mereka.

2. Pasaran bear



Situasi aliran pasaran yang menjunam 20 peratus atau lebih dalam tempoh panjang disebabkan oleh keadaan ekonomi yang tidak memberangsangkan. Dikaitkan dengan sifat beruang yang menyerang dengan kebiasaan menghenyak mangsa ke bawah dengan kukunya yang tajam. Contoh pasaran bear ialah prestasi pasaran bursa Malaysia yang menjunam sepanjang 2008 kesan daripada krisis ekonomi dunia.

3. Perolehan sesaham

Lebih popular disebut dalam istilah Inggeris iaitu EPS atau ‘Earnings per share.’ Ia antara indikator yang sering digunakan untuk menilai harga saham. Dalam membandingkan antara dua syarikat yang terbabit dalam industri atau sektor yang sama, lazimnya syarikat yang mencatat EPS yang tinggi adalah lebih baik berbanding syarikat dengan EPS yang lebih rendah. Bayangkan dua syarikat iaitu B dan H masing-masing menjana untung RM100 juta. Andainya syarikat B memiliki saham sebanyak 10 juta unit dan syarikat H memiliki 50 juta unit saham, manakah syarikat yang menunjukkan prestasi yang lebih baik? Secara ringkas, untuk memilih syarikat mana yang lebih baik, pelabur boleh melihat kepada EPS syarikat itu.

Perolehan sesaham (EPS) = Untung/Jumlah Unit Saham

EPS dikira dengan membahagikan untung syarikat dalam 12 bulan dengan jumlah unit saham. Contohnya, PETRONAS Gas Bhd menjana untung bersih sebanyak RM1,439 juta pada 2010 dan ia telah menerbitkan 1,979 juta unit saham. Maka, perolehan sesahamnya ialah RM0.727 (RM1,439 juta/1,979 juta unit = RM0.727). Maknanya, bagi setiap unit sahamnya PETRONAS Gas menjana untung sebanyak 72.7 sen.

Berbalik kepada contoh syarikat B dan H di atas, EPS syarikat B ialah 10 (RM100 juta/10 juta unit saham) dan EPS syarikat H ialah 2 (RM100 juta / 50 juta unit).

Jadi adalah lebih baik untuk kita melabur dalam syarikat B, betul tak? Jawapannya, mungkin. Dalam memilih saham mana yang kita boleh beli, kita tidak boleh melihat kepada EPS semata-mata. Seperti yang dijelaskan di atas, EPS dapat membantu untuk membandingkan prestasi sesebuah syarikat dengan syarikat yang lain andainya syarikat itu terbabit dalam sektor perniagaan atau industri yang sama. EPS tidak dapat menunjukkan secara tepat sama ada saham sesebuah syarikat itu sesuai untuk dibeli atau apakah penilaian pasaran terhadap saham berkenaan. Untuk membuat pilihan yang lebih tepat, pelabur perlu mengambil kira faktor dan indikator lain dan satu daripadanya ialah dengan melihat kepada nisbah harga perolehan.

4. Nisbah harga perolehan

Nisbah ukuran yang sering digunakan oleh pelabur untuk mengira nilai harga saham, sama ada mahal atau murah, dibandingkan dengan keuntungan syarikat. Secara teori, nisbah harga perolehan atau nisbah PE menunjukkan kos atau harga yang dibayar oleh pelabur bagi setiap ringgit keuntungan yang dijana oleh syarikat.

Nisbah harga perolehan = Harga saham/EPS

Nisbah PE dikira dengan membahagikan harga saham dengan perolehan sesaham (EPS). Kita lihat contoh saham syarikat PETRONAS Gas yang pada suatu ketika didagangkan pada RM12.30 sesaham. Dengan EPS sebanyak 72.7 sen sesaham, maka nisbah harga perolehan PETRONAS Gas ialah 16.9 (12.3 / 0.727 = 16.9).

Secara teori, nisbah harga perolehan memberi petunjuk berapakah yang sanggup dibayar oleh pelabur untuk memiliki syer di dalam sesebuah syarikat yang menjana sejumlah keuntungan tertentu. Misalnya, pelabur saham PETRONAS Gas sanggup membayar sebanyak 16.9 kali ganda bagi setiap keuntungan sesahamnya.

Nisbah harga perolehan yang tinggi menunjukkan pelabur menaruh keyakinan tinggi terhadap sesebuah syarikat dan kerana itu ramai yang membelinya menyebabkan harga saham berkenaan meningkat.

Nisbah harga perolehan dikatakan indikator yang lebih baik untuk menilai harga saham jika dibandingkan dengan hanya melihat pada harga saham. Bagaimanapun, seperti indikator lain, pelabur tidak boleh hanya bergantung kepada nisbah PE semata-mata, dan perlu juga mengambil kira faktor lain termasuk kadar pertumbuhan syarikat. Nisbah PE juga hanya sesuai untuk membandingkan saham sesebuah syarikat dengan syarikat yang lain yang terbabit di dalam industri yang sama. Setiap industri mempunyai julat nisbah PE yang berbeza. Misalnya, saham syarikat dalam sektor teknologi lazimnya mempunyai nisbah PE yang sangat tinggi berbanding dengan sektor perladangan.


(dipetik dari Berita Harian)




Dana Kecemasan

Post a Comment