Sunday, December 4, 2011

Melabur Tanpa Rugi?

Jika anda berhasrat untuk melabur atau telahpun melabur dan anda berpendapat anda tidak mahu rugi dalam pelaburan anda, teruskan membaca artikel ini.


“Berapakah jumlah wang dan kerugian yang mampu saya tanggung?”


Ini adalah soalan yang perlu ditanya oleh setiap pelabur sebelum melabur. Mengapa? Ini adalah kerana keputusan untuk melabur membabitkan pengambilan risiko dan anda berkemungkinan kehilangan sebahagian atau kesemua wang yang anda laburkan.


Sebenarnya, produk pelaburan yang berbeza mempunyai tahap risiko yang berbeza. Hakikatnya mudah sahaja – lebih tinggi potensi ganjaran yang ditawarkan oleh sesuatu produk pelaburan, maka lebih tinggilah pula risikonya. Sebaliknya, jika risiko bagi sesuatu produk pelaburan itu rendah, maka ganjarannya juga rendah.


“Tetapi, bolehkah saya melabur tanpa mengalami sebarang kerugian? “


Jawapannya mudah – TIDAK Boleh. Ini kerana, apa pun yang anda lakukan dengan wang anda, anda tetap terdedah kepada risiko. Anda boleh menyimpan wang di bawah tilam tetapi risikonya ialah anda mungkin kehilangan wang itu jika berlalu kebakaran atau kecurian. Jika anda menyimpan wang dalam bank, kadar faedahnya mungkin tidak cukup tinggi untuk menampung kadar inflasi dan ini menyebabkan kuasa beli anda semakin berkurangan pada masa akan datang. Jika anda melaburkan wang dalam sesuatu produk pelaburan pula, anda berhadapan dengan pelbagai risiko pelaburan yang berkaitan dengan produk tersebut.


Menangani risiko pelaburan


Sebagai pelabur, anda tidak boleh menghapuskan terus risiko. Walau bagaimanapun, risiko pelaburan tidaklah seteruk mana sekiranya anda tahu menanganinya supaya risiko itu boleh membawa kebaikan kepada anda. Langkah pertama ialah menentukan berapa banyak risiko yang anda mampu hadapi. Membuat keputusan pelaburan berpandukan pelaburan yang telah dibuat oleh rakan-rakan atau saudara-mara bukanlah cara yang baik untuk menguruskan risiko. Ini kerana, setiap individu mempunyai kesediaan menghadapi tahap risiko yang berbeza. Ada yang bersedia mengalami kerugian yang lebih banyak berbanding anda. Untuk mengetahui berapa banyak risiko yang anda mampu hadapi, ikutilah petua mudah ini:


Jika anda tidur tak lena dan mandi tak basah selepas membeli sesuatu produk pelaburan maknanya pelaburan itu terlalu berisiko untuk anda.


Satu cara lagi untuk menangani risiko ialah melalui teknik “pempelbagaian” atau diversification. Ia bermaksud anda tidak seharusnya melaburkan semua wang anda dalam satu produk pelaburan sahaja. Anda perlu mempelbagaikan pilihan produk-produk pelaburan anda. Jika anda melaburkan semua wang dalam satu jenis pelaburan sahaja (contohnya saham), anda boleh kehilangan semua wang itu jika nilai saham itu jatuh. Bagi meminimumkan risiko pelaburan, sebaik-baiknya ialah dengan mempelbagaikan produk pelaburan anda iaitu dengan melaburkan duit anda dalam beberapa produk pelaburan, contohnya, dalam saham, deposit tetap, dana unit amanah atau hartanah.


Pempelbagaian bertujuan untuk mencampurkan pelaburan yang berisiko tinggi dengan pelaburan yang berisiko rendah supaya kerugian dalam sesuatu pelaburan yang tidak membawa keuntungan dapat ditampung oleh keuntungan daripada pelaburan yang lain. Katakan anda melabur dalam saham, unit amanah dan hartanah. Sekiranya pelaburan dalam saham anda mendatangkan kerugian, dengan pempelbagaian anda mungkin dapat menampung kerugian tadi dengan mengaut keuntungan daripada pelaburan unit amanah dan hartanah. Oleh itu, bukan sahaja anda dapat meminimumkan risiko pelaburan anda tetapi pada masa yang sama, anda juga dapat memaksimumkan purata pulangan daripada pelaburan tersebut.


Walau bagaimanapun, jangan pula mempelbagaikan pelaburan secara keterlaluan kerana melaburkan terlalu sedikit wang dalam sesuatu pelaburan boleh mengurangkan pulangan daripada pelaburan itu.


Menguji ketahanan anda terhadap risiko


Setiap orang mempunyai ketahanan yang berbeza terhadap risiko. Sesetengah pelabur tahan menghadapi risiko pelaburan yang tinggi, manakala sebahagian yang lain tidak mempunyai ketahanan yang sama. Ketahanan seseorang terhadap risiko mungkin berubah mengikut peringkat kehidupannya. Mereka yang bersedia mengambil risiko pelaburan yang tinggi ketika muda dan bujang, mungkin kurang bersedia menghadapi risiko yang sama setelah berusia dan mempunyai keluarga. Bagi menentukan ketahanan anda terhadap risiko, tanya diri anda sendiri beberapa soalan mudah yang berikut:


Siapakah anda?


a) Saya dalam pertengahan umur dan hampir bersara


b) Saya masih muda dan perjalanan hidup saya masih jauh



Berapa banyak wang simpanan yang anda ada?


a) Pendapatan saya hanya cuma cukup untuk membayar bil dan tinggal sedikit baki untuk disimpan


b) Saya mempunyai sejumlah wang yang agak banyak untuk disimpan setiap bulan



Apakah komitmen kewangan yang anda ada?


a) Saya mempunyai senarai komitmen yang panjang


b) Saya tidak mempunyai banyak komitmen



Berapa lama anda boleh membiarkan sesuatu pelaburan?


a) Saya boleh menunggu asalkan pelaburan itu memberikan keuntungan yang baik dan berterusan


b) Saya mahu mendapat keuntungan secepat mungkin



Apakah yang anda harapkan apabila anda berhenti melabur?


a) Saya mahu sekurang-kurangnya jumlah yang sama yang telah saya laburkan


b) Saya mahu keuntungan sebanyak mana yang boleh


Jika kebanyakan jawapan anda ialah A, pelaburan yang berisiko tinggi mungkin tidak sesuai untuk anda. Anda lebih sesuai melabur dalam produk yang boleh memberikan pulangan yang munasabah dan berterusan, dan pada masa yang sama, memelihara modal asal anda.


Jika kebanyakan jawapan anda ialah B, anda mungkin boleh menghadapi pelaburan yang berisiko tinggi. Walau bagaimanapun, keupayaan menangani risiko sahaja tidak mencukupi. Anda juga perlu sentiasa meningkatkan pengetahuan mengenai pelaburan dan mengawasi pelaburan anda. Elakkan diri daripada terperangkap dalam usaha untuk mendapat keuntungan cepat tanpa mengetahui risiko yang bakal dihadapi!




(Artikel ini dipeti dari Pelabur Malaysia)




Gandakan Wang Anda



Post a Comment