Sunday, November 6, 2011

Kesan SRR kepada pinjaman kecil

SAYA begitu meminati ruangan ini kerana ia banyak memberi panduan kepada saya dalam isu-isu kewangan. Di sini saya ingin mengambil kesempatan untuk bertanyakan mengenai Keperluan Rizab Berkanun (SRR). Apakah kaitan penurunan dan kenaikan SRR dengan pelanggan bank?



KEPERLUAN Rizab Berkanun (SRR) merupakan jumlah wang yang perlu diperuntukkan atau disimpan oleh sesebuah bank dengan Bank Negara Malaysia dalam Akaun Rizab Berkanun mereka. Jumlah SRR lazimnya bersamaan bahagian tertentu liabiliti yang layak (EL) seperti deposit yang disebut harga dalam Ringgit. Bahagian ini dikenali sebagai kadar SRR dan ditentukan oleh Bank Negara Malaysia (BNM). Jadual berikut memberikan gambaran tentang perubahan kadar ini dalam tempoh beberapa tahun lepas.



SRR digunakan terutamanya oleh bank pusat sebagai instrumen dasar wang untuk menguruskan kecairan atau dalam bahasa mudah, untuk menentukan jumlah "tunai" dalam sistem kita. Kadar SRR akan dilaraskan untuk mengeluarkan atau menyuntik kecairan ke dalam ekonomi kita. Apabila SRR rendah, ini bermakna jumlah rizab lebih rendah perlu diperuntukkan dengan BNM dan bank mempunyai lebih banyak dana (iaitu kecairan lebih tinggi) untuk dipinjamkan bagi membiayai kegiatan ekonomi di pasaran.



Oleh itu, pengurangan SRR bertujuan meningkatkan kecairan dalam sistem dan juga merancakkan aktiviti di pasaran. Anda akan mendapati SRR dikurangkan dalam keadaan pasaran yang mencabar atau tempoh kemelesetan seperti semasa krisis Asia pada 1998 atau krisis kewangan sub prima pada 2008. Dalam keadaan gawat, bank pusat perlu menjana pertumbuhan ekonomi. Dengan itu, mereka mengurangkan SRR untuk menggalakkan bank memberikan pinjaman.



Perubahan SRR hanya memberikan kesan yang kecil kepada pelanggan. Seperti yang kita lihat tahun ini, BNM telah menaikkan SRR sebanyak tiga kali. Ia seharusnya mengurangkan kecairan dalam sistem, mengekang pinjaman dan menyebabkan peningkatan kos pinjaman. Tetapi kita mendapati kadar pinjaman pengguna tidak meningkat. Persaingan yang wujud di dalam pasaran telah memastikan kadar pinjaman stabil setakat ini, dan kesan kepada pengguna amat minimum. Bank telah menyerap seluruh kesan SRR tetapi tidak memindahkannya kepada pelanggan mereka.



Namun SRR baru sahaja dinaikkan. Dalam jangka panjang, bergantung pada keadaan persaingan, jika bank tidak dapat menyerap kesan peningkatan kos pinjaman akibat SRR, mereka mungkin meningkatkan kos pinjaman. Tetapi pada pendapat kami sebarang peningkatan adalah kecil dan tidak sama dengan jumlah peningkatan SRR. Dengan kata lain, tidak mungkin kadar faedah pinjaman perumahan meningkat 1.0 peratus jika SRR dinaikkan 1.0 peratus.




(dipetik dari Utusan 5 Nov 2011)



Pencarum Jangan Ghairah Menggunakan Skim Pengeluaran KWSP



No comments: