Thursday, May 17, 2012

Memahami Nilai Bersih

Sebelum ini BUW telah berkongsi maklumat tentang apa itu Aset Dan Liabiliti. Kali ini BUW akan berkongsi bagaimana kita mengira Nilai Bersih Kewangan kita.

Nilai bersih ialah baki aset yang anda ada setelah melangsaikan kesemua liabiliti anda. Bagi pihak bank, nilai bersih aset anda ialah perbezaan diantara jumlah aset dan jumlah liabiliti. Walau bagaimanapun, untuk mencapai kebebasan kewangan, anda perlu memilik aset pelaburan yang mencukupi untuk menjana aliran tunai yang diperlukan bagi menyara keperluan harian dan gaya hidup anda. Maka, nilai bersih aset anda dalam konteks kebebasan kewangan ialah perbezaan di antara aset pelaburan dan jumlah liabiliti anda.

Berikut ialah contoh nilai bersih aset seseorang yang telah bekerja selama 10 tahun di Malaysia.




En. Ali sedang bertugas sebagai pengurus di sebuah syarikat. Pada tahun lepas, setelah dinaikkan pangkat, En. Ali telah mengambil keputusan untuk membeli sebuah kereta baru berharga RM83,000 dengan membuat pinjaman bank sebanyak RM66,000. Tahun ini pula, harga keretanya telah menurun sebanyak RM8,000 dan nilai kereta En. Ali sekarang ialah RM75,000.

En. Ali memiliki sebuah pangsapuri bernilai RM150,000, di mana RM100,000 merupakan baki pinjaman bank yang masih belum diselesaikan. Oleh kerana telah mengeluarkan wang muka yang banyak untuk pangsapuri serta kereta barunya, En. Ali tidak mempunyai wang yang banyak untuk pelaburan saham dan unit amanah. Disamping itu, En. Ali sebenarnya telah mengeluarkan sebahagian daripada pelaburan unit amanah beliau untuk membeli kereta barunya.

Oleh itu, jumlah aset pelaburan En. Ali sekarang cuma RM100,000 sahaja. Daripada jumlah itu, kebanyakan aset pelaburannya ialah daripada wang KWSP beliau yang berjumlah RM60,000 yang perlu disimpan untuk menampung kehidupan selepas bersara nanti. Jika kita mengecualikan wang KWSP beliau dari pengiraan ini, En. Ali cuma mempunyai RM40,000 aset pelaburan setelah 10 tahun berkerja.

Dari perspektif bank, sama ada aset yang dimiliki ialah untuk pelaburan atau tidak, bukanlah sesuatu yang penting. Sesebuah bank akan mengambil kira nilai bersih aset En. Ali ialah RM158,000, yang diperolehi dengan mengira perbezaan antara jumlah aset beliau yang bernilai RM325,000 dan jumlah liabiliti En. Ali yang bernilai RM167,000. Walau bagaimanapun, untuk mendapatkan nilai bersih aset En. Ali dalam erti kata kebebasan kewangan, iaitu tanpa mengambil kira aset bukan pelaburan beliau, En. Ali sebenarnya mempunyai defisit sebanyak RM67,000. Ini menggambarkan bahawa perjalanan En. Ali untuk mendapatkan kebebasan kewangan sebenarnya masih panjang.

Oleh yang demikian, untuk mencapai kebebasan kewangan, En. Ali harus melangsaikan segala hutang beliau secepat mungkin. Dengan cara ini, beliau akan berupaya untuk menjana aset pelaburan yang mencukupi untuk membiayai perbelanjaannya.


Kewangan Dan Cara Mengawal Perbelanjaan

No comments: